GEMPAR di media sosial apabila seorang wanita membuat konten parodi watak suami isteri melibatkan anak lelakinya yang masih di bawah umur. Warga maya kurang senang dengan video wanita tersebut kerana si anak dilihat memegang watak lelaki dewasa dan mengetengahkan lakonan yang dianggap tidak sesuai dengan usianya. "Weh apa benda ni, macam tak kena je budak buat lakonan macam tu. Ini dah boleh dilabelkan sebagai pengantunan kanak-kanak (child grooming)," demikian kata sebahagian warga maya mempersoalkan tindakan wanita terbabit. Konten dihasilkan seorang wanita mencetuskan kontroversi. Ketika dihubungi mStar, wanita berkenaan yang cuma mahu dikenali sebagai Nurhidayah, 35, atau senang disapa Dya menegaskan dia langsung tidak mempunyai niat serong ketika menghasilkan kandungan sedemikian. Menurut Dya yang juga pencipta kandungan sepenuh masa di laman TikTok, kesemua konten yang dimuat naik adalah untuk mencari rezeki halal, memandangkan dirinya merupakan ibu tunggal setelah kematian suaminya pada 2021 akibat jangkitan Covid-19. "Saya buat konten tu bersama anak sulung saya berumur 14 tahun, namanya Hilman. Sebenarnya pelbagai jenis watak yang Hilman pernah bawa sebelum ni, ada watak gangster dan juga warga emas. "Macam saya sendiri, saya pernah pegang watak sebagai budak ketika berlakon dengan anak-anak. Selain Hilman, saya ada lagi tiga anak lelaki yang masing-masing berbakat dalam bidang lakonan. ARTIKEL BERKAITAN: Depresi bergelar janda, anak terharu lihat cara bapa tunjuk kasih sayang - “Bekas suami tak mampu menyamai cinta abah” ARTIKEL BERKAITAN: Isteri buat kejutan, pengantin lelaki gugur air mata di pelamin... Potret perkahwinan sekeluarga pengubat rindu arwah ibu ayah Konten kami ni beraneka, kami hasilkan ikut trend semasa tapi tidak akan melampaui batas, saya juga masih waras. Sebagai ibu yang melahirkan mereka ke dunia ini, mustahil saya tergamak bahayakan keselamatan anak-anak. "Mungkin video saya itu jadi isu kerana baru-baru ini hangat tentang isu pemandu bas sekolah amang seksual dan kes liwat di rumah amal, akhirnya konten saya turut terpalit sekali," ujar Dya yang menetap di Klang, Selangor. Selain itu, Dya juga sudah mendapatkan nasihat peguam dan pihak polis dan video yang menjadi tumpuan tersebut tidak perlu diturunkan memandangkan ia tidak bercanggah di sisi undang-undang. Tambah Dya, dia berpegang pada pesanan arwah suaminya untuk tidak mengambil pusing tohmahan daripada mulut-mulut manusia. Saya tidaklah pandang anak sebagai suami sebenar, ia adalah sketsa dan lakonan yang merupakan satu bentuk seni. DYA Arwah suami pernah cakap dekat saya, selagi kita masih berdiri di atas muka bumi Allah ni, jangan biarkan apa kita buat dipengaruhi oleh apa orang fikir. Allah itu lebih mengetahui niat kita di dalam hati ni. "Walaupun begitu, perbuatan kita itu perlulah berpada-pada, jangan menghalalkan benda yang salah. Konten yang saya buat dengan anak tu adalah atas dasar kerja semata-mata, bukannya saya nak menunggang isu dan sebagainya. "Saya tak rasa ia satu masalah besar, saya tidaklah pandang anak sebagai suami sebenar, ia adalah sketsa dan lakonan yang merupakan satu bentuk seni, seperti dalam rancangan televisyen arus perdana. "Ada je pelakon di luar sana yang buat konten terdiri daripada anak-beranak, sama seperti saya. Tiada niat langsung untuk saya groom anak atau yang seangkatan dengannya," terang Dya yang pernah berkahwin lain setelah kehilangan suami. Suami Dya iaitu Ahmad Ernerazian meninggal dunia ketika berusia 42 tahun. Namun rumah tangga baharu Dya hanya bertahan selama lapan bulan sebelum mereka mengambil haluan berbeza. Walaupun sudah lebih tiga tahun pemergian suaminya, Dya berkata perasaan rindu itu masih segar di sanubari. "Suami meninggal dunia dalam keadaan tersenyum, tiada orang yang boleh menyamai keperibadian suami. Saya akan kekal kuat selagi saya masih ada anak-anak. "Saya yakin di sebalik apa yang berlaku ni, pasti ada rezeki menanti saya," kata Dya menutup bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube