KEBANYAKAN wanita yang baru melahirkan bayi akan berasa lega apabila mendapat sokongan dan bantuan dalam penjagaan bayi. Bantuan oleh ahli keluarga atau pengasuh yang diupah semestinya sangat dihargai ibu-ibu dalam proses berpantang dalam usaha memulihkan semula kesihatan diri. Namun, apa yang diharapkan itu ada kalanya tidak menjadi kenyataan. Bagi seorang ibu yang mempunyai dua cahaya mata, dia meluahkan rasa terkilan apabila salah seorang ahli keluarga suamiya campur tangan dalam urusan hariannya sepanjang tempoh berpantang, lima bulan lalu. Emosi ibu dalam pantang perlu dijaga bagi mengelak kesan jangka panjang. -Gambar hiasan Menurut wanita berkenan, dia amat terkesan dengan sikap ahli keluarga suaminya yang berpangkat ‘makcik’ itu kerana bertindak menjaja cerita tentang diri dan rumah tangganya kepada iparnya. “Lima bulan lepas saya berpantang anak kedua. Saya pesan makanan pantang. Alhamdulillah memang memudahkan hidup saya dan suami sebab tak perlu susah-susah fikir menu berpantang nak makan. “Kemudian, ada makcik dalam keluarga suami ni nak datang tolong jaga baby dekat rumah. Dia cakap masa saya urut nanti dia boleh tolong jagakan baby. Saya okay je sebab suami yang nak bayar dia. Tapi plot twist nya...” tulisnya di laman sosial. Wanita itu berkata, sejak awal lagi, kehadiran makcik itu membuatkan dia berasa tidak selesa kerana lebih banyak mengkritik dan memberi komen tentang dekorasi kediamannya. ARTIKEL BERKAITAN: Lima hari berpantang dah nak gila! Wanita rasa dikurung di rumah mentua... Hanya makan roti kosong, tidur atas toto nipis ARTIKEL BERKAITAN: Makcik ‘kepochi’ sibuk tanya pasal ansuran kereta, pertikai gaji kecil! Wanita beri jawapan ‘pedas’ bikin gaduh laki bini “Makcik tu sampai je dalam rumah yang saya dan suami hias ikut cita rasa kami, semuanya serba tak kena. Langsir kena tukar warna lain, cadar bilik tetamu macam pengantin tu tak sesuai warnanya, bilik nampak kecil. “Dapur yang saya jaga terlampau banyak SOP. Saya terus cakap dekat suami ini rumah siapa yang? Dia ke kita? Waktu berpantang saya dah rasa stres," katanya. Bukan itu sahaja, firasat wanita ini bahawa makcik tersebut mempunyai niat dan 'agenda' lain apabila menawarkan diri untuk menjaga bayinya juga tepat. Mana tidaknya, rahsia makcik itu terbongkar apabila dia tergerak hati untuk memeriksa telefon bimbit yang ditinggalkan di merata tempat. Tak sangka, dia (makcik) mengaibkan saya dan cerita macam-macam dekat ipar saya WANITA BERPANTANG “Wow paling tak sangka, dia mengaibkan saya dan cerita macam-macam dekat ipar saya dan diaorang ni sibuk dalam hidup saya sedangkan saya hormat diaorang yang lebih berusia. “Saya macam kecewalah juga sebab duit saya hak sayalah nak pakai buat apa,” katanya. Menerusi tangkap layar mesej aplikasi WhatsApp yang dikongsikannya, dapat dilihat makcik tersebut bercerita kepada iparnya tentang makanan sejuk beku dalam pantang berharga lebih RM400 yang ditempah. Makcik itu turut menjaja cerita kononnya dia cuba menjadi 'ala datin' apabila mengambil banyak pakej sepanjang berpantang. Malah iparnya juga ada bertanya kepada makcik adakah dia memberi susu badan dan di manakah makcik tersebut tidur sepanjang berada di situ. Bercerita lanjut, wanita ini berkata, pengalaman menjaga anak sulung enam tahun lalu banyak mengajar dia untuk lebih bersedia menjalani sesi berpantang untuk kali ini. Antara persediaannya termasuklah mendapatkan khidmat 'confinement lady' (CL), menempah makanan sejuk beku untuk berpantang,pergi ke spa dan mengatur jadual penjagaan bayi. “Ceritanya, untuk anak kedua selepas enam tahun saya belajar banyak daripada zero to hero dalam berpantang dan jaga baby. Siang makcik tu jaga, malam saya jaga, sebab setiap sejam baby baru lahir akan bangun. “Suami jaga anak pertama dan dia kena kerja 6 pagi sampai 6 petang jadi saya biar dia (suami) rehat. Makcik tu pun saya tak nak kacau waktu rehat dia. “Siang pula saya rehat dan fokus pada CL yang datang urut sebagainya dan ada lagi 'plot twist' lain yang saya tak sangka,” jelasnya. Bagaimanapun, dia tidak menyangka persediaan yang dibuat ini menimbulkan rasa cemburu dalam hati makcik tersebut sedangkan kesemua servis yang diambil adalah menggunakan duitnya sendiri hasil tabungan selama enam tahun. “Selepas enam tahun mental saya ni tak pernah pergi spa atau sebagainya. Kali ni saya simpan duit untuk diri sendiri ambil pakej 30 hari berpantang tanpa dijangka benda ni jadi dengki dekat makcik ni sampai dia cakap ini itu. “Walhal satu sen duit dia (makcik) saya tak sibuk sebab duit ni privasi masing-masing. Saya hormat dia dan dia perlu hormat saya juga. Saya takkan pertikaikan duit orang lain sebab duit ni sesuatu yang diusahakan untuk dapat. Jadi orang lain tak boleh masuk campur urusan kita,” tulisnya. Luahan mendapat pelbagai reaksi pengguna lebih-lebih lagi wanita yang pernah mengalami situasi sama. "Pernah dengan ex-maid. Bukan main ya dia canang cerita dalam rumah kita. Lepas tu dia tulis kat BF dia yang dia rasa nak pijak-pijak anak kita. Sekarang I tak ada maid tapi susah juga, trauma. "I feel u, pernah mengalami bila ipar bercakap dalam group diaorang. "Sibuknya orang kan," demikian antara komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube