suria

Pemandu e-hailing sedih, profil pelanggan gadis kolej guna foto kucing... Berani minta di WhatsApp - “Jangan lupa ya gambar untuk pakcik”

Perkhidmatan e-hailing sudah menjadi satu keperluan dalam masyarakat. -Gambar hiasan

KESUKARAN mendapatkan e-hailing untuk menghadiri kelas pengajian pada waktu pagi membuatkan seorang gadis menempah perkhidmatan pemanduan secara tetap daripada seorang lelaki yang sedikit berusia.

Menerusi hantaran di media sosial, dia memaklumkan servis tersebut diambil sejak tiga minggu lalu.

Malah katanya sepanjang tempoh itu, lelaki terbabit sering berkongsi cerita tentang pekerjaan yang dilakukannya dulu.

“Ni dah minggu ketiga aku naik dengan pakcik ni. Aku tempah servis dia hampir setiap hari sebab senang pergi kelas waktu pagi.

Perkhidmatan e-hailing memudahkan masyarakat. -Gambar hiasan

Perkhidmatan e-hailing memudahkan masyarakat. -Gambar hiasan

“Dalam kereta memang banyak berbual, dia cerita macam-macam. Pasal dia pernah kerja di kelab malam, ada pelanggan yang goda dia sampai masuk bilik dan macam-macam lagi.

“Layankan je sebab zaman sekarang nak cari orang yang boleh hantar pagi sangat susah,” ujarnya yang berhubung dengan lelaki terbabit menerusi WhatsApp.

Kemesraan yang terjalin membuatkan pakcik terbabit sering bertanya perihal gambarnya.

Tambahan pula dia hanya meletakkan foto kucing pada profil aplikasi WhatsApp tersebut.

Bukan itu sahaja, dia juga sering dipuji cantik oleh individu berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecewa 2 pemandu e-hailing minta ‘duit tepi’ enggan ikut caj dalam aplikasi... Tak nak bayar terus batal tempahan

ARTIKEL BERKAITAN: Jururawat teruja nak balik beraya, pemandu e-hailing ‘potong mood’ gurau tak bertempat - “You malas, tak dapat la jadi doktor”

“Dia selalu tanya, kenapa tak letak gambar kat WhatsApp, hari-hari dia puji cantik... tak ada lagi pelanggan dia secantik aku.

“Naik serabut pula, ni suruh hantar gambar sebab dia nak tengok,” kongsinya lagi sambil memuat naik tangkap layar menunjukkan mesej lelaki berkenaan.

"Jangan lupa gambar untuk pakcik," tulis lelaki tersebut.

Menurut gadis ini, dia pada awalnya menganggap permintaan pakcik tersebut sebagai gurauan.

Namun tidak menyangka ia adalah perkara serius apabila individu itu tanpa segan silu meluahkan rasa sedih dan bosan kerana tidak mempunyai gambarnya.

“Dari minggu pertama dia tanya pasal gambar, aku ni ingatkan dia gurau-gurau je, tapi minggu ni dia cakap tegas pasal ni.

Dik, berhenti guna servis dan terus sekat nombor telefon dia... tolong buat aduan.

WARGA MAYA

‘Awak ni cantik tapi satu benda la pakcik sedih, bila pakcik bosan pakcik buka WhatsApp nak tengok gambar awak tapi tak ada, ada gambar kucing je’.

“Kemudian aku terangkan kenapa tak suka letak gambar dan dia cakap terus hantar pada dia,” tambahnya lagi.

Mengakui pelik dengan permintaan lelaki tersebut, dia kemudian memaklumkan perkara itu kepada ibunya.

Susulan itu, ibunya menghalang untuk dia terus mendapatkan perkhidmatan lelaki berkenaan.

Perkongsiannya itu mendapat perhatian warga maya dengan kebanyakannya menyatakan pakcik terbabit sebagai seorang yang gatal.

Warga maya memberikan nasihat dan pandangan masing-masing.

Warga maya memberikan nasihat dan pandangan masing-masing.

Malah ada yang meluahkan kebimbangan sekiranya individu tersebut bertindak agresif atau melakukan perkara tidak baik kepada gadis berkenaan.

“Dik, dengar cakap kakak atau makcik dalam ni. Berhenti guna servis dan terus sekat nombor telefon dia... tolong buat aduan.

“Kalau awak nak tahu, orang tua kalau gatal lagi teruk daripada yang muda belia. Nak-nak kalau kerja yang kena engage dengan pelanggan, hari-hari mesej selamat pagi, pesan solat, suruh kita layan dia, ajak minum dan jumpa.

“Kak kau berenti je naik dengan dia... nanti esok tiba-tiba dia naik ‘sheikh’, tak pasal je orang jumpa kau dalam longkang. Tolong bab ni jangan bersangka baik,” demikian nasihat beberapa warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain