suria

Lelaki kecewa ‘mall’ di kawasan elit hilang simbol mewah, risau jadi ‘port’ B40 - “Mula nampak kereta Proton, Perodua kat sini”

Pusat beli-belah menjadi tumpuan ramai terutama pada hujung minggu. -Gambar hiasan

PUSAT beli-belah menjadi lokasi tumpuan orang awam tanpa mengira umur, status dan latar belakang.

Lebih-lebih lagi pada hujung minggu, pastinya ramai yang berkunjung ke gedung-gedung berdekatan sama ada untuk membeli belah, makan, berhibur dan ada juga sekadar jalan-jalan cuci mata.

Di Malaysia, salah satu daripadanya adalah sebuah gedung di Mont Kiara, Kuala Lumpur, yang mana ia terletak di kawasan elit, dikelilingi rumah semi-D, kondominium mewah dan banglo.

Kawasan Mont Kiara juga dihuni oleh mereka yang kebanyakannya termasuk dalam golongan T20 dan ekspatriat.

Selain membeli-belah, pengunjung datang ke 'mall' untuk menikmati hidangan. -Gambar hiasan

Bagaimanapun, menerusi reviu di carian Google, seorang warga maya meluahkan kekecewaannya apabila mendapat tahu salah satu gedung tersebut sudah ditukar nama.

Lelaki itu mendakwa, nama asal pusat beli-belah tersebut lebih kedengaran mewah berbanding sekarang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengurus dedah pengunjung jadikan mall ‘rumah kedua’! Datang pagi balik malam... OKU, warga emas dihantar keluarga untuk healing

ARTIKEL BERKAITAN: Naik e-hailing, bayar RM6 dah rasa hebat! Pemandu terkedu diugut penumpang B40 berlagak, simpati bertukar menyampah

"Kecewa tengok mall kesukaan bertukar nama. Namanya dulu kedengaran lebih mewah.

"Harap sangat kumpulan B40 tidak menjadi 'pelanggan tetap' di sini," tulisnya menerusi reviu di laman Google.

Dia ingat tak ada orang kaya pandu Axia atau Saga ke pergi mall?

WARGA MAYA

Individu tersebut turut mendakwa semakin banyak kereta buatan tempatan memasuki gedung berkenaan.

"Mula nampak lebih banyak kereta Proton dan Perodua di sini sejak kebelakangan ini. Merisaukan," ujarnya lagi.

Umum mengetahui, kereta tempatan Proton dan Perodua merupakan kenderaan mampu milik dengan harga yang berpatutan.

Reviu daripada seorang warga maya yang tular di media sosial.

Reviu lelaki itu mengenai 'mall' menjadi tular sehingga mendapat kritikan dalam kalangan warga maya yang tidak bersetuju dengan pendapatnya.

"Jijik dengan orang perangai macam ni.

"Dia lupa pekerja-pekerja kedai, F&B (makanan dan minuman) dan lain-lain dekat kawasan Mont Kiara majoritinya adalah B40.

"Sejak bila Proton dan Perodua adalah simbol B40? Mungkin 20 tahun lalu. Tapi sekarang budak-budak M40 atau T15 pun pandu kereta ni.

"Dia ingat tak ada orang kaya pandu Axia atau Saga ke pergi mall?" demikian antara komen warga maya.

Bagaimanapun, hasil semakan mendapati ramai yang memuji konsep pusat beli-belah tersebut yang menawarkan persekitaran yang lebih santai dan menenangkan.

Gedung urban dan moden itu menjadi tumpuan ramai dan memberi keselesaan kepada pengunjung terutamanya mereka yang tinggal berdekatan.

"Tempat yang sangat selesa. Jika anda mencari tempat yang bagus untuk makan dan membeli barang runcit, ini adalah pilihan terbaik untuk anda," komen warga maya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain