suria

23 tahun tak jamah nasi, nampak macam ulat... Pemuda dedah abang puncanya! Tangan pernah diikat, dipaksa makan akhirnya muntah

Tular rakaman Ina mengusik suaminya ketika makan beradab pada majlis perkahwinan mereka.

NASI merupakan makanan ruji rakyat Malaysia, maka tidak hairanlah pendedahan seorang lelaki yang mengaku sudah tidak menjamah nasi selama 23 tahun mengundang perhatian ramai.

Menerusi satu hantaran viral di TikTok yang dibuat oleh Ammar Loy, dia meminta supaya tidak dipaksa makan nasi kerana bimbang perlu dikejarkan ke hospital.

"Last makan nasi masa umur lima tahun, sekarang dah 28 tahun, jadi hampir 23 tahun saya tidak pernah sentuh nasi.

"Jadinya, awak (isteri) kenalah masak western (barat) setiap hari. Paling malas pun, roti bakar disapu kaya pun okay," katanya sambil berkongsi video sedang makan beradab pada majlis perkahwinannya.

Tangkap layar hantaran yang dibuat Ammar Loy di laman TikTok miliknya.

Tangkap layar hantaran yang dibuat Ammar Loy di laman TikTok miliknya.

Menerusi hantaran yang sama, dia turut memaklumkan bahawa abangnya yang kini berusia 30 tahun juga sudah 23 tahun tidak menjamah nasi.

"Kita tunggu giliran abang saya pula naik pelamin, tengok macam mana sebab dia pun sama 23 tahun tak pernah sentuh nasi, last makan umur tujuh tahun.

"Macam inilah kami (dua beradik), meratah lauk je," tambahnya.

Berkongsi cerita dengan mStar, Ammar Loy atau nama sebenarnya Muhammad Ammar Burhanudin berkata, video yang dikongsi di TikTok itu dirakam ketika isteri, Nur Azrina cuba menyakatnya dengan menyuapkan nasi ketika makan beradab.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ‘puasa’ makan nasi selama 13 tahun! Amal diet pelik gara-gara berat badan naik mendadak lepas kahwin

ARTIKEL BERKAITAN: Suami tak jamah lauk ‘recycle’, kena masak tiap kali waktu makan... Isteri setuju tapi bersyarat, tak sangka terus lulus!

"Dia memang tahu saya tak makan nasi dan dia saja nak mengusik saya," katanya sambil menambah majlis perkahwinannya diadakan di Johor pada 2 November lalu.

Menyedari ramai yang berasa hairan apabila mengetahui dia sudah begitu lama tidak menjamah nasi, lelaki ini mendedahkan punca sebenar.

Menurut Ammar, segalanya bermula selepas abangnya membuka satu bekas makanan yang sudah terbiar selama beberapa hari di sekolah.

"Punca tak makan nasi disebabkan abang saya, masa tu abang darjah 1 dan sekolah rendah ada dua sesi.

Kawan-kawan pernah kacau, (mereka) ikat tangan dan peluk saya untuk paksa makan nasi... memang tak boleh, terus muntah.

AMMAR

"Tak pasti dia sekolah pagi atau petang, tetapi ada satu bekas makanan yang bukan dia punya dan dah ditinggalkan berhari-hari, masa tu dia nak tengok apa ada dalam bekas tu jadi dia buka... dalam bekas tu ada nasi yang dah berhari-hari, dah berulat.

"Bermula dari situlah, masa rehat dia pergi kantin dan makan nasi macam biasa. Tiba-tiba dia muntah, rasa nasi macam ada ulat dan nampak nasi macam ulat," imbaunya.

Situasi tersebut berlarutan sehinggalah abangnya pulang ke rumah.

Bercerita lanjut, jurugambar sambilan ini berkata, abangnya memberitahu bahawa tekaknya sudah tidak boleh menerima nasi yang dihidangkan dan mula menceritakan tentang kejadian yang berlaku di sekolah.

Ammar Loy bersama seluruh ahli keluarganya

Dalam keluarga, Ammar (berdiri paling kanan) dan abangnya (berdiri paling kiri) sudah lama tidak menjamah nasi.

"Dia cerita pada saya dan mak, apabila saya dengar, saya juga nampak nasi tu macam ulat dan apabila makan terus muntah... tak boleh nak terima juga.

"Memang kitaorang struggle juga cuba nak makan nasi (selepas itu) tapi memang tak boleh, muntah. Tak tahu berapa lama saya cuba, sampailah sekarang... dah 23 tahun tak makan nasi," kongsinya lagi.

Ujarnya lagi, sepanjang tempoh membesar, dia sering berdepan situasi sukar ketika melihat nasi kerana akan berasa loya dan akhirnya muntah.

Bagaimanapun, semakin bertambah usia, simptom tersebut berkurangan dan kini dia sudah boleh melihat hidangan nasi seperti biasa.

Mengimbau kenangan ketika zaman belajar dan tinggal bersama rakan-rakan, ujar Ammar, dia pernah diusik rakan-rakan yang cuba memaksanya menjamah nasi.

Majlis perkahwinan Ammar Loy dan Ina diadakan pada 2 November lalu.

Majlis perkahwinan Ammar dan Ina diadakan pada 2 November lalu.

"Kawan-kawan pernah kacau, (mereka) ikat tangan dan peluk saya untuk paksa makan nasi... memang tak boleh, terus muntah.

"Keluarga pun pernah buat perkara sama, ayah saya pernah cabar saya 'kalau kau makan satu sudu nasi ni, aku bagi RM10 atau RM20'.

"Kawan-kawan juga pernah kacau saya dengan letak nasi dalam makanan, contoh saya tengah makan mi kemudian mereka letak nasi, automatik saya tak boleh makan makanan tu.

"Kalau mereka makan nasi guna sudu dan nak cuba mi saya guna sudu yang sama pun tak boleh, memang macam rasa nak muntah," tambahnya lagi.

Ina mengetahui 'masalah' Ammar Loy sejak awal perkenalan.

Ina mengetahui 'masalah' Ammar sejak awal perkenalan.

Berkongsi tentang perkenalannya dengan isteri, Ammar berkata dia telah berterus terang tentang 'masalah' yang dialami sejak awal lagi.

Pada masa tersebut, isterinya yang mesra disapa Ina mempamerkan reaksi terkejut dan pelik.

"Namun lama-kelamaan dia boleh terima dan kami tidak membuat sebarang pernjajian berkaitan makan nasi selepas kahwin," katanya.

Bagaimanapun, Ammar tidak menolak kemungkinan bahawa suatu hari nanti dia boleh menjamah nasi seperti orang lain.

"Dalam keluarga saya, hanya saya dan abang je yang tak makan nasi... jadi mak akan masak apa sahaja makanan sejuk beku untuk kami.

"Adik-adik akan turut serta makan kalau diaorang tak mahu makan nasi. Tapi keluarga sebelah mak saya di Kelantan pun ada dua orang tak makan nasi," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain