suria

Wanita rela hati serah barang kemas dipakai dakwa dipukau, pelaku tenang buat jenayah! Lebih 24 jam baru sedar emas hilang

Seorang pekerja kedai kosmetik menyerahkan barang kemas miliknya tanpa sedar.

TULAR di media sosial satu video memaparkan kejadian melibatkan seorang pekerja di sebuah kedai kosmetik didakwa dipukau.

Kisah pekerja itu diceritakan semula oleh majikannya, Sabrieyna Ina menerusi sesi siaran langsung di TikTok selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsi mendapat perhatian ramai.

Ina mendakwa, wanita berbaju biru seperti dapat dilihat dalam rakaman CCTV itu masuk ke premis miliknya pada Khamis, menggunakan helah kononnya mahu membeli minyak wangi dalam kuantiti banyak.

"Pekerja ni baru lagi mula bekerja dengan saya. Masa tu saya keluar pergi ambil barang. Jadi pekerja saya tinggal seorang dalam kedai. Tak tahu dia sudah aim (target) lama ke pekerja tu.

Tangkap layar siaran langsung Ina di TikTok.

"Pekerja saya beritahu yang dia (pelaku) tu tauke sebuah kedai emas. Dia tipu rupanya. Tapi saya tengok memang dia (pekerja) seronok berborak dengan pelanggan tu.

"Mula-mula dia cerita fasal nak beli perfume 200 unit untuk buat goodies bag. Siap tunjuk duit dia dalam bag ada RM3,000," ujarnya.

Jelas pemilik gerai kosmetik di Kuantan, Pahang, itu, selepas lebih 24 jam baru pekerjanya tersedar bahawa dia telah kehilangan emas anggaran bernilai RM4,000 dan mendakwa dirinya dipukau pelanggan berkenaan.

Dia mendakwa tiga barang kemas miliknya telah dibawa lari oleh pelaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Nyaris dipukau 'perempuan batu merah' semasa nak ke ATM... gadis serik tak kunci kereta, takut jalan sendirian - “Lepas baca-baca terus aunty tu bagi beg duit”

ARTIKEL BERKAITAN: Tiba-tiba mengantuk luar biasa anda mungkin dipukau... 5 gadis trauma barang berharga lesap, kain kuning berasap

Berdasarkan pemeriksaan rakaman CCTV, pekerja itu dilihat tidak melawan dan membiarkan gelangnya dicabut serta melepaskan rantai dari lehernya sendiri untuk diberikan kepada wanita terbabit.

"Memang tak sedar dia ambil rantai, cincin dan gelang emas. Selepas dapat barang kemas, dia kata nak pergi bank sekejap. Nak cucuk (keluarkan) duit.

"Tahu-tahu orang tu sudah beredar. Berhati-hati la warga Kuantan atau di negeri mana sahaja anda berada. Benda ni betul-betul jahat.

"Orang bermati-matian kerja. Dia nak dapat duit mudah, guna ilmu hitam je," ujarnya menerusi kapsyen pada video.

Barang kemas mak dia bagi habis tak ada.

SABRIEYNA INA

Sebagaimana dijelaskan Ina menerusi siaran langsung itu, laporan polis sudah dibuat oleh pekerjanya.

Rata-rata warga maya turut bersimpati dengan nasib pekerja itu jika benar dia menjadi mangsa pukau sehingga mengalami kerugian besar.

Malah sesetengah netizen turut memberikan beberapa tip atau petua yang biasa diamalkan bagi mengelakkan menjadi mangsa pukau di ruangan komen.

"Isteri saya dulu pakai seluar dalam terbalik sebab tak nak kena pukau.

"Setiap kali lepas solat, baca ayat Kursi. Nak keluar rumah baca surah Yassin ayat 9.

Kejadian hanya disedari pekerja Ina sehari selepas kejadian.

"Ini kalau pergi balai polis pun pening sebab CCTV bukti dia serah sendiri barang tu dekat orang lain. Tapi bila melibatkan ilmu hitam... tak tahu la polis ambil tindakan macam mana," kata netizen.

Selepas perkongsian itu meraih lebih 1 juta jumlah tontonan di TikTok, Ina membuat hantaran baharu pada Sabtu.

"Terima kasih yang sudah kongsi petua untuk elak pukau. Sampai sekarang saya rasa takut selepas kejadian ni.

"Pekerja saya bila sedar (kena pukau), dia menangis wey. Barang kemas mak dia bagi habis tak ada," katanya dalam video berkenaan.

Sementara itu, polis pada Sabtu mengesahkan menerima laporan mengenai pembantu jualan sebuah kedai kosmetik Jaya Gading, Kuantan, Pahang mengalami kerugian selepas barang kemas miliknya dicuri seorang wanita dalam kejadian pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata ketika remaja perempuan berusia 18 tahun itu berada di dalam kedai pada pukul 4 petang, dia didatangi seorang wanita.

Jelasnya, suspek berpura-pura bertanyakan barangan kosmetik yang dijual sebelum berbual mengenai barang kemas yang dipakai mangsa.

"Tanpa disedari mangsa menyerahkan barang kemas, masing-masing seutas gelang dan rantai serta sebentuk cincin yang dianggarkan bernilai RM4,000.

"Mangsa yang baru bekerja kira-kira dua minggu hanya menyedari barang kemas hilang selepas suspek keluar dari kedai itu dan siasatan awal mendapati mangsa tidak pernah melihat suspek," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Zahari, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis kini mengesan suspek yang berumur dalam lingkungan 40-an dan turut menyiasat rakaman sistem CCTV di kawasan sekitar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain