BILIK yang khusus untuk menukar lampin bayi merupakan antara keperluan pada masa ini. Selain memudahkan urusan, ia juga dapat mengelakkan para ibu bersesak-sesak di tandas awam bersama pengguna yang lain. Bagaimanapun, tidak semua premis awam menyediakan kemudahan seperti itu sehingga menimbulkan rungutan dalam kalangan masyarakat. Tambahan pula, menguruskan bayi dalam ruangan sempit seperti dalam kenderaan bukanlah perkara mudah. Turut mengalami situasi sama, seorang wanita meluahkan rasa geram apabila terpaksa mengurus dan menukar lampin bayi di dalam surau awam apabila pulang ke kampung halaman suaminya di Pantai Timur. "Aku sumpah rasa marah sangat setiap kali balik kampung suami di Pantai Timur, pergi mana-mana pun sumpah tak pernah jumpa changing room untuk bayi. Tak pernah! "Habis tu, nak suruh aku tukar lampin anak tepi jalan ka? Sangat tak selesa nak salin lampin anak kat surau sebab surau bukan digunakan untuk tujuan tu," ujarnya sambil bertanyakan apa yang patut dilakukan. Menurut wanita ini, dia bukan sahaja tertekan dengan situasi yang dialami bahkan berasa geram dengan jelingan segelintir individu yang berada di dalam surau. ARTIKEL BERKAITAN: Panik! Asyik masuk keluar bilik persalinan, anak saudara usia setahun terkunci di R&R... mujur bantuan segera sampai tapi kenapa teriakan si kecil makin kuat? ARTIKEL BERKAITAN: Bilik salin lampin bayi penuh lelaki! Geng ibu akui bapa moden makin ramai... Pandai urus anak kecil, rajin mengasuh di rumah "Tambah dengan jeling-jeling marah kat surau tu, aku pun tak mahu langsung tukar lampin dalam tu tapi kat mana nak buat? "Tandas memang tak ada ruang langsung, pondok pun tak ada terutama di R&R (rehat dan rawat)," tambahnya lagi. Luahannya itu mendapat perhatian ramai sehingga mengundang pelbagai reaksi. Namun malangnya kebanyakan netizen memberi reaksi negatif dan menyifatkan dia tidak pandai menguruskan anak selain menganggapnya sebagai 'anti-Pantai Timur'. "Kalau dah dalam fikiran tak suka Pantai Timur macam tu kak. Aku pun tak suka tapi tak adalah nak isukan pasal changing room... Critical thinking tu kena luaskan sikit. Warga maya memberikan reaksi negatif pada luahannya. "Sebenarnya point dia tak suka balik kampung suami sebab kalau fikir logik, kau dah jadi mak... takkan tukar lampin pun jadi isu. "Kau pertama kali jadi mak ke? Cuba ingat masa kau kecil dulu, mak ayah kau salin lampin kat bilik persalinan ke? Banyak songeh betul. "Kenapa kahwin dengan orang Pantai Timur kalau tak suka balik kampung? Sebagai pengguna LPT (Lebuhraya Pantai Timur), rasanya tandas R&R ada changing room tapi kalau lalu jalan dalam yang tak bayar tol, tak payah sembang," ujar warga maya. Bagaimanapun, segelintir individu lagi berkongsi beberapa teknik untuk menguruskan anak apabila berhadapan situasi mendesak seperti dalam perjalanan ke destinasi tertentu. "Kalau dah tak pilihan, tukar dalam kereta. Boleh guna botol penyembur, tisu basah dan bawa changing mat atau buka stroller bagi mendatar je. "Ada bayi ni, kena standby tisu basah, air kosong, plastik sampah supaya kalau tiada bilik persalinan boleh tukar lampin dalam kereta atau tepi jalan," demikian pendapat warga maya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube