suria

Rakyat Malaysia kelam kabut terkandas di Labuan Bajo… Rancang naik bot 33 jam demi pulang ke tanah air

Sekumpulan rakyat Malaysia terkandas selepas bercuti di Labuan Bajo, Indonesia.

PERCUTIAN yang sepatutnya menjadi kenangan terindah bertukar menjadi kelam-kabut.

Begitulah apa yang dilalui oleh sekumpulan rakyat Malaysia yang masih terkandas di Labuan Bajo, Indonesia apabila penerbangan pulang ke tanah air dibatalkan berikutan letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur.

Bercakap kepada mStar, Muhammad Aizat Zainol berkata, dia bersama rakan-rakan yang terdiri daripada 10 dewasa dan tiga kanak-kanak tiba di Labuan Bajo pada 5 November dan sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur pada Sabtu lalu (9 November).

Kumpulan ini sepatutnya pulang ke tanah air pada 9 November lalu.

Namun kata pemuda berusia 35 tahun itu, kesemua mereka terkandas selama empat hari sehingga Selasa berikutan penutupan lapangan terbang di kawasan tersebut.

"Difahamkan, kami sepatutnya pulang hari ini, tapi penerbangan dibatalkan lagi. Penerbangan untuk 14 November sudah penuh, mungkin paling awal seterusnya pada Sabtu (16 November).

"Bukan kami saja terkandas, ramai lagi panik dan mengalami nasib sama. Kami kelam-kabut nak cari tempat penginapan dari satu hotel ke satu hotel disebabkan penerbangan dibatalkan dan lain-lain pun cari hotel juga," katanya ketika dihubungi.

Keadaan menjadi kelam-kabut berikutan penerbangan dibatalkan.

Menurut Aizat, mereka sebenarnya sudah dimaklumkan oleh pemandu pelancong mengenai letusan itu namun tidak menyangka ia berlarutan dan berisiko sehingga menyebabkan penerbangan dibatalkan dan penutupan lapangan terbang.

"Memang penat dan sedih kerana tak jangka perkara ni terjadi tapi kami semua cuba positifkan diri memandangkan ada tiga kanak-kanak bersama kami.

"Bila dapat tahu penerbangan batal lagi, memang kami rasa down sebab tak tahu berapa lama lagi nak tinggal di sini," ujarnya yang menginap di kawasan Wisata di Labuan Bajo.

ARTIKEL BERKAITAN: Gunung berapi meletus awal pagi, sekurang-kurangnya 9 penduduk terbunuh

ARTIKEL BERKAITAN: Gunung berapi meletus lagi, 6,000 penduduk setempat dipindahkan

Berasal dari Seri Kembangan, Selangor, kata Aizat, mereka juga turut berhubung dengan pihak Wisma Putra bagi memaklumkan keberadaan mereka di sana.

Jelasnya lagi, dia sendiri berhabis kos tambahan kira-kira RM1,500 untuk penginapan serta makan dan minum sejak penerbangan dibatalkan pada Sabtu lalu.

Masing-masing memikirkan cara untuk pulang ke tanah air dengan selamat.

Enggan menunggu lebih lama, dia dan rakan-rakan membuat keputusan untuk keluar dari Labuan Bajo ke Surabaya bagi menaiki penerbangan pulang dari sana ke Kuala Lumpur.

"Kalau masih nak tunggu sekarang, 50-50 sebenarnya. Sekarang pun dah empat hari terkandas, kalau tunggu Sabtu jadi tujuh hari.

Kami reda dengan apa yang berlaku dan doakan kami pulang ke tanah air dengan selamat.

MUHAMMAD AIZAT ZAINOL

"InsyaAllah, jika cuaca okay dan tiada apa-apa halangan, kami akan menaiki bot ke Surabaya esok (Rabu). Perjalanan akan mengambil masa kira-kira 33 jam.

"Biarpun 33 jam dan harus bermalam dalam bot, itu yang kami perlu lakukan kerana akan menanggung kos lebih tinggi jika masih menunggu di sini," katanya.

Keadaan selepas menempah hotel berikutan penutupan lapangan terbang.

Pada masa sama, pegawai komunikasi dan hal ehwal korporat itu turut mengharapkan bantuan daripada Kementerian Luar mahupun pihak berkaitan bagi memudahkan urusan pulang mereka ke Malaysia.

"Jika mereka dapat bantu mempermudahkan urusan penerbangan pulang ke tanah air pun dah syukur Alhamdulillah. Banyak duit dah berhabis sepanjang terkandas.

"Tapi apa yang penting kami dapat pulang dengan selamat," katanya lagi yang turut bersyukur kerana mengambil insurans pengembaraan.

Menurut Aizat, apa yang berlaku adalah di luar jangkaan namun tidak dapat menyembunyikan kesedihan mereka.

"Memang sedih sebab fikirkan kerja. Memang terbeban dengan cabaran di sini yang kami kena hadap. Mujur pihak majikan saya faham situasi yang berlaku, malah menawarkan bantuan dan sokongan.

"Terkandas disebabkan bencana ini merupakan pertama kali berlaku sejak saya mula travel. Apa pun, kami reda dengan apa yang berlaku dan doakan kami pulang ke tanah air dengan selamat," katanya lagi.

Percutian Aizat bersama rakan-rakan diuji dengan insiden letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores di Nusa Tenggara Timur.

Dilaporkan, letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores di Nusa Tenggara Timur itu sejak 4 November lalu, mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 kematian, manakala puluhan ribu penduduk dipindahkan dari kawasan berkenaan.

Letusan gunung berapi itu turut menyebabkan awan dengan abu tebal, mengakibatkan penutupan lapangan terbang di kawasan terjejas.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Isnin berkata rakyat Malaysia yang berada atau melawat Indonesia dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat terkini berhubung letusan berkenaan.

Kementerian Luar turut mengesahkan bahawa semua rakyat Malaysia di kawasan itu berada dalam keadaan selamat.

Menurut kenyataan itu, pihaknya akan terus memantau situasi dengan teliti dan memberikan maklumat terkini yang diperlukan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain