suria

Rakaman CCTV dedah housemate buang kucing kesayangan! Pengesan dicampak dalam tong sampah… Pelajar Malaysia di AS tuntut keadilan

Kucing milik Luqman hilang sejak September.

SEORANG pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (AS) berdepan detik pilu apabila kucing kesayangannya yang dikenali sebagai Mindy hilang sejak 27 September lalu.

Lebih menyedihkan dia yang hanya mahu dikenali sebagai Luqman Hakim, 22, mendakwa kucing itu telah dilepaskan oleh seorang rakan senegara yang menyewa di kediaman sama.

Bercakap kepada mStar, penuntut bidang Kejuruteraan Elektrikal itu berkata dia mempunyai bukti yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan mahu keadilan ditegakkan.

"Kami tinggal serumah dan saya percaya dia ada niat dengki dan menggunakan kucing untuk menyakitkan saya. Saya memang sayang kucing itu, lebih kurang enam bulan saya bela.

"Kucing saya ada penjejak pada kolar yang dipakai. Saya semak CCTV sebab tengok ia jauh sangat, dalam 2 kilometer (km). Saya tengok, kolar itu dipotong dan dibuang dalam tong sampah. Saya terkejut kerana kucing ini dalam rumah je.

"Takkan tiba-tiba pencuri masuk untuk curi kucing? Saya tahu masa tu dia seorang je ada di rumah. Saya pergi jumpa dia, tapi dia tak mengaku sehinggalah saya tengok CCTV," dakwanya sambil menambah pelaku adalah pelajar cemerlang dalam akademik.

Saya sangat terkejut (dengan kejadian ini). Saya trauma bila dia buat macam tu.

LUQMAN HAKIM

Menerusi rakaman CCTV yang dikongsi kepada mStar, kelihatan seorang lelaki di hadapan sebuah rumah membawa seekor kucing ke lokasi tidak diketahui.

Turut kedengaran bunyi suara seekor kucing yang mengiau dalam rakaman CCTV itu.

Dakwa Luqkman, dia gagal menemui kucingnya sejak kejadian itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda bengang! Kucing baru beranak diikat dalam guni sebelum dicampak dalam tong sampah

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis kucing terkena parvo dibuang di klinik berserta nota penuh emosi, doktor veterinar tak maafkan pelaku

Menurut Luqman, dia juga sudah membuat dua laporan iaitu kepada polis dan pihak universiti berhubung kejadian berkenaan.

Akibat kejadian itu, dia kini menetap di kediaman lain buat sementara waktu dan merancang untuk berpindah tidak lama lagi.

Bercerita lanjut, Luqman berkata dia pernah bertanya kepada rakan serumahnya itu dan mereka yang lain sekiranya dia boleh membela kucing di rumah sewa mereka.

luqman2

Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki keluar dari kediaman itu sambil membawa seekor kucing.

"Semua suka kucing dalam rumah tu. Dia okay je sebelum ini, tiada masalah. Cuma minggu terakhir baru mula ada masalah. Dia pernah lepaskan kucing saya dari rumah malam-malam, hari hujan pun dia lepaskan.

"Dia kata kucing tu keluar sendiri. Dia tak mengaku. Suatu hari saya nampak dia keluarkan kucing. Tapi dia menyalahkan kucing dan tak nak bertanggungjawab," dakwa Luqman lagi.

Menurut pelajar dari Pahang itu, dia berharap ada keadilan buat dirinya dan kucing kesayangan, malah dia juga berharap dapat disatukan semula dengan kucing kesayangannya.

luqman3

Luqman berkata kucing yang hilang itu baru sahaja dibela olehnya enam bulan lalu.

"Saya harap dia kena tindakan setimpal atas apa yang dia buat. Perbuatan ini tak boleh diterima. Setakat ini, dia tak ada minta maaf.

"Saya sangat terkejut (dengan kejadian ini). Saya trauma bila dia buat macam tu," ujarnya lagi.

Untuk berlaku adil, mStar turut menghubungi individu yang didakwa melepaskan kucing milik Luqman, namun dia memilih untuk tidak memberi sebarang komen memandangkan ia sudah menjadi kes polis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain