suria

2 murid pedalaman buat orang Sabah bangga menang pertandingan sajak! Cleaner sekolah antara penderma duit tiket

Cikgu Sharif membawa Manda dan Lepu menyertai pertandingan sajak peringkat kebangsaan.

PRASARANA yang serba kekurangan tidak menghalang dua pelajar di pedalaman Sabah ini untuk mencipta kejayaan.

Berkongsi kisah di TikTok, seorang guru dikenali sebagai Cikgu Sharif kagum dengan liku-liku perjalanan dilalui dua beradik ini untuk menggapai kejayaan dalam pertandingan sajak peringkat kebangsaan.

Si kakak, Qyra Aidyrra Suhaidi, 12, atau mesra disapa Manda menyertai acara tersebut pada Ogos lalu di Benut, Johor bersama adiknya, Aidy Alwandy Suhaidi, 10, atau senang dipanggil Lepu.

Menurut CIkgu Sharif yang berasal dari suku kaum Dusun, kebolehan Manda dan Lepu untuk mendeklamasikan sajak berjaya dicungkil apabila dia mengadakan sesi uji bakat di Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong Widu, Tambunan, Sabah.

"Apabila saya buat hebahan tentang uji bakat tu, ada 10 orang murid yang berminat mahu sertai, antara mereka adalah Lepu dan Manda. Jadi saya pun latih mereka tentang selok belok sajak.

"Teknik penyampaian sajak ni tak semudah yang disangka, ia bukan seperti menyanyi biasa, kita kena jaga mimik muka dan nada suara kita tak boleh boleh mendatar, ia harus dipelbagaikan.

"Tapi syukur Alhamdulillah, untuk Lepu dan Manda mereka cepat tangkap ilmu saya ajar, mungkin berkat budi pekerti mulia dan ketekunan mereka untuk berlatih. Setiap kali saya mengajar, ucapan terima kasih tak pernah lekang daripada mulut mereka.

"Bakat yang kebiasaannya memerlukan masa bertahun untuk serap, Lepu dan Manda boleh kuasai dalam beberapa bulan je. Akhirnya untuk uji bakat peringkat sekolah, Manda menjadi johan, manakala Lepu mendapat tempat kedua," ujar Cikgu Sharif bangga.

ARTIKEL BERKAITAN: Terjun lumpur, redah laluan berliku... Over size bukan masalah, ibu 2 anak ‘lepas geram’ buktikan cubaan sulung handle ATV memang berbaloi!

ARTIKEL BERKAITAN: Jurutera bimbang dilabel lelaki lembut selepas video memasak viral, pernah masuk wad psikiatri sebab depresi

Kecemerlangan Lepu dan Manda terus terserlah apabila mereka sekali lagi berjaya merebut kedudukan dua teratas dalam pertandingan sajak peringkat daerah tidak lama selepas itu.

Seterusnya momen kemuncak tiba apabila Lepu dan Manda mendapat jemputan bagi menyertai pertandingan sajak untuk sekolah kurang murid (SKM) peringkat kebangsaan anjuran SK Seri Bugis di Benut, Johor.

"Namun masalah kewangan membelenggu kami, tiket penerbangan ke Semenanjung saja sudah mencecah RM4,000, belum termasuk makan minum di sana. Penganjur berikan kami dua pilihan, pergi menggunakan bajet sendiri atau tarik diri.

"Saya tidak tergamak untuk mensia-siakan bakat Lepu dan Manda begitu sahaja, saya harus berikan peluang ini kepada mereka. Jadi atas inisiatif saya sendiri, saya hantar surat ke pihak berautoriti meminta bantuan sumbangan dana.

Kisah ini wajar menjadi sumber inspirasi kepada mereka yang asalnya daripada kawasan pedalaman.

CIKGU SHARIF

"Dari situ ada beberapa pihak yang sudi membantu, antaranya Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tambunan, saya berjaya kumpul hampir RM1,000. Kemudian guru-guru lain, staf, tukang cuci sekolah dan ibu bapa turut menyumbang.

"Kami berhempas pulas supaya cukup perbelanjaan bagi menampung perjalanan Lepu dan Manda ke pertandingan ini," jelas Cikgu Sharif yang juga merupakan ahli Persatuan Pemuisi D'bayu.

Saat ditunggu akhirnya tiba apabila Lepu dan Manda yang diiringi Cikgu Sharif berangkat meninggalkan Sabah menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru.

"Ini adalah kali pertama Lepu dan Manda menggunakan pengangkutan udara sepanjang hayat mereka. Sampai di Johor, pihak penganjur ada sediakan tempat penginapan untuk kami. Sehari sebelum pertandingan, saya bawa mereka berjalan.

Manda dan Lepu menjejakkan kaki di Semenanjung Malaysia buat pertama kalinya.

"Antaranya kami pergi makan, belikan baju untuk Lepu dan Manda di pusat beli belah serta lawat Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Saya buat ni untuk bantu hilangkan rasa gugup mereka, ini pertandingan besar yang pertama mereka sertai.

"Malam sebelum pertandingan tu, Lepu dan Manda menangis pula sebab rindu dekat mak ayah. Saya pujuk mereka cakap kita sudah sampai sejauh ini, sikit lagi hendak masuk garisan penamat, ayuh berikan yang terbaik dan banggakan negeri Sabah.

"Terus berkobar-kobar semula semangat mereka. Pada hari pertandingan tu, saya ada panggil juga saudara-mara dan ahli keluarga saya di Semananjung bagi memberikan sokongan buat Lepu dan Manda," kata Cikgu Sharif penuh harapan.

Sempena bulan kemerdekaan, Lepu dan Manda mendeklamasikan sajak berjudul Warsan Keberanian nukilan S.M Noor yang berkisarkan kegagahan nenek moyang terdahulu mempertahankan tanah air.

Lepu bersiap sedia untuk beraksi di atas pentas.

"Persaingan dalam pertandingan ini agak sengit juga saya boleh katakan, saya dapat tahu ada sekitar 100 peserta pada peringkat awal. Mereka seterusnya melalui pusingan penyingkiran satu demi satu, hanya yang terbaik akan mara.

"Syukur tidak terhingga, Lepu dan Manda kedua-duanya berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir. Berbunga hati saya apabila melihat mereka memberikan persembahan dengan sepenuh jiwa, usaha tidak akan pernah mengkhianati hasil.

"Satu pengakhiran yang cukup manis untuk kami semua, Lepu bergelar johan bagi kategori tahun 4 (lelaki) manakala Manda menjadi naib johan bagi kategori tahun 6 (perempuan). Semoga kemenangan ini menjadi pembakar semangat untuk mereka.

"Diharapkan Lepu dan Manda terus-menerus melakar kejayaan dalam hidup ini. Saya juga ada bagi mereka wang tunai sebagai hadiah tambahan kerana untuk pertandingan tu mereka hanya bawa pulang sijil dan plak," kata Cikgu Sharif.

Satu kenangan yang tidak dapat dilupakan untuk Lepu dan Manda.

Tambah Cikgu Sharif, kejayaan Lepu dan Manda menjadi bukti bahawa tidak mustahil untuk seseorang itu mencapai impiannya walaupun dhimpit kekangan dari segi kewangan atau kemudahan.

"Ada ramai peserta dalam pertandingan itu yang bersekolah di bandar, mereka dimewahkan dengan pelbagai akses, sekiranya hendak dibandingkan dengan Lepu dan Manda, anak murid saya boleh dikatakan ketinggalan.

"Tapi itu tidak mematahkan semangat Lepu dan Manda, mereka berusaha gigih dan akhirnya mampu bersaing untuk muncul juara. Kisah ini wajar menjadi sumber inspirasi kepada mereka yang asalnya dari kawasan pedalaman.

"Di samping itu, saya menyimpan harapan besar pada masa akan datang supaya pihak berwajib menyediakan dana khas bagi pelajar negeri Sabah dan Sarawak yang mewakili sekolah ke peringkat ke kebangsaan," ujar Cikgu Sharif mengakhiri kata.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain