suria

Duit belanja buat umrah hangus, pensyarah ditipu pelajar sendiri... Tak sangka surat tawaran belajar di UK hanya palsu!

Pengalaman ditipu pelajar sendiri begitu memberi kesan kepada seorang pensyarah. -Gambar hiasan

SEJAK sekian lama sentiasa berhati-hati daripada menjadi mangsa taktik penipuan dalam talian, seorang wanita bagaimanapun tidak menyangka dia akhirnya ditipu oleh pelajarnya sendiri.

Hakikat yang pahit untuk ditelan, namun itulah yang dialami seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan mengenai kejadian lapan tahun lalu.

"Saya ajar pelajar perempuan ni. Dia memang cantik, cuma kadang nampak macam depress and a bit psycho kalau tengok apa yang dia post kat Instagram (kami rakan di Instagram). Nampak macam dia obses nak belajar di United Kingdom (UK).

"Satu hari dia mesej nak minta tolong. Katanya dapat tawaran untuk belajar di UK, dan kena bayar untuk pendaftaran dalam tempoh dua hari. Dia tanya... Miss, boleh tak I nak pinjam RM5,000 untuk buat bayaran pendaftaran ni?'," katanya.

Pensyarah itu berkongsi hal itu menerusi satu hantaran di laman Threads menggunakan akaun @mas.almasz.

Seorang wanita menjalankan tugas di pejabat. -Gambar hiasan

Berkongsi cerita kepada mStar, dia yang lebih mesra disapa Al Mas itu berkata, pelajar berkenaan mendakwa perlu membayar yuran pendaftaran dalam tempoh dua hari dan memaklumkan bapanya berada di luar negara serta sukar untuk dihubungi.

Setelah meneliti beberapa dokumen termasuk surat tawaran yang dikongsikan, Al Mas tanpa berfikir panjang meminjamkan wang sejumlah itu kepada pelajar berkenaan yang berjanji untuk membayarnya balik selepas bapanya kembali ke tanah air dalam tempoh tiga hari.

"Saya beritahu dia nak guna duit tu untuk tunaikan umrah. Saya pesan dan harap dia bayar on time. Saya pun transfer RM5,000 ke akaun dia," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri tadah tangan doa ‘loan’ suami tak lulus, cara halus sekat beli kereta mahal - “Hujung bulan mesti pinjam duit dengan aku”

ARTIKEL BERKAITAN: Gaji cukup makan, suami kerja ‘gomen’ ada hati buat loan 200K untuk ibu! Isteri terbaca mesej di telefon mentua

Namun kata Al Mas, hanya selepas lima hari barulah pelajar berkenaan menghubunginya berkenaan dengan bayaran balik sebagaimana yang dijanjikan.

"Dia beritahu mak ayah dia baru balik itu ini, esok dia transfer. Lagi dua hari, dia beritahu ada masalah dengan bank ayahnya, lagi dua, tiga hari baru clear.

"Lagi seminggu, senyap. Saya mesej tapi dah tak balas. Dan dia dah tak datang ke kelas sebab dah nak sambung belajar ke UK. Memang tak ada jumpa dia," katanya lagi.

Seorang pelajar meminta bantuan untuk meminjam sejumlah wang. -Gambar hiasan

Menurut Al Mas, dia kemudian berjaya menghubungi bapa pelajar berkenaan selepas hasil semakan dan satu pertemuan di kampus ditetapkan.

"Ayah dia minta saya jelaskan semua. Saya pun cerita. Kemudian ayah dia kata... kenapa kamu berani bagi dia pinjam duit macam tu? Kenapa percaya cakap dia? Dia tak ada inform apa-apa. Dia takkan belajar di UK pun.

"Bapa dia jawab lagi... saya dah tanya, duit tu dah tak ada. Dia bagi kat seorang lagi kawan untuk pelaburan apa entah yang kononnya ada pulangan dalam masa seminggu tapi duit tu hangus macam tu je," katanya mengimbau perbualan dengan si bapa.

Saya sedang belajar untuk reda... saya tahu itu memang ujian untuk dijadikan iktibar.

AL MAS

PENSYARAH

Setelah berbincang, bapa pelajar itu hanya mampu membayar pinjaman tersebut secara ansuran bermula dengan bayaran pertama sebanyak RM1,000.

"Selepas seminggu bapa dia bayar RM1,000. Tapi itulah sahaja jumlah yang dia bayar pun. Saya ada mesej dia beberapa kali, tapi dia ignore terus.

"Dia tak block saya pun tapi itulah memang buat pekak je ayah pelajar tu. Yang pelajar tu memang terus blocked saya kat semua platform termasuk IG dan WhatsApp," katanya.

Walaupun kejadian berlaku lapan tahun lalu, namun Al Mas mengakui masih terkesan ditipu oleh pelajarnya sendiri.

"Saya terkesan sebab rasa begitu mudah pula tertipu dengan pelajar saya sendiri. Sejak itu memang saya amalkan, kalau nak bagi pinjam duit pada sesiapa, saya hanya bagi dalam jumlah yang kalau dia tak bayar... saya mampu untuk reda dan halalkan.

"Saya ada buat Thread berkenaan kawan pinjam duit dan sebab saya tolong dia sikit, saya dapat rezeki berganda. Ada komen-komen menyatakan pengalaman mereka lepas bagi pinjam duit, kena blocked, kawan larikan diri dan sebagainya. Jadi saya terkenang semula kisah pelajar tu," ujarnya.

Pemindahan wang dibuat untuk kegunaan pelajar. -Gambar hiasan

Bagi Al Mas, dia menganggap apa yang berlaku sebagai ujian dalam kehidupan untuk dijadikan pengajaran.

"Saya sedang belajar untuk reda. Saya tahu itu memang ujian untuk dijadikan iktibar. Kalau duit tu kawan saya pinjam sebab kesusahan hidup, terdesak nak makan, urusan kehidupan yang lazim, dah lama saya reda dan halalkan.

"Tapi sebab ia penipuan dan melibatkan pelajar saya sendiri, saya ambil masa lama sedikit. Tapi andai kata kalau dia ingin berjumpa saya, mungkin saya akan memaafkan dan mungkin akan terus menghalalkan," katanya lagi.

Berdasarkan pengalamannya itu, dia menasihatkan semua terutama belia dan pelajar supaya merujuk pada yang pakar sekiranya mahu membuat pelaburan dan jangan mudah terpedaya dengan apa jua skim cepat kaya yang tidak masuk akal.

"Kita ni walau sedang susah hati atau serabut macam mana pun dan berniat baik nak tolong orang lain, periksa betul-betul sebelum beri pertolongan.

"Kecuali kalau pertolongan yang memang nyata antara hidup dan mati, bantu orang makan dan sebagainya. Tapi kalau minta pertolongan duit dengan jumlah besar, periksa betul-betul.

"Simpan semua bukti jika jumlahnya besar jadi senang nak buat apa-apa tuntutan rasmi. Kalau berniat nak tolong atau pinjam, bagi jumlah yang sekiranya hangus, kita mampu untuk halalkan atau reda," katanya mengakhiri bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain