suria

Tak cukup RM3, warga emas terkial-kial seluk poket depan kaunter bayaran... Orang belakang buat tak tahu, sanggup beratur 15 minit

Ujian boleh menimpa seseorang pada bila-bila masa. -Gambar hiasan

SIKAP saling membantu sesama insan merupakan satu amalan mulia.

Namun ia semakin jarang dilihat pada masa kini terutamanya dalam kalangan generasi muda yang cenderung bersifat mementingkan diri.

Melalui satu perkongsian tular di laman TikTok, seorang wanita meluahkan rasa kesal dengan insiden yang berlaku ketika dia sedang beratur di kaunter bayaran sebuah pasar raya.

Pelbagai gelagat manusia dapat diperhatikan ketika di pasar raya. -Gambar hiasan

Menurut wanita tersebut, barisan ketika itu agak panjang dan dia merupakan orang ketujuh yang sedang menunggu giliran untuk membuat pembayaran.

"Waktu tu saya beli barang macam biasa, kemudian beratur nak bayar. Tapi masalahnya barisan saya tu tak bergerak dan saya tertunggu-tunggu lama betul dekat situ. Apa masalahnya orang depan ni, kenapa tak selesai lagi?

"Hampir 15 minit juga saya menunggu, tak boleh jadi ni, saya pun pergi jenguk ke depan. Rupanya ada seorang pakcik warga emas ni duduk seluk poket dia mencari duit syiling.

ARTIKEL BERKAITAN: Gelandangan kesejukan, pakcik ini bagi baju dipakai sebelum bantu belikan makanan! Rupanya mata memang ‘peka cari orang susah’

ARTIKEL BERKAITAN: Motor habis minyak, pemuda tak puas hati rider cuma isi RM1 selepas dihulur duit... Rupanya simpan baki untuk beli lampin anak

"Saya tanya cashier, katanya pakcik tu tak cukup lagi RM3 nak bayar barang dia beli. Kesian saya tengok pakcik tu terkial-kial nak bayar tapi tiada duit.

"Akhirnya saya tawarkan diri untuk tolong bayarkan bagi pihak pakcik tu, tapi cashier tu kata tak perlu sebab dia dah selesaikan, RM3 tu tolak terus daripada akaun dia. Pakcik tu pun berterima kasih," ujar wanita itu lega.

Walau bagaimanapun, perkara yang membuatkan wanita itu berasa ralat apabila mengenangkan sepanjang 15 minit warga emas tersebut menghadapi kesulitan, tiada seorang pun tampil untuk membantu.

Orang kita ni mungkin kena ada yang rakam dan masukkan dalam media sosial baru mereka tergerak hati nak buat baik.

WARGA MAYA

"Yang beratur dekat depan saya ada enam orang, semuanya orang Melayu kita, tapi masing-masing liat nak tolong pakcik tu. Mereka cuma tahu bising kenapa pakcik tu lambat nak bayar.

"Alangkah bagusnya kalau ada seorang yang boleh bermurah hati pergi bayarkan untuk pakcik tu, RM3 je pun, bukannya RM30 atau RM300. Berkira sangat orang sekarang ni, tak ada rasa kesian langsung ke dekat pakcik tu?

"Cuba biasakan bersedekah walaupun sedikit," kata wanita itu menitipkan pesanan.

Pelayar bertukar pandangan.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya turut berkongsi pengalaman yang hampir serupa.

"Saya pernah alami situasi sama, ada seorang makcik ni beli minyak paket tapi tak cukup duit. Tiba-tiba cashier tu tinggikan suara dekat makcik tu, gugur air mata ni, saya pun terus tolong bayarkan. Sepaket minyak je pun, bukan botol besar.

"Orang kita ni mungkin kena ada yang rakam dan masukkan dalam media sosial baru semangat nak buat baik. Kalau tidak memang semua menonong je buat tak endah.

"Syabas sis sebab lakukan perkara yang betul, semoga terus dimurahkan rezeki," ujar sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain