suria

“Semuanya khilaf saya” - Jururawat rayu henti kecam bekas suami dan isteri baharunya... Tak sangka penjelasan elak fitnah undang masalah

Wanita itu membuat permohonan terhadap bekas suami dan isteri baharunya.

KISAH seorang jururawat yang diceraikan selepas lima tahun menjaga suami sakit mengundang simpati ramai hingga menjadi topik perbualan hangat di media sosial sejak 17 Oktober lalu.

Walaupun pada awalnya ia dibuat sekadar mahu menitipkan ucapan tahniah kepada bekas suami yang sudah berkahwin baharu, namun ia menjadi tidak terkawal apabila netizen mula 'menyerang' lelaki berkenaan.

Malah ada juga dalam kalangan warga maya terlebih 'prihatin' dengan membongkar identiti serta akaun media sosial wanita yang menjadi pilihan bekas suaminya.

Permohonan maaf secara terbuka itu dibuat menerusi akaun media sosial miliknya.

Enggan membiarkan ia berlarutan, jururawat berkenaan akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka pada tengah malam Ahad menerusi rakaman video di Facebook.

"Saya ingin memohon maaf kepada bekas suami, isteri baharunya serta keluarga mereka berhubung posting yang viral di Facebook. Semua yang terjadi adalah khilaf daripada saya.

"Tujuan saya post gambar perkahwinan (bekas suami) adalah kerana saya menerima banyak mesej mengenai perkahwinan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: “Alhamdulillah puas hati jaga dia” - Jururawat reda diceraikan lepas 5 tahun jaga suami sakit, doa moga bahagia dengan isteri baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir 2 dekad kahwin, wanita baru tahu dah 3 tahun dirinya dimadukan! Famili mentua bantu suami sorok pernikahan

"Semua orang tertanya-tanya dan tag saya di Facebook. Jadi posting saya di Facebook bukanlah bertujuan membuka aib atau menyindir tetapi untuk mengelakkan daripada fitnah," katanya.

Terdahulu wanita itu menjadi perhatian ramai selepas dia berkongsi foto perkahwinan bekas suami bersama isteri baharunya sambil menitipkan ucapan tahniah selain mendoakan kebahagiaan kedua-dua mempelai.

Untuk rekod, jururawat itu diceraikan selepas lima tahun menjaga suaminya yang terlantar sakit akibat kemalangan sekitar Ogos 2019.

Mereka yang berkahwin pada 2016 akhirnya berpisah selepas usia perkahwinan mencecah usia lapan tahun

Posting saya bukan bertujuan membuka aib atau menyindir tetapi untuk mengelakkan daripada fitnah.

BEKAS ISTERI

Sementara itu menerusi video permohonan maaf sama, wanita itu berkata dia sudah sedia maklum mengenai perkahwinan bekas suaminya sejak Julai lagi.

Jelasnya lagi, mereka mengambil keputusan untuk berpisah secara baik tanpa sebarang perbalahan.

"Sehingga ke hari ini, tiada pergaduhan yang berlaku. Sepanjang berkahwin, suami menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik terhadap saya dan juga anak.

"Saya mohon agar sahabat-sahabat semua hentikan segala kecaman dan izinkan kami meneruskan kehidupan masing-masing," ujarnya lagi.

Hantaran menunjukkan wanita ini menjaga pasangan terlantar dengan baik ketika masih bersama.

Dalam video tersebut, wanita ini juga turut menitipkan pesanan agar orang ramai dapat menghentikan segala kata-kata kecaman dan hinaan kepada bekas suami dan wanita yang menjadi suri hati hati baharunya itu.

"Akhir sekali saya ingin memohon kepada semua untuk hentikan stalk (ambil tahu) Facebook ataupun TikTok bekas suami dan pasangannya.

"Sehingga hari ini masih ramai yang memberi kata-kata tidak enak didengar... memaki, mencarut dan menghina yang mana ia sangatlah tidak bagus.

"Jadi saya berharap kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran demi menjernihkan keadaan. Paling penting kita mendoakan yang terbaik buat semua pihak," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain