SELEPAS terkandas hampir seminggu di Indonesia akibat letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur, sekumpulan rakyat Malaysia akhirnya selamat pulang ke tanah air pada Jumaat. Pastinya perjalanan pulang mereka bukannya mudah kerana mereka melalui laluan laut dari lokasi terkandas di Labuan Bajo ke Surabaya selama 33 jam, sebelum menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur hampir tiga jam. Masing-masing membuat persediaan sebelum menaiki kapal dari Labuan Bajo ke Surabaya. Salah seorang daripada mereka, Muhammad Aizat Zainol berkata, dia bersama rakan-rakan menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana pulang dengan selamat. "Kami rasa lega selepas hampir seminggu terkandas tak dapat pulang. Ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku pada kami. "Dengan perjalanan (melalui laut) selama 33 jam, Alhamdulillah kami selamat tiba di tanah air," katanya ketika dihubungi mStar. Aizat bersama 12 rakan termasuk tiga kanak-kanak tiba di Labuan Bajo pada 5 November lalu dan sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur pada Sabtu, 9 November. Bagaimanapun penerbangan pulang terpaksa dibatalkan berikutan letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki. Sebahagian orang awam yang berkumpul untuk ke pelabuhan di Labuan Bajo. Berkongsi cerita dengan lebih lanjut, pemuda berusia 35 tahun itu memberitahu difahamkan kapal yang dinaiki mereka hanya melalui Labuan Bajo sekali seminggu pada Selasa. "Tapi kami bertolak pada Rabu. Rezeki kami naik kapal tu sebab sebenarnya ia melakukan perjalanan misi bantuan kemanusiaan dari Gunung Lewotobi. ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia kelam kabut terkandas di Labuan Bajo... Rancang naik bot 33 jam demi pulang ke tanah air ARTIKEL BERKAITAN: Gunung berapi meletus lagi, 6,000 penduduk setempat dipindahkan "Dalam kapal tu ada lori, para sukarelawan yang datang ke sana untuk bantu. Rezeki kami juga dapat meluangkan masa bersama mereka yang menceritakan pengalaman dan tunjuk video semasa berada di Gunung Lewotobi. "Bagi saya, ia merupakan perkongsian yang menarik sebab kami dengar secara langsung daripada mereka. Kata mereka di sana sangat bahaya, jika terkena abu-abu panas, memang boleh melecur," ujarnya yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor. Meluangkan masa di dorm di dalam kapal. Mengenai pelayaran selama 33 jam itu, Aizat turut bersyukur kerana segala-galanya dipermudahkan kerana kapal yang dinaiki menyediakan fasiliti mencukupi untuk semua. "Makan minum okey, tiga hingga empat kali. Fasiliti pun okey. Memang proper siap ada gim, tempat karaoke dan surau. Tempat permainan untuk kanak-kanak pun ada. Apabila berlaku insiden yang tidak dijangka, kena bersedia dan berfikiran positif. MUHAMMAD AIZAT ZAINOL "Apa yang tak dapat dilupakan sepanjang pelayaran 33 jam tu, kami ditempatkan dalam satu dorm yang memuatkan kira-kira 40 katil untuk 40 orang tidur. "Ada kabin yang yang privasi tapi dah penuh, jadi kami dapat dorm je tapi syukur," katanya. Turut tidak dapat dilupakan Aizat dan rakan-rakan serta penumpang kapal itu ialah apabila ketibaan mereka di Pelabuhan Tanjung Perak, Surabaya disambut Pengarah Utama Pt Dharma Lautan Utama, Erwin H. Poedjono dan Kapten Kapal, Arna Ardiansyah. Ketibaan mereka di Surabaya, disambut oleh Pengarah Utama Pt Dharma Lautan Utama, Erwin H. Poedjono (berdiri, lima dari kiri) dan Kapten Kapal, Arna Ardiansyah (berdiri, enam dari kiri). Selain diberi layanan baik, jelas pegawai komunikasi dan hal ehwal korporat di sebuah syarikat itu, pihak di sana juga menyediakan pengangkutan secara percuma ke hotel masing-masing dan diberikan kotak makanan. "Kami berterima kasih kepada kerajaan Indonesia dan pihak berkuasa tempatan di sana. Kami lega sebab bantu bagi memudahkan perjalanan kami," katanya. Dalam pada itu Aizat turut berterima kasih kepada Kementerian Luar Malaysia yang mengikuti perkembangan dan keberadaan mereka sepanjang terkandas. Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan, namun bagi Aizat mereka reda dan sentiasa berfikiran positif. Malah, mereka juga tidak serik untuk merancang percutian dan pengembaraan ke destinasi-destinasi lain termasuk Indonesia pada masa akan datang. Aizat bersama rakan-rakan serta beberapa rakyat Malaysia lain yang turut terkandas, tiba menaiki penerbangan pulang pada Jumaat. "Kenangan terindah kami di Labuan Bajo kerana destinasinya sangat cantik. Indah dengan pemandangan matahari terbit dan terbenam, lautan biru dan jernih serta keramahan penduduk tempatan termasuk keunikan budaya mereka. "Jangan jadikan insiden letusan gunung berapi sebagai halangan untuk mengembara lagi. Apabila berlaku insiden yang tidak dijangka, kena bersedia dan berfikiran positif mencari jalan penyelesaian untuk menangani cabaran tersebut. "Alhamdulillah, kami sekumpulan bersama beberapa rakyat Malaysia lain lagi selamat tiba di tanah air. Keputusan menaiki kapal selama 33 jam merupakan langkah yang terbaik," katanya. Kenangan terindah di Labuan Bajo. Terdahulu, letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores di Nusa Tenggara Timur itu sejak 4 November lalu, mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 kematian, manakala puluhan ribu penduduk dipindahkan dari kawasan berkenaan. Letusan gunung berapi itu turut menyebabkan awan dengan abu tebal, mengakibatkan penutupan lapangan terbang dan penerbangan dibatalkan di kawasan terjejas. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube