SESIBUK mana pun kita dengan urusan dunia, hubungan dengan Tuhan jangan sesekali dilupakan. Melalui satu hantaran di laman TikTok, seorang lelaki dikenali sebagai Jarir Harun berkongsi kisah yang meruntun jiwa ketika dia singgah di sebuah surau untuk menunaikan solat. Menurut Jarir, dia ditemukan dengan seorang penjual kerepek yang tempang serta mengalami masakah kekejangan pada kaki sehingga terpaksa merangkak untuk bergerak. Solat menjadi kewajipan sehingga nyawa berpisah daripada jasad. Perkara yang menyentuh hati Jarir apabila memerhatikan penjual kerepek tersebut berusaha menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim meskipun terbatas daripada segi kudrat. "Semalam singgah ke surau sekejap, tiba-tiba ada seorang abang ni parkir motosikal dekat sebelah pintu masuk surau. Saya perhatikan raut wajah dia, nampak seperti sedikit cemas. "Rupanya dia nak minta tolong saya untuk pimpin dia ke tandas surau, katanya kaki dia cramp sebab lama sangat tunggang motosikal. Selepas dah selesai pimpin dia, saya pun duduk sekali dengan dia, saja nak lepak sambil berborak. ARTIKEL BERKAITAN: Anggota LZS terkejut tengok kebahagiaan hidup keluarga tinggal bawah jambatan, dapat pengajaran kisah asnaf fakir ARTIKEL BERKAITAN: Video suami isteri bawa anak kecil mengemis tular, Zakat Selangor segera cari... Tapi lain pula yang dijumpai "Saya tanya abang tu jual apa, sebab nampak ada beg besar atas motosikal dia. Rupanya dia jual kerepek. Tak lama selepas tu masuk waktu Maghrib, abang tu terus bergegas pergi ambil wuduk. "Saya terkesima tengok abang ni, walaupun dengan keadaan dirinya pada ketika itu, dia tetap segerakan untuk menyambut panggilan solat," ujar Jarir kagum. Berdasarkan pengamatan terhadap motosikal yang ditunggang penjual kerepek itu, dipercayai dia adalah orang kurang upaya (OKU) kerana wujud modifikasi khas pada kenderaan tersebut. Tambah Jarir, dia berasa malu dengan Tuhan kerana menyedari sering alpa untuk menunaikan solat. Apabila Allah nak tegur, kadang-kadang halus sangat 'bahasanya'.... cuma kita nak faham atau tak je. JARIR HARUN "Selepas tengok abang ni, saya rasa malu dengan Allah, kita ni macam-macam minta dengan Dia tapi solat pun selalu lewatkan. Walaupun dah dengar azan, kita masih bertangguh. "Saya minta izin dengan abang tu, kalau boleh saya nak tolong promosikan jualan dia, Alhamdulillah abang tu bagi kebenaran. "Macam saya sendiri, kalau nampak ada orang seperti abang ni jual kerepek atau barang-barang lain yang kita tak perlukan sangat pun, saya akan beli je. Motosikal yang digunakan untuk menjual kerepek. "Sebab saya berpandangan mereka sedang berusaha dengan tulang empat kerat, bukannya meminta-minta. Semoga urusan abang ni dipermudahkan," kata Jarir mengambil pengajaran. Dalam pada itu, Jarir turut berpendapat pertemuannya dengan penjual kerepek tersebut merupakan satu teguran daripada Tuhan. "Apabila Allah nak tegur ni, kadang-kadang halus sangat 'bahasanya'. Cuma kita nak faham atau tak je, terima kasih abang penjual kerepek kerana 'tegur' saya," ujar Jarir mengakhiri kata. Pelayar bertukar pandangan. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya turut teharu dengan kecekalan penjual kerepek tersebut. "Aku tak pernah cemburu dengan orang yang mewah daripada segi harta dunianya, sebaliknya aku cemburu dengan orang sebegini. Aku juga ingin berada dekat dengan Tuhan. "Nama abang ni sebenarnya Saad, dia jiran di kawasan perumahan saya. Memang daripada kecil dia banyak berdikari untuk hidup sendiri dan rajin ke surau. Semoga Saad sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT. "Kau memang hebat abang Saad. Tak mampu dibuat untuk orang yang sihat di zaman sekarang. Rasa tersentuh perasaan bagi kami yang sempurna," ujar beberapa pelayar. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube