suria

“Berdosa rupanya jika kita miskin” - Bisnes lingkup, ibu tunggal anak 5 dibuang keluarga sendiri... Majlis makan-makan pun tak jemput

Setiap ibu pasti berusaha sebaik mungkin untuk menyara kehidupan anak-anaknya. -Gambar hiasan

LANGIT tidak selalunya cerah, begitu juga perkahwinan yang sentiasa berdepan dengan ujian dan dugaan.

Rumah tangga seorang wanita berakhir dengan perceraian selepas penat menanggung suami yang diibaratkan 'biawak hidup'.

Menurut wanita itu, dia merupakan orang kurang upaya (OKU) dan kini bergelar ibu tunggal kepada lima orang cahaya mata.

Mengimbas kembali kisah hidupnya, dia pernah berniaga selama 12 tahun dan dalam tempoh itu bisnes berjalan dengan baik.

Tiada persefahaman membuatkan pasangan suami isteri berpisah. -Gambar hiasan

"Alhamdulillah dulu bisnes okay. Siap 'pakej' tolong bela bekas suami lagi.

"Saya bercerai kerana sudah letih menjadi 'mesin ATM' (mesin pengeluaran wang automatik) untuk suami. 100 peratus isi rumah sejak daripada awal perkahwinan saya yang tanggung semuanya," katanya menerusi satu hantaran di laman sosial.

Tanpa mendedahkan usia perkahwinannya itu, wanita tersebut mendakwa bekas suami tanpa segan silu bertindak mengambil banyak barang di rumah selepas mereka berpisah.

ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu cinta isteri sampai sanggup pinjam Ah Long tapi bercerai jua! Suami penyayang sedih pengorbanan tak dihargai

ARTIKEL BERKAITAN: Suri rumah sering makan hati dapat suami kedekut, nafkah tak bagi... Kalau diberi RM10 sebulan pun dah bersyukur

Apa yang lebih memeritkan apabila bisnes yang diusahakannya mengalami kerugian.

"Lepas bercerai, bekas suami ambil segalanya tak tinggal satu pun walau sebuah motosikal. Saya sampai terpaksa berjalan kaki sambil bawa anak-anak.

"Bisnes drop teruk. Bank pula asyik call (bayaran tertunggak). Tertekan betul," ujarnya.

Apabila pandang anak-anak, rasa kasihan kerana mereka ada mak yang gagal macam saya.

IBU TUNGGAL

Namun kekuatannya kini hanyalah lima anak yang perlu ditanggung bersendirian meskipun beban yang dipikul amat berat.

"Apabila tengok mata anak-anak, terus fikir yang saya tidak boleh berputus asa. Berat sangat rasanya.

"Bermacam-macam usaha saya buat untuk mencari rezeki supaya anak-anak dapat makan. Berniaga di tepi jalan pun sudah. Tapi tak laku," jelasnya.

Dia sebelum ini banyak menanggung bekas suami dan anak-anak. -Gambar hiasan

Lebih memilukan, dia turut mendakwa dibuang keluarganya sendiri selepas bergelar ibu tunggal dan ditimpa kesusahan.

"Dulu masa saya kaya, keluarga sangat baik dengan saya. Setiap hari kami duduk minum kopi bersama.

"Sekarang apabila saya jatuh miskin, mak sendiri pun dah mula hina saya cakap saya macam-macam.

"Kalau ada majlis makan-makan, famili dah tak jemput saya dan anak-anak untuk makan sekali. Berdosa rupanya apabila kita jadi miskin. Rasa derhaka kalau kita tak banyak duit," katanya sebak.

Buntu dengan situasi yang dihadapinya kini, wanita itu hanya mampu berserah pada Tuhan di samping meluahkan masalahnya di media sosial.

"Sejak semalam saya tak boleh tidur, asyik fikir mana boleh cari duit. Kena kerja apa, kena jual apa. Buka beg cuma ada RM5.

"Saya tengah fikir apakah ada lagi motivasi supaya saya terus melangkah tanpa putus asa. Apabila pandang anak-anak, rasa kasihan kerana mereka ada mak yang gagal macam saya.

"Kasihan nasib anak-anak. Entah bilalah ekonomi nak stabil macam dulu. Doakan hati saya agar terus kuat," luahnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain