suria

Dulu kusam, kotor... Penduduk aras 6 flat PPR bangga ada lobi macam hotel! Mak-mak kreatif beri idea, geng lelaki realisasi impian

Tiga minggu masa yang diperlukan untuk proses pengubahsuaian.

INGATKAN lobi hotel, rupanya flat! Ternyata penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Flat Lembah Subang 1 di Petaling Jaya, Selangor cukup kreatif menghias ruang di kawasan perumahan mereka.

Bagi sesiapa yang menjejak kaki di tingkat enam blok D bangunan perumahan itu, pastinya terkejut sebaik melangkah keluar dari lif.

Mana tidaknya! Sebaik saja pintu lif dibuka, mereka akan 'disambut' dengan lantai mozek berwana hitam keputihan, lampu hiasan tergantung, kipas angin dan dinding yang dihiasi bingkai bunga keemasan seolah-olah berada di hotel mewah.

Awas ya, kamera litar tertutup (CCTV) juga mengawasi setiap gerak keluar masuk anda di tingkat berkenaan.

Pemandangan sebaik pintu lif dibuka.

Pemandangan elegan sebaik pintu lif dibuka.

Salah seorang penduduk, Nur Suziela Sulaiman, 36, memaklumkan inisiatif menghias tingkat berkenaan dibuat sempena pertandingan kebersihan dan keceriaan anjuran thinkcity dan K2K bermula dari 24 Ogos lalu sehingga 17 November depan.

"Empat konsep ditawarkan dalam pertandingan ini iaitu minimalis, lobi hotel, moden dan alam sekitar. Setiap aras mempunyai konsep yang berbeza dan mengikut perbincangan sesama jiran tertangga.

"Seperti kami di aras enam, pada peringkat awal kami memilih konsep moden tetapi kemudian bertukar ke lobi hotel seperti gambar yang tular di media sosial," katanya ketika dihubungi mStar.

Berkongsi mengenai transformasi aras enam yang dilihat kusam dan kotor sebelum ini, pentadbir perakaunan itu berkata semua penduduk aras itu yang terdiri 14 unit kediaman memperuntukkan antara RM3,000 hingga RM4,000 bagi tujuan ubah suai ini.

Nur Suziela (lima, kiri) bersama jiran tertangga yang bertungkus lumus mengubahsuai aras mereka.

Nur Suziela (lima, kiri) bersama jiran tertangga yang bertungkus lumus mengubah suai aras enam.

"Jumlah itu bukannya sepenuhnya daripada kami semata-mata sebaliknya ada dari sumbangan kenalan rapat, selain ada kalangan kami menjual barangan terpakai dan setiap dari kami tidak diletakkan jumlah tertentu.

"Kesemua penduduk aras enam terlibat dengan kerja-kerja pengubahsuaian ini dari 1 September hingga 21 September lalu. Pemasangan mozek juga dilakukan oleh jiran yang mempunyai kemahiran dalam memasang," katanya.

Bercerita lebih lanjut, dia berkata ketika ini pertandingan baru melepasi fasa pertama dan terdapat tiga lagi fasa yang perlu dilalui sebelum tamat pada November depan.

"Ini baru peringkat kawasan lobi sahaja, lepas ini fokus merangkumi kawasan tangga, koridor dengan kebersihan perlu sentiasa dijaga," katanya.

Kos ubah suai dianggar RM3,000 hingga RM4,000.

Kos ubah suai dianggar mencecah RM4,000.

Ditanya mengenai bagaimanakah mereka sesama jiran berkerjasama, Nur Suziela berkata sebaik pertandingan bermula mereka membentuk dua pasukan bagi tujuan merancang dan pemasangan.

"Kumpulan merancang terdiri daripada golongan mak-mak yang inginkan kecantikan sahaja. Jadi kami yang fikirkan apa konsep yang ingin ditonjolkan. Kami rancang selama seminggu termasuk membuat kiraan kos yang diperlukan.

"Manakala, pemasangan yang membabitkan kerja-kerja berat dilaksanakan golongan lelaki," katanya.

Kerja-kerja ubah suai dilakukan sepenuhnya oleh penghuni aras enam Blok D Flat Lembah Subang 1.

Kerja-kerja ubah suai dilakukan sepenuhnya oleh penghuni aras enam Blok D Flat Lembah Subang 1.

Menurut wanita ini, walaupun mereka melakukannya untuk pertandingan namun masing-masing sedar ia secara tidak langsung menambah baik ruang persekitaran kediaman menjadi bersih dan ceria.

"Secara tidak langsung ia memupuk semangat kekitaan dalam komuniti dan menggalakkan komuniti menghargai persekitaran hidup berkualiti tinggi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Luar flat dalam kondo! Anak-anak kumpul RM80,000 ubah suai rumah buruk jadi mahligai... 25 tahun terbiar, jiran tumpang buat stor

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda kagum kecanggihan, kebersihan rumah pangsa di JB tapi netizen ada rasa musykil - “Flat paling bersih kat Singapura je”

Selepas ini fokus merangkumi kawasan tangga, koridor dengan kebersihan perlu sentiasa dijaga.

Nur Suziela

Sementara itu, di aplikasi TikTok, rata-rata pengguna media sosial memuji langkah yang diambil kumpulan penduduk aras enam berkenaan dan menyifatkan ruang itu kelihatan cukup mewah.

"Jadi dekat sini kita belajar bukan isu tempat dan kawasan tapi isu penduduk .. kalau penduduk bersatu hasilnya terbaik.

"Waaa macam hotel. Kalau penduduk sepakat dan jaga kebersihan mesti cantik-cantik flat yang ada.

"Cantiknya... tak adalah rasa usang atau scary (menakutkan) bila lalu.. rasa macam hotel," demikian komen beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain