suria

Waktu tawar kerja sembang modal juta-juta, sampai hari gaji bos minta diskaun! Lelaki ini akhirnya tahu cara orang kaya berniaga

Kesilapan dalam kehidupan boleh mematangkan seseorang. -Gambar hiasan

PERSAINGAN sesama kenalan dalam kerjaya ada kalanya boleh membawa padah.

Melalui satu hantaran di laman X, seorang lelaki berkongsi pengajaran diperolehnya ketika menjadi rakan kongsi kepada kenalan yang digambarkan sebagai kaya-raya.

Mengimbas permulaan pengalaman pahitnya, lelaki itu berkata dia ditayangkan dengan modal RM1 juta kononnya hendak menarik minatnya untuk menyertai perniagaan.

"Dia cakap dekat aku begini... aku ada duit, mari kerja dengan aku, aku boleh bayar kau. Malah dia yakin bisnesnya akan lebih banyak untung selepas ni. Ketika itu, aku boleh simpulkan dia adalah orang paling kaya dalam cicrle kami.

Upah ditawarkan seharusnya setimpal dengan kerja keras yang dicurahkan. -Gambar hiasan

"Mamat tu minta aku tinggalkan kerja sedia ada untuk bekerja dengan dia, syukur aku ni tak senang digula-gulakan. Dia janji kalau bisnes dia berjaya nanti, dia akan pergi ke Tawaran Awam Permulaan (IPO) dan bagi saham dekat aku.

"Tapi masalahnya dia pun tergagap-gagap nak sebut berapa peratus saham yang dia rancang untuk bagi kepada aku," ujar lelaki itu yang merupakan seorang perunding dalam bidang pemasaran.

Melanjutkan penceritaan, lelaki itu menjelaskan dia akhirnya bersetuju untuk membantu perniagaan kenalannya secara sambilan.

"Aku letakkan satu syarat, aku boleh tolong dia untuk bina dan jaga pemasaran produknya tapi jangan kacau aku waktu bekerja. Aku akan cari masa pada waktu petang dan malam selepas habis kerja untuk tolong dia.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak serik rugi, ada hati nak pinjam duit kawan RM30,000! Netizen kata sah kena tipu, siap kongsi cara nak perdaya scammer

ARTIKEL BERKAITAN: “Bagi RM20 macam RM2,000”- Scammer bengang dikejar di highway, sempat perlekeh mangsa sebelum pulangkan duit yang ditipu

"Hampir tiga hingga empat bulan juga aku bantu dia buat benda ni. Tak lama tu, aku perasan kenalan aku ni suka letak petunjuk prestasi utama (KPI) yang tak masuk akal selepas produk dia dilancarkan.

"Dia seolah-olah syok sendiri apabila bergelar pengasas produk. Aku macam penat buang masa untuk semua ni, aku pun beritahu dia elok-elok supaya cari pihak yang lebih berkelayakan bantu dia dalam bidang ni, aku mahu berhenti.

"Sepanjang aku bekerja dengan dia, aku tak dibayar pun sampai la waktu aku nak keluar," kata lelaki itu terkilan.

Lebih menyakitkan hati apabila kenalannya cuba mencari jalan pintas untuk membayar khidmatnya.

Jangan biarkan diri kita dibeli dengan mudah, berkeras sikit apabila jumpa orang yang suka tawar-menawar.

WARGA MAYA

"Dia tanya berapa (kadar upah), aku cakap dalam RM4,500 hingga RM5,000. Kelakarnya dia tergamak minta diskaun, memang muka tembok betul. Tapi akhirnya dia bayar juga jumlah yang aku minta tu.

"Sebenarnya kalau ikut persetujuan, dia sepatutnya bayar ketika tempoh aku bekerja tiga bulan tu, tak mengapalah. Banyak benda aku belajar berurusan dengan orang kaya macam ni.

"Kini aku sedar kelemahan diri aku dan tahu macam mana nak berhadapan dengan klien pada masa akan datang," ujarnya mengakhiri bicara.

Menjengah ke ruangan ciapan balas, warga maya berkongsi beberapa petunjuk yang boleh diperhatikan untuk menentukan sekiranya seseorang itu hanya menanam tebu di tepi bibir.

Pelayar bertukar pandangan.

"Sangat red flag kalau waktu awal-awal jumpa dah cerita pasal harta, kereta, simpanan serta pendapatan. Padahal kita tak tanya pun, tapi dia yang beria-ria sembang.

"Jangan biarkan diri kita dibeli dengan mudah, berkeras sikit apabila jumpa orang yang suka tawar-menawar ni. Ia melibatkan harga diri kita.

"Pernah juga ada rakan karib ajak saya buat benda sama, akhirnya sekarang kami bermusuhan sebab salah faham dalam perniagaan," demikian kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia