suria

Alasan seluar dalam ketat undang curiga, rupanya terjerat nafsu songsang! Doktor terkejut dengar cerita sisi gelap pemuda hijrah ke KL

Setiap insan memiliki kisah silam sama ada baik atau buruk. -Gambar hiasan

DOKTOR perubatan perlu berhadapan dengan pesakit daripada pelbagai latar belakang.

Melalui satu hantaran di laman Facebook, seorang doktor perubatan dikenali sebagai Mahir Hassan berkongsi pengalaman mendiagnos pesakit yang mengamalkan hubungan seks sejenis.

Menurut Mahir, pesakit terbabit pada mulanya cuba berselindung mengenai aktiviti songsang yang dilakukan, namun firasatnya sebagai seorang doktor berjaya membongkar segalanya.

"Ada lelaki bujang sekitar 20-an datang ke klinik. Dia mengadu bengkak pada bahagian kemaluan. Sebagai pengamal perubatan, saya pun bertanya soalan biasa iaitu sejarah kesihatan dan penyebab yang boleh dikaitkan dengan kesakitan dialami.

Mereka yang mengamalkan seks songsang biasanya mempunyai komuniti tersendiri. -Gambar hiasan

"Dia beritahu kesakitan tu mungkin disebabkan memakai seluar dalam yang ketat, daripada sini saya mula berasa curiga kerana jawapannya tak meyakinkan.

"Apabila saya bertanya tentang seks bebas, man sex man (MSM) atau penyalahgunaan dadah, pemuda tu menafikan semuanya. Dalam Islam ada sebut yang tidak elok untuk bersangka buruk terhadap seseorang.

"Tapi dalam profesion perubatan memang perlu ada keraguan ketika merawat pesakit terutamanya golongan berisiko. Jadi saya pun minta izin untuk menjalankan ujian HIV ke atas pemuda itu," imbas Mahir.

Tekaan Mahir terbukti benar apabila ujian HIV pemuda berkenaan positif.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 12 tahun kahwin, baru tahu suami ‘dua alam’ walau solat tak tinggal - “Mereka rapat, lain macam sangat”

ARTIKEL BERKAITAN: Kantoi mesej dengan anak ikan siap bersayang-sayang, isteri reda dapat suami gay... Usaha putuskan hubungan songsang gagal!

"Setelah saya terangkan hasil ujian HIV itu kepada dia, saya cuba mencungkil cerita. Rupanya ada kisah menyentuh jiwa tentang bagaimana pemuda itu boleh terjerat dengan HIV.

"Pemuda itu sebenarnya meminati perempuan, tapi dia terpaksa bergelumang dengan hubungan sejenis sejak tahun lepas demi mencari sumber pendapatan ketika di Kuala Lumpur," jelas Mahir.

Mahir berkata pemuda tersebut hanya mempunyai satu hasrat iaitu untuk melunaskan hutang ibunya yang terikat dengan lintah darat atau ah long.

"Dia bekerja di kilang dengan gaji sekitar RM1,200 sebulan. Keselamatan ibunya dalam bahaya, kalau gagal bayar hutang, ah long ugut akan ada sesuatu yang buruk bakal berlaku. Adik-beradik lain pula tak ambil kisah tentang ibu mereka.

Kalau ikut pemuda tu, dia lebih suka dapat pelanggan Datuk kerana sering dibawa naik ke Genting Highlands..

MAHIR HASSAN

DOKTOR

"Jadi tinggal la pemuda tu seorang terkontang-kanting membayarkan hutang ibunya, RM500 setiap minggu kepada ah long. Pendek cerita, pada satu hari, datang seorang kawan tawarkan peluang buat duit dengan cepat kepada pemuda itu.

"Pemuda tu tanpa berfikir panjang terus terima ajakan kawan, apa yang dia fikir ketika tu hanyalah untuk tolong bayarkan hutang ibu dia. Maka daripada sini bermula fasa gelap pemuda tu.

"Sewaktu kawannya menurunkan ilmu, pemuda tu diberitahu yang dalam pekerjaan ni, ada masa dia perlu duduk 'di atas' atau 'di bawah'. Kena ikut kehendak pelanggan. Terkedu kejap saya dengar," cerita Mahir panjang lebar.

Malah lebih mengejutkan apabila Mahir diberitahu oleh pemuda itu tentang identiti pihak yang sering melanggan khidmatnya.

Khidmat seks untuk kategori hubungan sejenis menjanjikan pulangan lumayan. -Gambar hiasan

"Pelanggannya terdiri daripada mereka yang bergelar Datuk, juruterbang, kru kapal dan juga orang biasa. Kalau ikut pemuda tu, dia lebih suka dapat pelanggan Datuk kerana sering dibawa naik ke Genting Highlands.

"Sekali naik tu boleh dapat sekitar RM2,000 hingga RM3,000, cerita dia sambil tersengih. Katanya dekat Kuala Lumpur ramai yang 'bekerjaya' seperti dia.

"Tapi syukur Alhamdulillah, pemuda tu cakap dia dah cuci tangan, dia pulang ke kampung untuk memulakan kehidupan baharu. Saya juga sempat menitipkan pesanan supaya dia sentiasa menjaga solat, tak kisah la sejahat mana pun kita dulu.

"Percayalah Allah itu Maha Pengampun, solat merupakan bukti keimanan kita kepada Allah SWT. Selepas itu kami menyambung perbincangan mengenai perancangan rawatan dan ujian selanjutnya," ujar Mahir menutup bicara.

Pelayar bertukar pandangan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya risau akan budaya songsang yang semakin membarah dalam masyarakat.

"Bergenang air mata dan pada masa sama seram mendengar, niatnya baik tapi tersilap cara. Golongan ni sudah tidak segan silu mempamerkan perbuatan terkutuk mereka di khalayak ramai.

"Lindungilah keturunan kami Ya Allah daripada gejala songsang, hancurnya sesebuah masyarakat kerana kelompok ini. Kepada sesiapa yang terjebak, masih belum terlambat untuk bertaubat," demikian kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain