SEGELINTIR masyarakat masih memandang rendah pekerjaan tertentu seperti pembantu rumah. Jangan pandang golongan ini sebelah mata kerana bagi sesetengah pembantu rumah, mereka bukan sekadar bibik yang hanya melakukan kerja-kerja membersih, mengemas dan memasak. Disebabkan adanya tanggapan itu, penceramah bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malek mengimbas kembali kisah seorang datin bersama pembantu rumahnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan beberapa tahun lalu. Lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi, katanya, datin itu membuat luahan perasaan tentang jiwanya yang tidak tenang kerana terpaksa berjauhan dengan suami yang terkandas di luar kawasan akibat PKP. Pembantu rumah melakukan pelbagai tugasan setiap hari. -Gambar hiasan "Datin itu memberitahu, 'Hati saya gelisah. Suami saya jauh. Rumah saya besar tapi hanya saya dengan bibik yang tinggal di rumah'. "Saya tak tahu nak buat apa ustaz. Saya asyik fikir suami, suami dan suami. Saya tertekan dengan keadaan ni," kata Ustaz Hanafi yang mengimbas kembali perbualan bersama datin berkenaan menerusi panggilan telefon. Cuba menenangkan datin berkenaan, Ustaz Hanafi mengingatkan wanita itu supaya berdoa kepada Yang Maha Esa bagi memperoleh ketenangan jiwa. "Ustaz cakap, 'Allah tak suruh fikir suami, datin. Tapi Allah suruh kita fikir tentang Dia. Fikir tentang Allah, ingat Allah. Banyak berzikir, insyaAllah hati akan tenang'. "Ustaz pun bagi cadangan. Datin tinggal dengan bibik kan? Apa kata datin ajak bibik solat jemaah sama-sama. Minta bibik jadi imam," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Imam disegani rupanya ada zaman gelap... Pernah bankrap, 8 tahun tak solat! Rezeki melimpah lepas tergerak hati ke masjid ARTIKEL BERKAITAN: Penagih minta ustaz tempah bilik VIP di neraka, mati nak terus check in! Kini jadi siak masjid, insaf lepas ibu meninggal Ustaz Hanafi mencadangkan solat jemaah kerana ganjarannya yang besar selain kaum wanita digalakkan untuk mengamalkannya meskipun ketika berada di rumah. "Usahakan, lantiklah salah seorang yang ada di rumah untuk jadi imam setiap kali waktu solat. InsyaAllah, makin berkat hidup kita," tambahnya. Digalakkan untuk menunaikan solat berjemaah di rumah atau masjid. -Gambar hiasan Namun kata datin, dia tidak pasti sama ada pembantu rumahnya itu boleh menjadi imam atau tidak untuk solat jemaah. "Apa jawapan Datin? Eh, ustaz. Bibik saya bukan betul sangat. Tak tahulah dia pandai ke tidak. "Ustaz pun nasihatkan Datin ini untuk cuba dulu ajak bibik solat jemaah. Kalau kedua-duanya tak pandai, boleh belajar sikit-sikit cara jadi imam di rumah," jelasnya. Jangan menilai orang hanya sekadar dari luaran. Sebab kita tak tahu darjat mereka di sisi Allah SWT. USTAZ HANAFI PENCERAMAH BEBAS Namun siapa sangka, apa yang berlaku antara datin berkenaan bersama pembantu rumahnya selepas itu merupakan sesuatu di luar jangkaan. Ustaz Hanafi memaklumkan tak lama kemudian dirinya dihubungi datin yang menceritakan pengalamannya mengajak bibik untuk solat berjemaah. "Datin dah ajak bibik solat jemaah. Subhanallah, rupanya bacaan bibik tu sangat sedap. Bukan sekadar baca surah pendek, ada waktu bibik datin ni baca surah yang panjang ketika solat," katanya. Mengisi masa lapang dengan membaca al-Quran. -Gambar hiasan Memuji pembantu rumahnya kerana kemerduan membaca ayat-ayat al-Quran, datin dimaklumkan pekerjanya itu merupakan hafizah dan belajar mengaji ketika di sekolah pondok. "Allahuakbar, terkedu si datin bila dengar jawapan bibik dia. Datin cerita pada ustaz, dia rasa sangat malu, rendah diri dan rasa hina pada waktu itu. "Sebab sebelum itu dia selalu marah-marah pada bibik. Selalu hina dan rendahkan si bibik. Rupanya orang dia pandang rendah itu adalah penghafal al-Quran," ujarnya sambil menambah kehidupan datin itu semakin baik meskipun berjauhan dengan suaminya. Susulan kejadian itu, kata Ustaz Hanafi, datin berkenaan tidak lagi merendahkan pembantu rumahnya itu, malah mereka berkawan rapat. Menurutnya, wanita itu turut mengambil peluang untuk mendekatkan dirinya pada Allah, belajar ilmu agama dan mengaji al-Quran bersama-sama pembantu rumahnya. "Jangan menilai orang hanya sekadar dari luaran. Sebab kita tak tahu darjat mereka di sisi Allah SWT. "Sama-sama kita pujuk hati untuk tidak berbangga dengan harta dengan kedudukan. Harta dan kelebihan dunia hanya pinjaman. Gunakan harta dan kedudukan di jalan yang Allah redai," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube