suria

‘Baker’ kampung tak malu buat kek di bengkel kayu serba kekurangan, yang penting hasil ‘wow’! Perlu wang rawat anak sakit

Zaharah Resipi mencari pendapatan tambahan dengan membuat kek bagi menyara keluarga, lebih-lebih lagi anak bongsunya mengalami masalah kesihatan.

TANPA kedai yang cantik ataupun serba lengkap dengan peralatan, wanita ini gigih mencari rezeki sebagai pembuat kek di bengkel kayu yang kelihatan serba kekurangan.

Namun perkara tersebut tidak sedikit pun melunturkan semangat atau membuatkan dirinya berasa malu untuk membantu suami mencari pendapatan tambahan demi membesarkan empat cahaya mata.

Sering berkongsi video membuat kek di bengkel kayunya menerusi aplikasi TikTok, siapa sangka salah satu video memaparkan dirinya menyiapkan dekorasi kek besar berukuran 8x16 inci menjadi tular sehingga meraih perhatian netizen.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang lebih dikenali sebagai Zaharah Resipi dalam kalangan pelanggan setia dan pengikut di TikTok berkata, dia sama sekali tidak segan berkongsi video membuat kek di laman sosial meskipun bengkel yang serba kekurangan menjadi latar belakang.

kek 2

Zaharah Resipi membuat kek di bengkel kayu yang terletak di hadapan rumahnya.

"Selalu kita tengok video TikTok orang cantik, dekorasi lawa, lengkap. Tapi saya tiada terikat dengan mana-mana agensi atau badan, jadi semuanya sendirian berhad.

"Semuanya saya mula dari bawah. Kumpul modal, beli barang dan kelengkapan. Sekarang pun semuanya buat seorang diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Setiap malam nak duduk dalam peti sejuk... Bayi hidap kanser mata tahap 4 ini kepanasan kesan kimoterapi

ARTIKEL BERKAITAN: Anak terharu bapa tunai impian sambut birthday walau belum gaji... Adik tak tahan sebak, baru sedar kenapa peti sejuk ‘rosak’

"Saya hanya 'baker' kampung, video macam tu sajalah. Saya hanya ada bengkel kayu depan rumah, tak secantik studio atau bengkel 'baker' lain. Serba kekurangan dan tiada air-cond pun.

"Tapi Alhamdulillah, selepas video kek tiga tema 8x16 inci tu FYP (for you page), rezeki melimpah. Selain doa dan kata-kata positif, tempahan masuk pun banyak," ujarnya yang menetap di Pekan, Pahang.

Saya hanya ada bengkel kayu depan rumah, tak secantik studio atau bengkel 'baker' lain. Serba kekurangan dan tiada air-cond pun.

ZAHARAH RESIPI

Menurut Zaharah Resipi atau nama sebenarnya Normala Omar, 35, ini lagi, dia mempunyai pengalaman selama sembilan tahun dalam bidang bakeri, termasuk lima tahun berkecimpung sebagai pembuat kek krim.

"Selama ini saya dikenali dalam kalangan pelanggan tetap sekitar Pekan dan Kuantan saja. Tapi selepas video ini viral, makin ramai yang mengenali saya sedangkan saya baker kampung yang buat kek krim saja.

"Saya anggap ini rezeki anak-anak... lebih-lebih lagi anak bongsu, Muhammad Rayqal Muhd Rizal yang berusia 11 bulan mempunyai masalah kesihatan di mana sistem pemakanannya bermasalah sejak dilahirkan.

"Dia sudah menjalani satu pembedahan dan dua kali dimasukkan ke wad Pediatric Intensive Care Unit (PICU). Kos rawatan bukan sikit. Dalam musibah, rupanya hadir kegembiraan," ujarnya lagi.

kek 3

Zaharah Resipi juga sering diundang sebagai penceramah kerana mempunyai sijil dalam bidang bakeri.

Tidak menyangka videonya meraih perhatian sehingga mencatatkan melebihi 700,000 jumlah tontonan, Zaharah Resipi berkata dia benar-benar terharu dengan sokongan dan doa daripada rakyat Malaysia buat keluarganya.

"Selain doakan kesihatan anak, netizen juga mendoakan perniagaan kecil-kecilan saya maju jaya sehingga mampu membuka sebuah kedai kek.

"Itulah impian saya, namun saya mahu pastikan anak bongsu sihat sebelum gapai cita-cita saya," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain