KANAK-kanak sememangnya golongan yang benar-benar jujur meluahkan apa yang terkandung dalam isi hati mereka. Bagaimanapun dalam situasi tertentu, kata-kata atau ekspresi terlalu 'jujur' yang dilontarkan mungkin mengundang rasa kurang senang orang lain yang beranggapan kanak-kanak tersebut tidak diterapkan nilai murni oleh ibu bapa mereka. Sebenarnya perkara tersebut adakalanya berlaku di luar kawalan ibu bapa, sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh seorang wanita ini di Facebook. Menurut wanita tersebut, kejadian tidak diduga itu berlaku ketika dia bersama suami dan anak perempuannya yang berusia 12 tahun membeli keropok lekor di sebuah gerai. Secara tiba-tiba anaknya dengan selamba menegur penjaja keropok lekor tersebut yang merupakan insan Orang Kurang Upaya (OKU). Kebanyakan individu OKU mampu berdikari untuk mencari rezeki. -Gambar hiasan "Yayah, tengok. Dia ada satu tangan." "Kepada abang insan istimewa yang menggoreng dan menjual keropok lekor di Pasar Karat depan KWSP (Temerloh), saya secara peribadinya ingin memohon maaf di atas 'kejujuran' mendadak anak perempuan saya yang menegur keunikan fizikal abang tadi. "Sebenarnya saya dan ayahnya tadi pun terperanjat besar dia menegur begitu," tulisnya dalam hantaran berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Bos kafe terharu staf OKU ingat hari lahir... Sedar ada hikmah gajikan insan istimewa - “Dulu saya cepat panas baran” ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda OKU seronok diberi peluang kerja cuci kereta... nak cuba hidup normal, lari daripada manusia toksik! Tidak mahu kejadian itu mengundang salah faham, wanita tersebut menjelaskan bahawa anak perempuannya juga berstatus OKU. "Percayalah anak saya tiada niat negatif, sebab anak saya pun pemegang kad OKU dan bersekolah di aliran Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). "Sebenarnya tadi dia sangat excited sebab classmate dia sendiri ada seorang yang one-legged (berkaki satu). Dia cakap classmate dia tu best friend dia. "Dia pernah cerita pada saya, 'he has one leg, he is so special. And another boy has only three fingers. He's also special. Just like me. I'm special!'. "Jadinya bila dia nampak abang tadi, dia excited jumpa orang yang special macam classmates dia. Cumanya cara anak-anak istimewa ini adakalanya terlalu lantang, jujur dan bertebal muka," kongsinya lagi. Walaupun ia kedengaran 'out spoken' tapi tak terlambat membetulkan dia. NETIZEN Bagaimanapun tambah wanita tersebut, dia tetap rasa bersalah memikirkan situasi itu yang mungkin mengguris hati atau menimbulkan rasa kurang senang penjaja tersebut. "Saya memang selalu terapkan dalam diri anak saya yang sahabat-sahabat lain dia jumpa dan nampak di sekolah atau di mana-mana sahaja yang mempunyai keunikan diri, mereka adalah insan special. Adiknya sendiri juga golongan special. "Saya dan ayahnya sekali lagi memohon maaf sekiranya perlakuan jujur anak saya tadi mengguris perasaan abang keropok lekor. "Saya akan didik anak saya dengan lebih gigih untuk menjaga adab dan sensitiviti bila berhadapan dengan orang lain," tulisnya lagi. Menjengah ruangan komen pula, rata-rata warga maya memuji sikap wanita tersebut kerana berani tampil memohon maaf dan menjernihkan suasana. Antara reaksi netizen terhadap perkongsian berkenaan. "Tahniah. Penulisan yang terbaik. Mengandungi nilai murni yang baik. Mencerminkan masyarakat yang saling menghormati. "Budak-budak memang lurus sebab hati mereka masih bersih. Anak-anak masih perlu tunjuk ajar serta bimbingan dari ibu bapa. Walaupun ia kedengaran 'out spoken' tapi tak terlambat membetulkan dia. "Biasa budak-budak memang agak jujur. Insya-Allah dengan didikan dan masa untuk matang, mereka akan faham dan pandai," demikian antara komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube