suria

Pempengaruh dari China terkejut ramai orang Melayu fasih cakap Mandarin, bersatu hati tak kira bangsa

Pempengaruh Cina Muslim dari China ini teruja melihat masyarakat Melayu meraikan Pesta Tanglung. Foto: TikTok

BAHASA Mandarin antara bahasa yang banyak digunakan secara global selepas bahasa Inggeris.

Kelebihan menguasai bahasa ini secara tidak langsung akan memberi anda peluang untuk berhubung atau berkomunikasi dalam pelbagai suasana sosial.

Justeru, tidak hairanlah di negara ini semakin ramai masyarakat Melayu yang mula terbuka untuk mempelajari Mandarin, malah sangat menguasai bahasa itu.

Menurut pempengaruh berasal dari China, Lydia atau dikenali sebagai ShuangYiZaiDaMa di TikTok, dia amat kagum apabila melihat kemampuan masyarakat Melayu tempatan fasih bertutur Mandarin.

Wanita ini juga menumpang bangga dengan keterbukaan masyarakat tempatan.

Wanita ini juga bangga dengan sikap terbuka masyarakat tempatan.

Menerusi perkongsian video, wanita Cina-Muslim ini juga teruja melihat sikap terbuka masyarakat tempatan meraikan pelbagai musim perayaan tanpa mengira kaum malah sangat mesra antara satu sama lain.

Katanya, Malaysia mempunyai satu fenomena unik, muhibah dalam pelbagai aspek termasuk persahabatan dan persefahaman serta kebersamaan dalam aspek sosial.

“Masyarakat Melayu di sini bukan sekadar mampu bertutur dengan baik dalam Mandarin, malah meraikan Pesta Tanglung disambut masyarakat Cina.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ini ‘cemburu’ 5 adik beradik lain fasih Mandarin, rancak borak dengan aunty Cina sebelah rumah - “Mereka tak nak ajar lebih-lebih”

ARTIKEL BERKAITAN: Fasih cakap Tamil, Mandarin dan Melayu... apa identiti sebenar gadis ini? Siap kongsi insiden beli sari dan juadah iftar - “Orang punya raya dia pun sibuk nak beli”

“Di China, fenomena seperti ini tidak berlaku kerana semuanya adalah masyarakat Cina. Jadi, saya sangat teruja.

“Saya juga kagum dengan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,” katanya yang sudah hampir setahun berada di Malaysia.

Jelasnya, tujuan dia berada di negara ini adalah bagi merasai sendiri pengalaman tinggal di persekitaran yang mesra pelancong Muslim dan melihat sendiri warisan Islam Malaysia yang unik.

Masyarakat Melayu di sini mampu bertutur dengan baik dalam Mandarin, malah meraikan Pesta Tanglung disambut masyarakat Cina.

LYDIA

Wanita itu ketika dihubungi mStar memberitahu, perpaduan masyarakat tempatan lebih terserlah apabila dia baru-baru ini menghadiri jemputan Pesta Tanglung anjuran sebuah pusat latihan Mandarin secara dalam talian di Kuala Lumpur.

Lebih menarik lagi, temubual dengan Lydia yang hanya pandai bertutur dalam bahasa Mandarin dilakukan oleh wartawan mStar berbangsa Melayu tetapi fasih bertutur dalam bahasa tersebut.

Bercerita lanjut mengenai program itu, Lydia berkata dia terkejut melihat rata-rata pelajar dan pendidik juga masyarakat Melayu, India dan Cina tempatan bersatu meraikan perayaan masyarakat Cina penuh ceria.

“Malaysia memang sebuah negara yang unik dengan masyarakatnya yang mesra dan penuh semangat,” ujarnya lanjut.

Semakin ramai masyarakat tempatan bukan Cina mula menguasai Mandarin.

Kemesraan masyarakat tempatan juga membuatkan Lydia selesa.

Katanya, masyarakat Melayu tempatan cukup terbuka dan selesa berkongsi kegembiraan dalam kehidupan seharian dengan individu lain membuatkan dirinya berasa terpukau.

“Masyarakat di sini sentiasa mengalu-alukan kehadiran saya. Saya melihat acara majlis perayaan dirai menjadi tempat untuk mereka berhimpun dan berkongsi kegembiraan.

“Gabungan budaya Melayu, Cina, India dan etnik lain menjadikan suasana di sini sangat berwarna-warni,” ujarnya yang juga menjadi sebahagian daripada komuniti Cina-Muslim dari China.

Lydia, menghabiskan masa hampir setahun di negara ini untuk melihat keunikan budaya masyarakat tempatan. Foto: Lydia

Lydia, menghabiskan masa hampir setahun di negara ini untuk melihat keunikan budaya masyarakat tempatan. Foto: Lydia

Akaun ShuangYiZaiDaMa menumpukan segmen gaya hidup, budaya dan makanan lokal. Dengan pendekatan humor dan bahasa yang santai, tak hairanlah perkongsian video menarik minat ramai, khususnya golongan muda.

Perkongsian video Shuangaunt mendapat perhatian warganet dan rata-rata memuji sikap muhibbah dipertontonkan.

“Di Malaysia kita meraikan Pesta Tanglung bersama-sama dan saling menghormati.

“Masyarakat Melayu yang mengagumkan,” antara komen diterima.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain