suria

Bohong... Makanan di Hat Yai didakwa tak murah seperti dicanang, rakyat Malaysia cuma tolong promosi percuma

Ratusan ribu rakyat Malaysia memasuki Thailand untuk bercuti. Gambar hiasan

DIANGGARKAN lebih 100,000 rakyat Malaysia memilih melancong ke Thailand pada musim cuti persekolahan baru-baru ini dengan sebanyak RM100 juta aliran wang negara telah masuk ke negara Gajah Putih berkenaan.

Rata-rata rakyat Malaysia menganggap melancong ke Thailand terutamanya Hat Yai lebih murah kosnya, merangkumi penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman jika dibanding bercuti dalam negara.

Namun, pandangan itu disangkal seorang pengguna Facebook, Rosly Yusof yang mendakwa harga makanan dan minuman di negara jiran itu tidak lagi murah seperti dulu kerana peniaga sudah mula menaikkan harga.

Rosly dakwa makanan di Thailand tidak murah seperti yang didakwa ramai. -Foto Facebook

Rosly dakwa makanan di Thailand tidak murah seperti yang didakwa ramai. -Foto Facebook

"Cerita pasal makanan di Siam (Thailand) ni murah sebenarnya bohong saja sekarang ni tapi kalau dulu memang betul. Start (bermula) dari Danok sampai Hat Yai semua harga makanan dan minuman depa (peniaga) dah naikkan," dakwanya.

Rosly berkata, golongan yang kerap masuk ke negara jiran berkenaan sudah sedia maklum tentang harga makanan di sana yang tidak lagi murah seperti dulu.

"Tapi tu la orang kita yang tolong buat promosi percuma untuk Siam maka ramailah yang berpusu-pusu buat pasport semata-mata nak pi (pergi) Siam makan kedai viral yang tak murah pun," katanya.

Bagaimanapun dia mengakui terdapat beberapa lokasi lain di selatan Thailand yang menjual makanan dengan harga murah memandangkan tempat mereka kurang popular berbanding Hat Yai.

"Tapi kalau nak makanan murah kena pi sebelah Pattani atau Naratiwat, memang sangat murah," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hati-hati ‘shopping’ di kedai serbaneka, wanita ini dedah taktik juruwang di Thailand... Licik tipu pelancong!

ARTIKEL BERKAITAN: Emak dan ibu mentua teruja ‘join’ trip ke Hatyai... Anak izinkan asalkan tak bawa balik ‘bapa Thailand’

Pandangan Rosly itu dikongsi di kumpulan komuniti Backpackers Buddies Malaysia (BBM) dan mendapat pelbagai reaksi netizen dengan ada yang bersetuju dan sebaliknya.

Shabayn Mahmood misalnya bersetuju dengan pandangan Rosly dan berpendapat kawasan kurang tarikan pelancong masih menawarkan harga berpatutan.

"Nak murah kena pergi tempat yang local (orang tempatan) pergi, bukan tempat tourist (pelancong). Cari tempat yang tak ada tulisan English di Google," katanya.

Pandangan umum mengenai harga makanan di Thailand. - Foto Facebook

Pandangan umum mengenai harga makanan di Thailand. - Foto Facebook

Rohizani Yaakub pula bersetuju makanan di Hat Yai sudah mahal dan memilih Yala dan Naratiwat untuk bercuti.

"Sejak kenal Naratiwat dan Yala, memang kami tak pergi ke Hat Yai. Kat sini makanan lagi sedap, harga berbaloi. Penjual pastinya Islam. Lagipun tak serabut dengan lautan manusia," katanya.

Dari Danok sampai Hat Yai semua harga makanan dan minuman depa (peniaga) dah naikkan.

ROSLY

Kidz Eddry pula berpandangan rakyat Malaysia yang melancong ke Thailand bukan kerana mahal atau murah, sebaliknya ingin menikmati percutian di luar negara.

"For me (bagi saya) ke Hat Yai bukan sebab katanya murah or (atau) mahal. Tetapi sebab nak makan angin dan makan makanan Hat Yai.

"Sejujurnya murah tu tidak tepat, tetapi kalau sedikit murah tu setuju. Dekat Malaysia pun banyak je kedai makan yang masih murah," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain