suria

Anggota LZS terkejut tengok kebahagiaan hidup keluarga tinggal bawah jambatan, dapat pengajaran kisah asnaf fakir

Kisah menyayat hati sebuah keluarga yang dikongsikan Lembaga Zakat Selangor. -Gambar hiasan

"TAK sangka masih ada keluarga tinggal bawah jambatan di Bandar Baru Bangi ini."

Demikian luahan rasa simpati oleh anggota Lembaga Zakat Selangor (LZS) ketika turun padang untuk melihat keadaan gelandangan di sekitar Sungai Langat, Selangor.

Melalui satu perkongsian di laman X, anggota LZS tersebut pada awalnya menyangka kelompok manusia yang berkeliaran di situ adalah golongan warga asing, namun sangkaan mereka ternyata meleset.

Kewujudan gelandangan sudah sebati dalam masyarakat. -Gambar hiasan

"Rupanya mereka satu keluarga, orang tempatan kita juga. Mereka sudah duduk di bawah jambatan selama hampir setahun. Lelaki tu tinggal di situ bersama isteri, dua orang anak dan abangnya.

"Abang kepada lelaki itu adalah orang kelainan upaya (OKU) kerana buta sebelah mata, manakala anak kedua lelaki tu tidak bersekolah. Kami pun tanya kepada lelaki tu apa yang terjadi, kenapa menetap di bawah jambatan?

"Lelaki tu pun buka cerita, katanya mereka tak cukup duit untuk ada rumah. Mereka bekerja cari hasil kebun je, susah nak raih wang lebih. Jadi duduk sini senang, tak perlu bayar apa-apa, tinggal fikir duit makan je.

ARTIKEL BERKAITAN: Video suami isteri bawa anak kecil mengemis tular, Zakat Selangor segera cari... Tapi lain pula yang dijumpai

ARTIKEL BERKAITAN: Pakcik misteri dekati pemuda sedang melepak, buat permintaan aneh! Persoalan terjawab selepas hantar ke pusat zakat

"Terkedu kami apabila mendengar situasi sebegitu. Namun menariknya, lelaki tu menceritakan nasib keluarganya dengan cara yang bersahaja, seolah-olah tidak memberikan apa-apa impak," ujar anggota LZS berkenaan.

Menurut anggota itu lagi, dia dan pasukannya bergegas ke lokasi kerana menerima aduan daripada orang awam mengenai keluarga terbabit yang tinggal di bawah jambatan.

"Tapi hairannya, keluarga itu masih boleh tersenyum dan seolah-olah tiada masalah apa, walaupun hidup dalam keadaan yang daif seperti itu," katanya kagum.

Kebahagiaan bukan bergantung kepada berapa banyak harta kita ada, namun kayanya jiwa.

ANGGOTA LEMBAGA ZAKAT SELANGOR

Setelah disemak menerusi pangkalan data Zakat Selangor, keluarga itu sebenarnya pernah menerima Bantuan Kewangan Bulanan dan beberapa bantuan lain ketika menetap di Hulu Selangor suatu masa dahulu.

"Namun pada tahun 2020, bantuan dihentikan kerana mereka berpindah ke kampung halaman lelaki itu di Pahang. Kami akan daftarkan semula keluarga ini sebaga asnaf fakir dan menyalurkan bantuan yang sewajarnya.

"Ada pengajaran yang kita boleh dapat daripada kisah keluarga ini, kebahagiaan bukan bergantung kepada berapa banyak harta kita ada, namun kayanya jiwa.

"Kita sering mengeluh kenapa aku diuji dengan ujian berat, sedangkan ramai lagi di luar sana yang diuji dengan rintangan yang pelbagai.

Pelayar bertukar pandangan.

"Bersyukur dan berkongsilah rezeki dengan mereka yang memerlukan," kata anggota itu mengakhiri kata.

Menjengah ke ruangan ciapan balas, rata-rata warga maya memuji kecekapan anggota LZS tersebut.

"Tahniah Lembaga Zakat Selangor kerana proaktif, hampir setahun hidup di luar tanpa ada tempat berteduh, kesiannya tengok keadaan keluarga ini.

"Kadang tu rasa hidup ni dah susah sangat, rupanya wujud mereka yang lebih berat ujiannya. Ini masa untuk bermuhasabah diri," ujar sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain