suria

Majlis nikah dibuat pihak lelaki, kakak pengantin perempuan malu! Tetamu pandang semacam, jenuh ‘menjawab’ jaga aib keluarga

Seorang kakak terkilan adik perempuan membelakangkan dirinya dalam perkara penting. -Gambar hiasan

TIDAK dinafikan, apabila ibu bapa telah meninggal dunia kebiasaannya anak sulung baik lelaki mahupun perempuan sentiasa menjadi rujukan adik beradik yang lain.

Anak sulung diibaratkan pengganti kepada ibu bapa dan bertanggungjawab mendengar serta membantu adik beradik dalam segala hal termasuklah ketika mereka dalam kesusahan.

Namun, berlaku juga situasi anak sulung sering dilupakan apabila adik beradik di bawah mereka sedang berbahagia, tetapi akan dicari semula apabila dilanda masalah.

Kebiasaanya majlis akad nikah diadakan di sebelah pihak pengantin perempuan. - Gambar hiasan

Kebiasaanya majlis akad nikah diadakan di sebelah pihak pengantin perempuan. -Gambar hiasan

Situasi sama dialami seorang wanita yang juga bergelar kakak sulung apabila adik perempuan hanya menghubunginya beberapa jam sebelum melangsungkan pernikahan.

"Esok nak nikah pukul 10.30, WhatsApp bagitau esok nak nikah. Aku anak sulung yang selama ni apa-apa masalah adik-adik aku akan cari aku dulu. Tiba-tiba nak nikah aku yang terakhir tahu," luahnya di media sosial.

Walaupun kecewa, wanita itu tetap hadir ke majlis pernikahan berkenaan, namun majlis itu hanya membuatkan dia menanggung malu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin perempuan terpaksa bersanding seorang diri gara-gara suami terlalu pemalu

ARTIKEL BERKAITAN: Malu-malu selepas akad nikah, sesi fotografi paling mencabar... pengantin lelaki akui isteri tak biasa manja-manja, kasar pun tidak tapi romantik!

"Benda yang tak best berlaku, dia bernikah dan buat majlis di pihak lelaki. Kami belah perempuan, korang boleh fikirkan tak apa jadi? Belah perempuan nikah dan majlis makan-makan kat belah lelaki.

"Saya jadi tumpuan sebab saya anak sulung dan pengganti arwah mak dan ayah. Saudara belah lelaki dah 'berbunyi' di belakang kenapa belah lelaki yang buat majlis," katanya.

Lebih membuatkan wanita itu kecewa, persoalan mengenai majlis itu juga berbangkit dalam kalangan ibu bapa saudaranya yang turut hadir pada majlis berkenaan.

"Belah perempuan iaitu belah aku, mak cik pak cik belah arwah mak dan belah arwah ayah semua pandang aku masa datang ke masjid.

"Aku malu, bingung tak tahu nak cakap apa tak kan nak cakap yang aku dijemput pun last minute. Untuk jaga aib keluarga, aku cuma cakap yang belah lelaki nak buat cepat tu yang belah lelaki buat majlis," katanya.

Komen netizen

Komen netizen

Sementara itu di ruangan komen, warga maya meminta wanita berkenaan bersabar dan terus menjaga silaturahim selain beranggapan ada sebab adiknya bertindak sedemikian.

"Kalau beritahu saat akhir tu mesti ada benda yang mereka tahu kita tidak akan setuju. Jadi itu sebabnya mereka beritahu saat ahkir perkara penting macam ni," kata seorang warga maya.

"Mungkin adik serabut fikir nak uruskan majlis, nak cari itu ini kadang-kadang kita rasa dah jemput, tapi sebenarnya belum, terlepas pandang sebab otak fikir pasal majlis.

"Lepas majlis, tarik adik tanya elok-elok, bincang. Manusia tak lari dari kesilapan yang penting bincang dengan tenang tak perlu gaduh-gaduh," kata beberapa netizen lagi.

Hukum asal bagi mengadakan walimah (perkahwinan) adalah sunat muakad. Ia disunatkan kepada pengantin lelaki.

PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Dalam pada itu, berdasarkan semakan di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum asal bagi mengadakan walimah (perkahwinan) adalah sunat muakad.

"Ia disunatkan kepada pengantin lelaki iaitu suami untuk melakukannya. Meskipun begitu, sekiranya pihak pengantin perempuan atau pengantin perempuan sendiri menjalankan majlis walimah, maka telah terlaksanalah hukum sunat bagi pihak pengantin lelaki.

"Berkenaan budaya dalam kalangan masyarakat di negara kita untuk melakukan majlis perkahwinan sebanyak dua kali iaitu sekali di rumah pengantin perempuan dan juga majlis di rumah pengantin lelaki.

"Maka kami menyatakan bahawa secara asalnya hukumnya adalah harus selama tidak berlaku israf dan pembaziran," demikian penerangan yang diberikan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan