suria

Ibu buat pendedahan mengejutkan tetamu! Anak lelaki tak jadi kahwin, pasangan batal nikah saat akhir... Majlis resepsi bertukar doa selamat

Ibu Adam (kiri) tidak dapat menahan sebak ketika mengumumkan pembatalan majlis perkahwinannya, (kanan) Adam ditenangkan keluarga sehari sebelum majlis.

BERATNYA dugaan yang ditempuhi oleh pemuda ini apabila majlis perkahwinan yang dinanti-nantikannya berakhir menjadi majlis doa selamat.

Menerusi beberapa video yang dikongsikan di akaun TikTok @DemFlacco menunjukkan suasana sekitar majlis berkenaan, rata-rata warga maya sebak apabila melihat pemuda tersebut dan ibunya tabah menyampaikan ucapan di hadapan tetamu bagi memaklumkan khabar duka itu.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Adam itu berkata, video tersebut dirakam pada 28 September lalu iaitu pada hari sepatutnya berlangsung majlis resepsi di pihak pengantin lelaki.

"Perancangan asal, upacara akad nikah saya dan pasangan dijadualkan pada 27 September 2024, dan kenduri sebelah lelaki pada 28 September 2024.

"Namun disebabkan ada isu, pihak perempuan memutuskan untuk cancel majlis.

pic 2

Keluarga besar Adam yang menjadi sistem sokongan kuat buat dirinya.

"Saya sebenarnya memilih untuk memaafkan, namun tak boleh nak paksa bila pihak sana dah buat keputusan.

"Disebabkan semua persiapan dah siap, dewan pun dah bayar penuh dan takkan dapat refund jika batalkan, keluarga saya berbincang dan akhirnya kami sepakat teruskan saja majlis tapi tukar kepada majlis doa selamat," ujar pemuda berusia 23 tahun ini.

Enggan berkongsi lebih lanjut mengenai isu yang menjadi punca pembatalan, Adam berkata pihak perempuan bertemu dengan keluarganya pada 23 Ogos, iaitu kira-kira sebulan sebelum majlis perkahwinan, untuk memaklumkan keputusan mereka 'menarik diri'.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak jadi kahwin, wanita tebal muka minta semua pihak pulangkan deposit! ‘Ajaib’ semua setuju refund, tak banyak ‘songeh’

ARTIKEL BERKAITAN: Bakal suami tarik diri, batal kahwin 2 minggu sebelum majlis... Wanita kecewa terus pergi ‘healing’ tengok konsert

"Mereka pulangkan cincin dan barangan tunang. Saya tak pasti kekuatan apa yang diberi Allah, saya pilih nak selamatkan (hubungan)... tak kisahlah sebab apa, saya nak maafkan.

"Tapi nampaknya seperti tiada harapan. Sejujurnya, saya benar-benar hiba namun perlahan-lahan saya sedar, cinta kepada manusia bukanlah segalanya.

"Saya fikir, Allah nak saya dekat dengan Dia. Jadi sepanjang tempoh sebulan meniti hari hingga majlis yang patutnya jadi hari bahagia, saya lebih tenang," ujarnya sambil menambah, perkenalan dengan wanita berkenaan terjalin sejak 2022 sebelum bertunang pada Februari lalu.

Sejujurnya iya saya trauma. Trauma nak kahwin, nak percaya orang.

ADAM

Adam yang merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik ini berkata, rata-rata tetamu yang hadir pada majlis tersebut turut tidak dapat menahan sebak apabila mengetahui pembatalan majlis perkahwinannya.

"Kami tak beritahu jemputan mengenai pembatalan lebih awal. Selain persiapan dah buat, salah satu sebab lain adalah 'susah nak jawab'... pasti bertalu-talu mesej masuk.

"Jadi bila dah sepakat buat majlis doa selamat, ibu saya dah sediakan skripnya. Ya seperti dijangka, mereka terkejut sebab boleh kata 90 peratus tetamu tak tahu.

"Bila ibu sebak, tetamu turut sebak. Saya hanya berucap secara spontan. Ramai kata nampak tenang... sebenarnya, sehari sebelumnya, saya dah 'lepaskan' semua," ujarnya lagi.

pic 3

Adam bersama ibu dan adik bongsunya.

Mengakui apa yang berlaku memberikan impak yang sangat besar buat diri dan keluarga, Adam berkata ramai yang menyarankan supaya pihaknya mengambil tindakan undang-undang.

"Kami enggan mengambil tindakan yang melulu... buat masa ini, belum ada kata muktamad mengenai perkara itu.

"Bercakap pasal trauma, sejujurnya ya saya trauma. Trauma nak kahwin, nak percaya orang. Buat masa ini, saya sedang dalam fasa nak pulihkan semangat. Apa pun saya tetap mendoakan si dia di mana jua dia berada.

"Saya dah belajar memaafkan. Siapa kita untuk tak maafkan orang?

"Buat mereka yang mendoakan saya dan keluarga, saya hanya mampu ucapkan terima kasih banyak-banyak. Saya sangat hargai. Tak mampu nak balas setiap satu. Moga kebaikan berbalik kepada mereka jua," akhirinya.

Sehingga kini, beberapa video yang dimuat naik oleh Adam sekitar majlisnya meraih antara 67,000 hingga 500,000 jumlah tontonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain