suria

‘Ustaz Mekah’ buka slot di TikTok, servis baca doa di Tanah Suci... Katanya tiada bayaran tapi kena infak sebelum kirim

Ustaz Mekah menawarkan perkhidmatan infak doa di Tanah Suci.

AMALAN mengirim doa kepada ahli keluarga dan sahabat handai yang menunaikan ibadah haji dan umrah untuk dibacakan di hadapan Kaabah bukan sesuatu yang baharu kerana rumah Allah itu merupakan tempat mustajab untuk memohon apa juga doa.

Kebiasaannya kiriman doa dibuat secara seikhlas hati, namun kini terdapat pihak yang meminta sumbangan derma bagi tujuan berkenaan.

Perkara itu didedahkan pengguna laman X dikenali sebagai Zac yang memaklumkan pihak berkenaan turut meletakkan kod QR bagi mereka yang ingin menderma.

Kebiasaanya kiriman doa dilakukan ahli keluarga dan rakan-rakan. - Gambar hiasan

Kebiasaanya kiriman doa dilakukan ahli keluarga dan rakan-rakan. - Gambar hiasan

"Live (siaran langsung) depan Kaabah, mengaji al-Quran, buka slot untuk orang kirim doa. Siapa nak kirim doa tanpa bayaran, boleh WhatsApp.

"Tapi pada masa yang sama, dia bagi kod QR untuk sesiapa nak menderma," katanya menerusi hantaran berkenaan.

Sementara itu semakan mStar di akaun TikTok Ustaz Mekah mendapati individu yang dimaksudkan itu sememangnya menyediakan perkhidmatan untuk membacakan doa di Tanah Suci. Namun begitu, orang ramai perlu memasukkan sejumlah wang pada pautan yang diberi bagi membolehkan doa yang mahu dibaca itu boleh diproses..

ARTIKEL BERKAITAN: Khidmat 'Valet Doa' Diarah Henti Operasi

ARTIKEL BERKAITAN: Trend Tayang Doa Di Makkah, Apa Kata Ustaz?

"Jom doa. Doa untuk kita kaya dengan wang ringgit, harta yang banyak, senang hidup di dunia ini.

"Boleh kirim untuk saya doakan. Tiada bayaran yang dikenakan di hadapan Kaabah atau di dalam Masjidil Haram," katanya.

Sementara itu menerusi hantaran berasingan, Ustaz Mekah berkongsi tentang kaedah untuk mengirimkan doa kepadanya selain turut menyelitkan kod QR atas nama Aswaja Darul Hijrah bagi mereka yang ingin berinfak.

"Berikan nama penuh, tulis doa sendiri untuk dibacakan dan hantar mesej WhatsAap kepada Ustaz Mekah. "Tiada bayaran dikenakan. Jika mahu infak klik bawah ini," tulis keterangan di bio.

Perbuatan meminta orang lain yang menunaikan ibadah di Tanah Haram agar mendoakan kebaikan kepada kita adalah dibolehkan.

PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Walaupun Ustaz Mekah menyatakan tiada bayaran dikenakan, namun mereka yang ingin mengirim doa masih perlu mengeluarkan sejumlah wang menerusi pautan disediakan.

Jika tidak berbuat demikian, doa yang ditulis tidak dapat dihantar kerana proses pindahan wang tidak berlaku.

Perkara itu turut diakui pengguna laman X menggunakan nama fionath_ yang memaklumkan infak perlu diberikan sekurang-kurangnya serendah 1 sen.

"Cuba buka link (pautan), kalau tak ada duit tak boleh proceed (teruskan). Kena infak juga walaupun satu sen," katanya.

Pengguna X berkongsi kiriman doa yang memerlukannya menderma.

Pengguna X berkongsi kiriman doa yang memerlukannya menderma.

Dalam pada itu laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan perbuatan meminta orang lain yang terpilih di sisi Allah untuk menunaikan ibadah di Tanah Haram agar mendoakan kebaikan kepada kita yang tidak berada di sana adalah dibolehkan.

Bagaimanapun ketika mengulas mengenai isu kiriman doa atau 'Valet Doa' dengan bayaran tertentu seperti yang pernah tular pada 2017, Mufti Wilayah Persekutuan pada ketika itu iaitu Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ia tidak menepati dengan ajaran Islam.

"Setelah kami meneliti isu Valet Doa yang disertakan pula dengan pakej-pakej dengan harga yang berbeza seolah-olah mengikut tahap kemustajaban doa, dengan ini kami berpendapat, ia adalah sama sekali tidak menepati Islam yang sebenarnya, dan tidak mengikut syariat," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain