suria

“Sebab kahwin dengan kau aku jadi macam ni!” - Suami ‘kaki mesin’ salahkan isteri, hidup merana diburu hutang... Kereta pun kena tarik

Setiap pasangan mengimpikan perkahwinan yang bahagia. -Gambar hiasan

KATA orang, masa bercinta semuanya manis sehingga sanggup melakukan apa saja demi pasangan.

Namun dugaan dan cabaran getir mula dirasai ketika fasa awal perkahwinan.

Baru mendirikan rumah tangga, seorang wanita diuji apabila rahsia dan penipuan si suami akhirnya terbongkar.

"Kahwin belum pun sampai lapan bulan, tapi suami dah menunjukkan sikap sebenar.,Tidak sama semasa bercinta dan bertunang dulu.

"Rupanya ada hutang bank cecah RM80,000, semata-mata nak berkahwin dulu. Dulu dia beritahu yang dia hanya guna duit simpanan bekerja (untuk kahwin), tak pernah buat pinjaman," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sikap sebenar suami hanya diketahui selepas beberapa bulan berkahwin. -Gambar hiasan

Lebih mengejutkan, wanita itu mendakwa baki wang pinjaman peribadi itu pula digunakan suaminya untuk tujuan perjudian.

Lantaran itu wanita itu berkata, sumber kewangan suaminya kini semakin menyusut kerana selain pinjaman peribadi, terdapat juga hutang-hutang lain yang perlu dilangsaikan.

"(Duit yang ada) suami jadikan modal main games mesin judi. Selalu transfer (duit) ke akaun games dan selalu juga nampak dia main games judi. Tapi dia kata itu games olok-olok.

ARTIKEL BERKAITAN: Mak BF suruh bayar bil Astro, pinjam duit beli barang dapur... Waktu minta bayar hutang teman lelaki bagi ayat ‘makan dalam’

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda baik tapi pantang ditegur, gadis ragu-ragu nak jadikan suami... Guna telefon ketika cas pun boleh gaduh besar

"Hutang bank tidak dapat dibayar sebab potongan gaji dalam slip gaji dah terlebih potong kerana ada pinjaman koperasi serta pinjaman wang berlesen.

"Kereta baru semalam kena tarik dengan bank sebab dah empat bulan tidak bayar," ujarnya kesal dengan apa yang terjadi.

Bukan sahaja menipu belanja kahwin, menurut wanita itu lagi dia juga baru mendapat tahu kediaman yang didiami mereka selama ini hanyalah rumah sewa.

Selain belanja kahwin, wang pinjaman turut digunakan si suami untuk berjudi. -Gambar hiasan

Perkara itu hanya diketahuinya selepas sewa rumah itu langsung tidak pernah dibayar sejak mereka berkahwin.

"Hari ini datang pula tuan rumah sewa, pun sama tidak bayar sewa selama saya duduk dengan dia. Sebelum ni suami kata itu rumah pusaka, neneknya hadiahkan kalau dia berkahwin.

"Tapi bukan, sebenarnya itu cuma rumah sewa. Bodohnya saya percaya dia bulat-bulat," katanya.

Kaki mesin (judi) tak akan berubah, awak akan ada masalah kewangan jika masih bersama dia.

WARGA MAYA

Bagaimanapun dia tidak mendedahkan perkara sebenar itu kepada keluarganya demi menjaga aib suami, namun nekad mahu memfailkan perceraian.

"Tapi hari ini agak teruk dia kata kepada saya... kerana aku kahwin dengan kau la, aku jadi macam ini! Jadi saya terus akan tinggalkan dia selamanya dan failkan kes di mahkamah nanti.

"Harap betul tindakan saya ini. Kepada mereka di luar sana, janganlah percaya sangat lelaki yang ingin kahwini kamu, kerana ramai yang menipu," ujarnya lagi.

Wanita ini memikirkan hala tujunya selepas ini. -Gambar hiasan

Menerusi ruangan komen, luahannya menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya termasuk dikritik hebat kerana menghasut kaum wanita agar tidak mudah mempercayai lelaki.

"Awak bukan perempuan bodoh yang senang digula-gulakan. Ingat sikap kaki mesin (judi) ni tak akan berubah dan sampai bila-bila pun awak akan ada masalah kewangan jika masih bersama dengan dia.

"Dia cuma nasihat jangan percaya bulat-bulat apa yang lelaki cakap. Maksudnya kena selidik la. Bukan jangan percaya lelaki, jauh beza tu.

"Awal-awal lagi dah tak jujur. Apabila ada masalah, salahkan isteri. Bertindak sebelum terlambat. Semoga Allah mudahkan urusan puan," komen warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain