BENARLAH orang kata, apabila merasakan kita dalam kesusahan sebenarnya ada insan lain yang lebih susah. Memang kehidupan mereka susah, tapi segelintirnya masih mampu tersenyum dan bersyukur dengan apa yang ada. Perkara itu dialami sendiri oleh penceramah bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malik yang baru selesai mengikuti program Kembara Zakat Perak. Asnaf menerima bantuan kewangan. -Gambar hiasan Lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi, katanya banyak yang dipelajari pada minggu lalu sehinggakan membuatkan dia mahu mengalirkan air mata. "Banyak yang ustaz belajar. Minggu ni betul-betul Allah SWT ajar, hantar orang-orang miskin untuk mendidik ustaz. "Alhamdulillah, orang miskin ni jiwanya kaya. Kami pergi ke rumah dia, rumahnya kecil dan mempunyai ramai anak. "Tapi dia hidangkan nasi ayam untuk kami. Bertungkus-lumus masak nasi ayam dan susah payah hidangkan makanan sedangkan mereka ni penerima zakat," katanya menerusi satu hantaran di Facebook. ARTIKEL BERKAITAN: Penagih minta ustaz tempah bilik VIP di neraka, mati nak terus check in! Kini jadi siak masjid, insaf lepas ibu meninggal ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz terkejut pendedahan ketua gengster, syarat nak jadi ahli kongsi gelap tak boleh derhaka dengan mak ayah Menerusi program Kembara Dakwah Zakat anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Ustaz Hanafi turut terharu apabila dilayani dengan baik ketika menziarah asnaf-asnaf lain. "Ustaz doakan mereka yang jamu kami makan, Allah SWT jamu mereka dengan jamuan syurga. Kaya dunia, kaya akhirat," katanya. Seorang suri rumah membuat persiapan untuk tetamu. -Gambar hiasan Bercerita lanjut, Ustaz Hanafi berkata dia juga sempat bertemu dengan seorang pesakit kanser, sambil menambah asnaf itu menjual aiskrim demi meneruskan kelangsungan hidup. "Dia jual aiskrim untuk sara hidup. Dia beritahu Zakat Perak yang dia tak ada duit tambang nak ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan," katanya. Walau apa pun keadaan miskin atau kaya mesti rendah hati dan sentiasa kembali kepada Allah SWT. USTAZ HANAFI PENCERAMAH BEBAS Namun katanya, penjual aiskrim yang juga mualaf itu melayani mereka yang datang membuat lawatan ke rumahnya dengan baik meskipun kehidupannya susah. "Ya Allah, hidup susah... tak ada duit tapi apabila kami datang jamu air dan aiskrim Malaysia. "Kebanyakan penghuni syurga ialah orang miskin, lemah dan menderita tetapi mereka beriman dan bersabar ketika hidupnya," tambahnya. Aiskrim Malaysia menjadi kegemaran ramai. -Gambar hiasan Sementara itu, pada hari terakhir kembara tersebut, Ustaz Hanafi bertemu dengan seorang usahawan asnaf yang dahulunya merupakan penerima bantuan zakat, dan kini membayar zakat. "Kami singgah makan di tempat dia di Ladang Ternakan Ayam Kampung. Apabila pernah hidup susah, ada yang bangkit jadi lebih kreatif dalam hidupnya," ujarnya. Tiga daripada empat kisah asnaf yang diceritakan Ustaz Hanafi mengundang sebak, dan terdapat mesej serta pengajaran yang ingin disampaikannya kepada masyarakat. "Kisah ni buat ustaz nak menangis. Apa yang ustaz nak sampaikan ialah keluarlah, berbual dan cari inspirasi kehidupan daripada orang-orang miskin. "Pujuk hati kita walau apa pun keadaan miskin atau kaya mesti rendah hati dan sentiasa kembali kepada Allah SWT. "Ingat, usahakanlah kaya di dunia dan kaya di akhirat. Berusahalah keluar daripada kemiskinan," katanya sambil berterima kasih kepada Zakat Perak kerana membantu dan melahirkan ramai usahawan yang berjaya dalam kalangan asnaf. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube