KERANA wang, ada manusia sanggup melakukan apa saja tanpa berfikir secara waras. Apatah lagi apabila seseorang itu mengalami kerugian, jika tiada pertimbangan memang orang terdekatlah yang jadi mangsa. Menerusi satu perkongsian, seorang lelaki bercerita kisah pasangan suami isteri di sebuah restoran ketika makan malam bersama. Lelaki mengalami kerugian dalam pelaburan. -Gambar hiasan Melangkah masuk ke dalam premis bersama keluarganya, dia dapat melihat gelagat si suami yang sedang tekun melihat telefon bimbitnya dipercayai berkaitan dengan pelaburan mata wang asing (forex). “Sekilas pandang saya nampak ‘kemerahan’. Skrin telefonnya menunjukkan paparan aplikasi metatrader yang sedang float rugi. Sangkaan saya, dia mungkin seorang trader forex,” katanya dalam hantaran di Threads. Kebetulan tempat duduknya menghadap pelanggan berkenaan, justeru dapat melihat lelaki tersebut bersama seorang wanita dan dua kanak-kanak. ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki lupa agama demi forex! Wanita kecewa suami tergamak sorok gaji, elak bayar nafkah... Isteri buat 4 kerja nak cari duit ARTIKEL BERKAITAN: Isteri tadah tangan doa ‘loan’ suami tak lulus, cara halus sekat beli kereta mahal - “Hujung bulan mesti pinjam duit dengan aku” Menurutnya, riak wajah si suami amat serius dan begitu tertekan, malah dilihat beberapa kali bangun, keluar dan masuk restoran itu. Mungkin itulah duit belanja untuk bulan ini atau keseluruhan duit simpanan yang dihabiskannya untuk dijadikan modal. PELANGGAN RESTORAN “Dia seperti sedang hubungi seseorang tetapi tiada respons. Resah gelisah sambil merenung tajam pada telefon miliknya,” ujarnya. Kemudian kedengaran suara si isteri cuba memujuknya sebelum berlaku insiden yang tidak disangka-sangka. “Saya anggap wanita itu isterinya, dia berkata, Abang makanlah, abang sibuk apa dengan telefon? Serentak si isteri merampas telefon daripada tangan lelaki itu. “Berlaku perebutan tarik menarik telefon yang akhirnya berakhir dengan satu penampar ke muka isterinya. Isterinya menangis. “Kedua-anak anaknya turut menangis mungkin kerana terkejut dengan apa yang berlaku. ‘Diamlah’ jerit lelaki tu lagi,” katanya yang mengimbas kembali perbualan suami isteri itu. Isu kewangan boleh mengakibatkan konflik dalam rumah tangga. -Gambar hiasan Bercerita lanjut, tidak lama kemudian, pasangan itu bersama anak-anaknya beredar dari restoran tanpa mengetahui apakah yang berlaku seterusnya. Bagaimanapun katanya, kejadian yang disaksikan di hadapan mata menimbulkan tanda tanya dan kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan pelaburan forex yang dilakukan si suami. “Saya dan isteri tak ambil port sangat, cuma anak saya yang tertanya-tanya. Dalam hati saya, mungkin kerana akaun trading dia hampir-hampir nak kena stop-out atau margin call sebab tu stres semacam. “Mungkin juga itulah duit belanja untuk bulan ini atau keseluruhan duit simpanan yang dihabiskannya untuk dijadikan modal. Mungkin juga duit hutang dengan Ah long. Wallahualam,” katanya lagi. Sebagai peringatan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram. Ini kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube