suria

Semangat masuk pejabat lepas cuti bersalin berkecai, wanita terus dibuang kerja! HR ‘peram’ surat, alasan enggan kacau staf berpantang

Setiap pekerja di negara ini dilindungi di bawah Akta Kerja 1955. -Gambar hiasan

SEMANGAT berkobar-kobar seorang wanita untuk kembali bekerja selepas tamat cuti bersalin akhirnya bertukar menjadi mimpi ngeri.

Menerusi perkongsian individu dikenali sebagai Sri Asmieda Sadon, dia menerima surat pemberhentian kerja tanpa notis daripada majikan pada hari pertama kembali ke pejabat Ogos lalu.

“Sudah dua bulan menjadi suri rumah sepenuh masa. Pada hari pertama selepas cuti bersalin saya diberhentikan kerja tanpa notis tiga bulan.

"Hari pertama... baru mula buat kerja pagi-pagi, tak lama kemudian bahagian Sumber Manusia (HR) panggil ke bilik mereka," katanya memulakan cerita.

Notis pemberhentian kerja sepatutnya diberikan tiga bulan awal bagi persediaan staf. Gambar hiasan

Notis pemberhentian kerja amat penting untuk para pekerja melakukan persediaan sewajarnya. -Gambar hiasan

Menurut wanita itu lagi, sebenarnya sejak awal dia mengesyaki seakan ada yang tidak kena terutamanya apabila mendakwa tidak menerima slip gaji terbaharu.

"Pagi tu saya ada bertanya kepada pembantu sama ada dia sudah menerima gaji, jawapannya ya.

"Masa tu perasaan dah rasa lain sebab gaji saya tak masuk lagi, slip gaji pun belum dapat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Elak ditindas majikan, ambil tahu hak anda sebagai pekerja... Lapor jika buat ‘overtime’ tapi tak bayar!

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai buntu dibuang kerja secara ‘unfair’, jangan terlalu lama bersedih tapi bertindak cepat! Peguam ini share panduan dari A hingga Z

Ujarnya, perjumpaan dengan pihak Sumber Manusia ternyata membawa khabar duka buatnya apabila menerima surat diberhentikan kerja selepas lima tahun berkhidmat di syarikat itu.

Lebih menambah duka apabila dia diberikan alasan tidak munasabah berhubung proses berkenaan.

“Sejurus masuk ke pejabat, nampak dia (wakil HR) pegang surat yang mana saya dapat rasa ada sesuatu berlaku.

Apabila disoal tentang kegagalan memberi surat notis lebih awal, syarikat bagaimanapun tiada jawapan.

SRI ASMIEDA

“Dia pun bagi la surat tu dan di situ juga saya baca. HR tak cakap apa-apa pun, tapi apabila saya pandang baru dia memberitahu pihaknya tidak sampaikan surat itu awal kerana saya sedang cuti bersalin.

“Saya jadi bingung, lepas tandatangan dokumen saya terus beredar," katanya lagi.

Tidak terhenti di situ, Sri Asmieda berkata dia turut diarahkan supaya segera meninggalkan pejabat.

“Kemudian HR mesej saya dan memaklumkan agar saya tidak perlu tunggu sehingga tengah hari sebaliknya boleh pulang sejurus selesai mengemas meja.

“Aku rasa macam... perghh halau macam tu je. Sudah la suami yang hantar kerja ketika itu, nasib baik ada officemate tolong hantar balik,” katanya lanjut.

Kehilangan kerja boleh menyebabkan tekanan hidup. Gambar hiasan

Kehilangan kerja boleh menyebabkan tekanan hidup. -Gambar hiasan

Tambah wanita itu, setelah diselidik rupanya dia tidak keseorangan dalam proses penstrukturan semula syarikat menerusi kaedah pemberhentian pekerja.

“Sebenarnya bukan saya seorang dibuang. Setiap bahagian ada, cuma mereka diberikan tiga bulan notis awal. Jadi salah seorang pekerja yang turut diberhentikan menyarankan saya untuk lapor kepada JTK (Jabatan Tenaga Kerja).

“Pada mulanya saya malas, tak kisah dibuang tambahan pula tahu aduan seperti ini akan makan masa.

“Tapi selepas fikir panjang, suami pula menyokong dengan harapan saya akan menerima sedikit pampasan. Jadi saya terus buat laporan,” katanya.

Elak ditindas majikan. Pekerja perlu ambil tahu akan hak mereka. Gambsr hiasan

Krisis ekonomi global menyebabkan banyak syarikat menutup operasi secara tiba-tiba. Gambar hiasan

Seperti dijangka, proses dan perjalanan aduan mengambil masa lama bahkan dalam kesnya mencecah hampir dua bulan.

“JTK mendapati pihak syarikat tidak melakukan sebarang kesalahan kerana mereka sudah menyediakan pampasan terlebih dahulu bagi mengelak disaman. So under JTK tak boleh teruskan (tiada kes).

“Kemudian aduan diteruskan ke Jabatan Sumber Manusia. Sebenarnya jabatan ini untuk dapatkan semula pekerjaan tetapi saya tahu syarikat tidak akan ambil saya bekerja semula.

“Sehingga baru-baru ini, pertemuan berlaku antara saya dengan pihak syarikat. Apabila disoal tentang kegagalan memberi surat notis lebih awal, syarikat bagaimanapun tiada jawapan,” katanya.

Katanya, kes itu ditutup pada hari sama dan bekas majikan bersetuju untuk membayar sagu hati.

Reda dengan apa yang berlaku, wanita itu memberitahu dia dan suami menggunakan duit berkenaan sebagai modal untuk mereka membuka bisnes.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain