KES pembunuhan arwah Zayn Rayyan Zaim Ikhwan terus mendapat perhatian masyarakat meskipun telah hampir 10 bulan ia berlalu. Masing-masing mengharapkan kematian tragis arwah mendapat pembelaan sewajarnya susulan pendedahan beberapa keping gambar bedah siasat dan rakaman percakapan yang menyayat hati tular di media sosial sebelum ini. Terkini, menjelang sebutan semula kes terhadap ibu bapanya iaitu Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan pada 18 September depan atas tuduhan melakukan pengabaian, klip video pengebumian arwah yang disiarkan mStar kembali tular sehingga menjadi perdebatan dan tanya dalam kalangan netizen. Ada yang menganggap gerak tubuh bapa mangsa, Zaim Ikhwan Zahari seperti mencurigakan apabila dia memasukkan tangan ke dalam keranda ketika majlis pengebumian pada 7 Disember 2023. 'Adegan' itu dikongsikan di akaun TikTok Penjaga Kubur, yang mana selepas itu Zaim Ikhwan dilihat menyelak baju Melayu yang dipakainya. Tangkap layar klip video yang dikongsikan Penjaga Kubur. Cuba untuk mengesahkan apa yang diperhatikan, pelayar itu kemudiannya mengajukan kemusykilannya kepada warga maya. "Zaim masukkan apa dalam seluar ye? Ada siapa-siapa nampak tak?" dia bertanya di ruang kapsyen. Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan netizen turut beranggapan Zaim Ikhwan mengambil sesuatu dari dalam keranda tersebut sebelum meletakkannya di dalam seluar. "Dah nampak apa yang dia ambil, tali yang selalunya diikat pada kepala tu sebab nampak tali putih dia selit kat pinggangnya... ikutkan tak boleh buka tali, lain macam mereka ni kurafat. ARTIKEL BERKAITAN: Sebutan semula kes ibu bapa Zayn Rayyan ditetapkan 18 Septembe "Macam dia ambil tali kain kafan yang dekat kepala anak syurga ni. "Boleh je ambil kalau itu hak dia. "Ambil tali tak perlu sorok, minta je dengan penggali kubur, kampung aku berlambak ahli keluarga ambil," ujar beberapa warga maya. Dalam pada itu, menerusi pemerhatian pada video asal rakaman yang diterbitkan mStar, klip pada saat 36 memaparkan Zaim Ikhwan sememangnya memasukkan tangan ke dalam lubang keranda arwah anaknya. Dia yang ditenangkan orang sekeliling kemudian kembali berdiri sambil tangan kirinya dilihat mengusap perut. Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian, tidak kelihatan dia mengambil sesuatu atau memasukkan benda ke dalam seluar seperti dakwaan yang tular. Warga maya turut beranggapan Zaim Ikhwan mengambil sesuatu dari dalam keranda anaknya Terdahulu, usaha pihak mStar untuk mendapatkan komen daripada pihak Zaim Ikhwan bagaimanapun tidak berhasil. Untuk rekod, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan 18 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes terhadap pasangan itu yang didakwa mengabaikan kanak-kanak austisme itu, Disember tahun lalu. Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar juga memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya masih lagi menunggu laporan bedah siasat dan rakaman litar kamera tertutup (CCTV). Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. Zayn Rayyan pada awalnya dilaporkan hilang di kediaman keluarganya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Selangor pada 5 Disember tahun lalu, sebelum mayatnya ditemukan di anak sungai berhampiran kawasan apartment berkenaan pada keesokan hari. Laporan bedah siasat yang dikeluarkan pada 7 Disember mengesahkan kanak-kanak itu mati dibunuh kerana terdapat kesan kecederaan pada leher serta badannya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube