suria

Lelaki muda gaji RM1,200 makan sekali sehari sebab nak meminang, wanita pendapatan 8 kali ganda ‘naik’ takut... Tak sangka si dia serius

Seorang wanita seolah-olah mempermainkan perasaan lelaki yang serius mahu menghalalkan dirinya. -Gambar hiasan

BAGI segelintir wanita, bukan mudah untuk mereka mencari lelaki yang benar-benar serius menjalinkan hubungan dan mahu mendirikan rumah tangga.

Jika sudah bertemu calon suami yang berkenan di hati, isu lain mungkin timbul sekiranya antara mereka tidak sekufu kerana latar belakang atau faktor kewangan yang berbeza.

Begitulah dilema yang dialami seorang wanita berusia 32 tahun yang mengakui dirinya tidak pernah serius dengan mana-mana lelaki sejak dulu.

"Kalau ada lelaki yang confess, aku cakap, 'haa, masuk la meminang' sebab aku memang tak minat nak couple ni, rasa cringe.

Setiap pasangan mengimpikan perkahwinan yang bahagia. -Gambar hiasan

"Kebanyakan lelaki yang aku kenal tak serius mana pun, lama-lama tak rapat kemudian hilang terus. Alhamdulillah gaji aku selesa, jadi setakat ni tak ada rasa desperate macam perlukan lelaki pun.

"Aku pun ramai je circle perempuan 30an yang single. Kami relaks je sebab berduit," katanya menerusi satu luahan di Facebook.

Namun segala-galanya berubah apabila seorang pemuda yang baru berusia 21 tahun hadir dalam hidupnya selepas berkenalan menerusi permainan video dalam talian.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tahu akan dibenci” - Pengantin perempuan buat pengakuan, orang ketiga punca tak muncul majlis kahwin!

ARTIKEL BERKAITAN: Pukul 2 pagi GF merengek nak aiskrim, pemuda gigih hantar demi sayang... Sudahnya kena tinggal, awek pilih lelaki pandu Lamborghini!

Kedua-dua mereka tidak pernah berjumpa kerana dia berada di Johor, manakala lelaki itu menetap di Perak namun menunjukkan kesungguhan untuk menjalinkan hubungan dengannya.

"Aku macam takut pula sekarang sebab si dia macam serius. Cerita dia, si dia gaji dia RM1,200 je. Dia belajar pun tak pandai, lepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terus kerja.

"Gaji aku lapan kali ganda daripada si dia. Dulu masa kami baru kenal, aku perasan si dia boleh tahan loaded (banyak duit) juga, selalu makan sedap-sedap. Sebabnya dia duduk dengan mak dia lagi, gaji RM1,200 tu lebih daripada cukup untuk dia," ujarnya.

Dia mahu ibunya meminta wang hantaran lebih tinggi daripada kemampuan lelaki itu. -Gambar hiasan

Bercerita lanjut, katanya, pemuda berkenaan juga mula menunjukkan perubahan ketara dari segi corak perbelanjaan harian.

"Lepas dia buat pengakuan suka aku, dan aku suruh dia masuk meminang tu, aku rasa macam dia simpan duit la pula.

"Dia makan sekali sehari je, dan kadang-kadang makan mi segera je. Bila aku tanya kenapa, dia kata nak simpan duit halalkan aku," ujarnya sambil menambah lelaki itu setakat ini berbudi bahasa dan melayaninya dengan baik.

Kalau kau dah memang tak nak kahwin dari awal, jangan bagi peluang atau harapan kat orang.

WARGA MAYA

Apa yang lebih ditakutinya adalah tahap keseriusan pemuda berkenaan yang benar-benar mahu memperisterikannya sehingga boleh menjejaskan kesihatan.

Bukan sekadar 'mengikat perut' demi berjimat, malah lelaki itu juga kini melakukan kerja sambilan untuk mendapatkan pendapatan sampingan.

"Dia kata nak kumpul duit cepat-cepat. Tapi macam mana kalau dia masuk meminang nanti? Aku suruh je mak aku letak hantaran RM30,000?

"Sebab dia cakap, dia dapat simpan RM10,000, nak terus masuk meminang. Aku tahu aku dah tua, tapi aku tak nak laki gaji kecil," luahnya lagi.

Seorang wanita dilema dengan kesungguhan lelaki yang mahu memperisterikannya. -Gambar hiasan

Menerusi ruangan komen, luahan wanita itu meraih pelbagai reaksi dan pandangan berbeza dalam kalangan warga maya.

Malah, ramai yang lebih bersimpati dengan nasib lelaki itu yang bersungguh-sungguh untuk berkahwin sedangkan wanita berkenaan tidak serius dalam hubungan.

"Kalau dah boleh senang-senang cakap kat mana-mana lelaki 'masuk la meminang', itu memang kategori 'desperate' kak. Tak payah nak bagi alasan lain.

"Kasihan lelaki tu kerja penat-penat tapi kau main tarik tali. Cakap kat dia terus-terang yang kau tak berminat sebab tak sekufu, jangan terus bagi harapan. Bukannya senang nak jumpa lelaki benar-benar serius sekarang ni.

"Kalau kau dah memang tak nak kahwin dari awal, jangan bagi peluang atau harapan kat orang. Itulah kau banyak main-main, bila dah datang yang serius, tahu pula nak gelabah.

"Awak ni permainkan perasaan orang. Kalau awak tu masih takut komitmen, takut susah, takut macamlah, tak payah bagi harapan palsu kat dia," demikian antara komen warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain