suria

Cetus huru-hara di plaza tol, wanita tak cukup baki jadi punca sesak! Terkejut tiba-tiba abang Mercedes turun kereta

Wanita berkongsi kisah mengenai kebaikan seorang pengguna jalan raya. -Gambar hiasan (kiri)

MENJADI punca kesesakan lalu lintas akibat kecuaian sendiri merupakan mimpi ngeri bagi setiap pengguna jalan raya yang waras.

Perasaan cemas dan takut menyelubungi seorang wanita dalam kejadian pada Isnin lalu apabila dia 'terkandas' di sebuah plaza tol gara-gara baki kad Touch 'n Go tidak mencukupi.

"Masa dekat tol, aku ni yakin benar pergi scan (ikut lorong) smart tag, tapi rupanya baki tak cukup. Silap sendri sebab tak periksa dulu baki dekat peranti tu.

"Mengundur sikit masuk lorong Touch 'n Go pula, dengan harapan boleh topup. Laaa, pun tak ada orang yang jaga," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kesesakan lalu lintas di lebuh raya. -Gambar hiasan

Tanpa mendedahkan lokasi plaza tol, wanita dikenali sebagai Sofia berkata, ketika itu dia bersama dua anak kecil berada di dalam kereta, menyukarkannya untuk keluar berjalan ke kaunter lain bagi menambah nilai kad Touch 'n Go.

"Nak lari pergi ke kaunter yang ada orang, jauh... selang dalam empat kaunter macam tu. Dalam kereta cuma ada anak-anak kecil berusia lima dan enam tahun.

"Suami memang tak ada masa tu sebab sedang bekerja. Saya tak berani nak tinggalkan kereta macam tu je," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Cina kusut, hanya ada RM3 nak beli minyak kereta balik Tanjong Malim... Mujur ada hamba Allah baik hati, tolong isi ‘full tank’

ARTIKEL BERKAITAN: Tekan-tekan ‘tak lepas’, makcik pelik gagal ‘transfer’ RM50 untuk anak... Hati hamba Allah tersentuh tengok baki, terus ajak ke tepi ATM

Dalam keadaan yang berdebar-debar dan berpeluh ketika itu, dia kemudian menekan butang interkom di plaza tol untuk mendapatkan bantuan.

"Dapat bercakap dengan pegawai. Dia suruh keluar juga pergi ke kaunter yang boleh topup tu. Ada la dalam 10 minit ‘tersidai’ dekat lorong tu.

"Double signal memang dah buka sebab nak beritahu pemandu-pemandu lain yang kita ni tengah ada masalah.

"Punya la ramai manusia yang lalu (lorong) sebelah tu, semua menjeling angkat tangan sebab marah," tambahnya.

Pengguna jalan raya meneruskan pemanduan ke destinasi yang dituju. -Gambar hiasan

Sofia mengakui kesilapannya tidak menambah nilai lebih awal sehingga menyusahkan ramai pengguna jalan raya lain.

Bagaimanapun jelasnya pada ketika itu terdapat tiga lorong lain yang masih boleh digunakan.

Dia kemudian memberitahu, tanpa disangka-sangka terdapat sebuah kereta mewah Mercedes Benz berhenti dan parkir di belakang kenderaannya.

Lepas jalan, dalam kereta terus menangis berjurai... semoga dengan kebaikan ini, urusan abang dipermudahkan.

PENGADU

"Tiba-tiba Allah hadirkan seorang hambaNya, parking belakang kereta aku. Seorang lelaki yang aku tak kenal, buka pintu kereta dan jalan menuju ke kereta aku.

"Dia terus scan kad dia untuk bagi aku jalan. Jumlah tol tak besar, cuma RM 1.70 tapi nilai pertolongan tu sangat besar bagi saya.

"Abang, saya tak kenal siapa abang dan abang pun tak kenal saya siapa. Tapi Allah permudah urusan saya. Saya sempat jerit dekat abang dan cakap... terima kasih abang," jelas Sofia.

Wanita menangis mengenangkan kebaikan seorang hamba Allah. -Gambar hiasan

Menyambung semula perjalanan selepas berjaya melepasi plaza tol, wanita itu meluahkan perasaan sebaknya sehingga mengalirkan air mata kerana mengenangkan kebaikan pemandu Mercedes itu.

"Lepas jalan, dalam kereta terus menangis berjurai. Semoga dengan kebaikan abang, urusan abang dipermudah baik di dunia mahupun di akhirat kelak.

"Moga rezeki abang seluas lautan, saya doakan. Terima kasih orang baik, terima kasih sekali lagi," katanya yang turut memuat naik foto kereta Mercedes Benz hitam menggunakan plat nombor pendaftaran Johor dipercayai dipandu lelaki yang membantunya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain