suria

Lembu tak lari walau disembur air malah makin mendekat, rupanya sedang haus teruk! Wanita menyesal buruk sangka

Tindakan murni seorang wanita memberi lembu air dipuji netizen.

MELAYAN haiwan dengan penuh rasa empati merupakan satu amalan mulia yang harus dilakukan setiap insan.

Melalui satu video tular di laman TikTok, seorang wanita berkongsi momen manis apabila ditemukan dengan seekor lembu yang datang ke bahagian dapur rumahnya.

Menurutnya, pada masa itu dia sedang menyiram pokok di belakang rumah dan seekor lembu datang menghampiri serta menyondol pagarnya dari luar.

Nasib seekor lembu yang menyentuh hati warga maya.

"Saya terkejut la tengok lembu tu datang dekat, saya pun siram air untuk halau dia. Tapi yang peliknya, lagi banyak saya jirus air ke arah lembu tu, lagi suka dia mendekati saya.

"Kemudian baru saya perasan rupanya lembu tu nak minum air. Kesian tengok, saya pun teruskan sembur air, lenguh juga tangan ni pegang hos sampai 10 minit. Saya cakap dekat lembu tu, sudahlah awak. Waktu ni hampir Maghrib dah," katanya.

Disebabkan tangannya lenguh menyembur air ke mulut lembu tersebut selain hari semakin gelap, wanita ini mendapat satu idea.

"Tiba-tiba terlintas idea untuk letak baldi dan isikan air bagi lembu tu minum, senang sikit. Saya pun ambil baldi di dalam rumah, lepas tu saya campak baldi tu ke luar pagar, tapi belum apa-apa lembu tu dah tolak baldi tu jatuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Cabaran... rider diminta buat ‘kerja tambahan’ bagi anjing pelanggan makan - “Saya dah la tengah puasa ni”

ARTIKEL BERKAITAN: Anjing jalanan jadi kawan! Lain macam selera, setiap hari kena jamu roti sapu butter - “Beli barang dapur, tak pernah lupa mereka”

"Terus 'bergaduh' saya dengan lembu tu, susah saya nak isi air apabila baldi tu terbalik. Nasib baik lembu tu macam bijak tegakkan semula baldi, saya pun jirus air sampai penuh," ujar wanita itu lagi.

Setelah apa yang berlaku kepada dirinya, wanita itu menyedari satu perkara meruntun jiwa berkaitan lembu tersebut.

"Seingat saya, lembu ni pernah ditambat oleh tuannya berhampiran dapur rumah saya. Sekitar kawasan dapur tu ada tong drium, saya nampak lembu ni dok menyondol tong drum tu. Waktu tu saya ingat dia ada masalah apa, gila ke?

Terima kasih kak bagi lembu tu minum air, besar pahalanya jadi orang baik.

WARGA MAYA

"Jadi hari ni apabila saya bagi lembu tu minum, baru saya faham, lembu tu sebenarnya ingat di dalam tong drum tu ada air. Sebab tu dia macam mengamuk, dahaga sangat, yang tuan dia pun satu hal, kenapa tak sediakan air untuk lembu tu?" dia mengomel sendirian.

Dalam pada itu dia juga sempat terfikir punca haiwan tersebut sanggup datang ke rumahnya.

"Lagi satu saya rasa ada kaitan dengan anak sungai belakang rumah saya yang paras airnya surut, mungkin lembu tu selalunya minum dari situ, tapi sumber airnya sudah kering.

"Bersimpati saya tengok lembu ni, 'dia' teguk air yang saya siram tu tanpa henti sampai tak sempat bernafas. Ya Allah silap aku sebab bersangka buruk dengan lembu," kata wanita itu mengakhiri kata.

Pelayar memberikan pujian.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya berjenaka dengan meminta wanita itu untuk meminta maaf kepada lembu tersebut.

"Cepat kak minta maaf dekat lembu tu sebab bersangka buruk ingat dia jahat. Apa-apa pun Alhamdulillah, terima kasih kak bagi lembu tu minum air, besar pahalanya jadi orang baik, kira sebagai bersedekah juga tu.

"Lembu biasanya kena minum air sampai empat baldi sehari, mesti dia dahaga sangat tu. Jangan lupa pesan dekat lembu tu supaya tak makan tanaman akak," kata warga maya berseloroh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain