PENGANJUR Honda Day Malaysia 2024 mengotakan janji mereka dengan menggantikan kereta 'semput' yang dijadikan hadiah utama cabutan bertuah kepada kereta jenis BMW F30. Penyerahan kereta berwarna kuning itu kepada pemenang, yang merupakan seorang guru dilakukan secara langsung di TikTok di kediamannya di Salak Tinggi, Selangor, Isnin malam. "Alhamdulilah sejujurnya orang rumah (isteri) saya inginkan BMW, terima kasih Honda Day. Tak tahu nak cakap apa, Alhamdulilah syukur kepada Allah," kata pemenang berkenaan menerusi TikTok penganjur. Hadiah utama cabutan bertuah sebelum ini mendapat kritikan ramai kerana terlalu buruk dan dibeli secara dalam talian. Menerusi video tersebut, kereta BMW F30 itu ditutup dengan kain berwarna hitam berserta reben besar berwarna merah didatangkan secara khas menaiki lori dalam kotak lutsinar. Sementara itu penganjur, Remy Ampang memohon maaf dan mengambil iktibar atas kejadian berkenaan sambil mengakui kelemahan daripada pihaknya. "Saya ambil nasihat, kecaman, kritikan ramai sebagai sesuatu kekuatan untuk saya perbaiki lagi acara Honda Day Malaysia ini pada masa akan datang. "Tanpa teguran, kritikan ramai mungkin saya tidak nampak kelemahan ini. Sekali lagi saya minta maaf dan ampun atas kejadian, baru-baru ini," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Program gah Honda Day jadi bahan lawak! Kereta buruk, enjin semput hadiah utama cabutan bertuah... FL5 hanya ‘mimpi’ ARTIKEL BERKAITAN: Isteri merajuk suami beli Honda FL5! Siap keluar simpanan 6 angka bayar down payment... Cita-cita nak berhenti kerja terbantut Dalam pada itu, warga maya memuji tindakan penganjur yang segera menyelesaikan masalah yang timbul namun, ada juga segelintir yang masih mengecam. "Bagus... ambil tindakan dengan segera.....tahniah. "Nasib baik netizen kecam, dapat la yang puas hati. Tahniah. "Tiada bakat jadi penganjur... bagi orang lain je la jadi penganjur lepas ni," demikian komen beberapa netizen. Pandangan warga maya. Program Honda Day Malaysia 2024 yang berlangsung pada Sabtu menjadi bahan ketawa warga maya kerana tidak segah dengan nama program serta barisan kereta yang memeriahkan acara itu yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang. Cabutan bertuah yang dinantikan ribuan pengunjung pada tengah malam itu hanyalah kereta Honda Accord keluaran 1992 dengan warna hitam kusam yang berharga RM3,500. Lebih mengundang ketawa, kereta jenis Injection Twincam itu dipercayai dibeli menerusi Facebook berdasarkan nombor pendaftaran kereta berkenaan. Tanpa teguran, kritikan ramai mungkin saya tidak nampak kelemahan ini. REMY AMPANG Dianggarkan lebih 5,000 kereta Honda pelbagai jenis model hadir pada program berkenaan dengan yuran RM90 dikenakan. Selepas dikritik, penganjur segera mengeluarkan kenyataan dengan memaklumkan kereta berkenaan ditaja pihak tertentu. Namun, atas rasa tanggungjawab pihaknya memberi jaminan akan menggantikan kereta buruk tersebut dengan hadiah lain. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube