TAK perlu tunggu kaya kalau nak bersedekah, sebaliknya hulurkan sumbangan mengikut kemampuan kita sahaja. Di Facebook, tular kisah seorang peniaga burger yang bersedekah kepada pelanggannya sehingga dia dihujani pujian netizen. Menerusi perkongsian itu, peniaga berkenaan, Muhd Fairus Azahar mengimbas semula detik pertemuannya dengan lima sekeluarga yang datang menaiki sebuah motosikal. Ramai netizen memuji sikap pemurah peniaga itu. Menurut Muhd Fairus, wanita yang datang bersama suami dan anak-anaknya itu tidak mempunyai wang secukupnya untuk membayar burger bernilai RM9.60. "Ceritanya macam ni. Datang satu keluarga naik motor, naik lima orang. Suami isteri dan tiga orang anak. Dalam perut isterinya nampak macam ada baby (hamil) lagi. "Datang nak order burger budak (tiada sos) sebanyak dua biji. Dia minta belah empat. Selang 10 minit burger siap, aku panggil dia. Aku bisik pada suaminya, lain kali kalau nak makan burger tapi tak cukup duit, datang je kedai saya. MUHD FAIRUS AZAHAR PENIAGA "Aku sebut harga RM9.60. Dia pergi dekat suaminya atas motor, cakap tak cukup seringgit. Aku dengar je. Lepas tu datang bagi syiling dan cakap tak cukup seringgit," ceritanya. Mengerti kesusahan yang dilalui mereka, Muhd Fairus kemudiannya terus memberikan burger itu secara percuma sahaja. Malah, dia turut menggoreng empat biji burger lagi untuk disedekahkan kepada mereka. ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga jual burger biasa RM10, hanya ada sos banjir tanpa telur atau keju... Mat salih rasa kena scam ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda jual burger ‘homemade’ dari meja ke meja, netizen puji rajin cari duit... Daging nampak ‘juicy’, senyuman penjual pun manis "Aku cakap burger budak tadi tersalah letak sos. Jadi aku buat (burger) lagi sekali. Burger siap, aku sendiri hantar pada mereka. Dua burger yang ada sos dan empat lagi aku buat burger budak. Ada juga sikit duit jajan aku letak dalam burger tu. "Aku pun bisik pada suaminya, lain kali kalau nak makan burger tapi tak cukup duit, datang je kedai saya ni. Kalau orang lain jaga, abang hubungi saya. Setakat tiga ke empat biji, abang roger saya. "Aku pun bagi nombor telefon aku. Apa-apa, aku cakap hubungi aku. Setakat nak makan, tiada masalah. Semoga bayi yang bakal lahir sihat selalu dan harap keluarga abang kuat," ujarnya lagi. Peniaga itu berpesan kepada pelangannya agar tidak segan memberitahunya sekiranya tidak mempunyai wang untuk membeli burger. Di ruangan komen, ramai netizen turut meninggalkan pujian atas sikap prihatin yang ditunjukkan peniaga itu. "Ya Allah, mengalir air mata saya bang. Sensitif sebab saya pun sedang hamil. Moga murah rezeki. "Jatuh air mata jantan saya pagi ni. Bagi nombor akaun bank abang, saya nak kongsi rezeki sikit. "Abang beri inspirasi kepada peniaga kecil ni untuk buat macam abang," tulis netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube