suria

“Dia datang dengan nafas pendek” - Wanita percaya bomoh akhirnya jumpa doktor, serah diri lepas tak tahan tidur duduk sebulan

Seorang pesakit wanita sesak nafas gara-gara lambat mendapatkan rawatan. -Gambar hiasan

KEPERCAYAAN terhadap bomoh dan perawat tradisional masih menebal dalam kalangan segelintir masyarakat di negara ini.

Menurut Dr Arisman Wenge Abdul Rahman, dia pernah menerima kedatangan seorang wanita yang dibawa ke kliniknya gara-gara mengalami sesak nafas teruk.

Namun apa yang mengejutkan, Dr Arisman dimaklumkan wanita itu lambat mendapatkan rawatan kerana lebih mempercayai perubatan cara kampung.

r

Dr Arisman berkongsi kisah wanita itu menerusi Facebook.

"Kira-kira 40 minit sebelum saya tutup operasi klinik, datang seorang pesakit perempuan berusia 46 tahun ditolak masuk berkerusi roda oleh si suami.

"Dia datang dengan nafas pendek atau bercakap pun sepatah demi sepatah dan lemah. Ini tanda sesak nafas yang teruk. Selama sebulan, pesakit memang tidak mahu berjumpa doktor.

"Si suami sudah banyak kali memaksa. Tapi mereka berjumpa bomoh dan pengamal perubatan tradisional, tiada apa-apa perubahan," ceritanya.

Pesakit hanya tidur dalam keadaan duduk sudah hampir sebulan. Batuk berterusan selama sebulan.

DR. ARISMAN WENGE ABDUL RAHMAN

PENGARAH PERUBATAN KLINIK IRIS SHAH ALAM

Menurut Pengarah Perubatan Klinik Iris Shah Alam itu, dia dimaklumkan pesakit berkenaan sudah sebulan terpaksa tidur dalam keadaan duduk.

Malah, pemeriksaan awal turut mendapati paru-paru wanita itu mempunyai masalah.

"Bacaan menggunakan oxymeter di jari menunjukkan kadar oksigen jatuh pada 85-87 peratus sahaja. Degupan jantung sudah laju daripada normal. Saya periksa paru-paru, sudah penuh dengan 'bunyi' sehingga ke bahagian atas paru-paru kedua belah.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak ada masalah testis, bapa berkeras nak berubat kampung! Isteri pula takut suami cop derhaka jika teruskan pembedahan

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu lepak kedai kawan, datang bawa makanan... Akhirnya difitnah bomoh, nama 'dipetik' hantar santau lingkupkan bisnes

"Ini boleh jadi disebabkan paru-paru berair atau jangkitan kuman paru-paru pneumonia. Saya periksa kedua belah kaki juga sudah bengkak sehingga paras lutut. Perut sudah kembung dengan air.

"Pesakit hanya tidur dalam keadaan duduk sudah hampir sebulan. Batuk berterusan selama sebulan. Pesakit juga tidak dapat teruskan ambil suntikan insulin sendiri di rumah kerana tidak larat," ujarnya lagi.

Dalam hantaran itu, Dr Arisman berkata dia menghubungi ambulans bagi membolehkan pesakit itu dihantar segera ke jabatan kecemasan.

Sementara menunggu ambulans, dia juga sempat memakaikan topeng oksigen sehingga keadaan wanita itu kembali stabil.

"Selepas beberapa minit dipakaikan bantuan oksigen, barulah pesakit mula senyum sedikit dan kadar oksigen naik sehingga 94 peratus... syukur.

Potholes at several areas that have been neglected around Klang city. — FAIHAN GHANI/The Star

Segelintir individu enggan ke hospital kerana lebih percayakan perubatan cara kampung. -Gambar hiasan

"Saya masih belum boleh menarik nafas lega selagi pesakit masih berada dalam klinik, jika terjadi apa-apa seperti pengsan, saya perlu bersedia dengan langkah kecemasan," ujarnya lagi.

Akhir bicara, Dr Arisman berpesan kepada orang ramai terutamanya yang mempunyai penyakit agar mendapatkan rawatan bertauliah sekiranya mereka mempunyai masalah kesihatan.

Malah katanya, kepercayaan karut segelintir masyarakat di Malaysia sebenarnya bahaya dan boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan dan nyawa.

"Pengajaran di sini adalah jika anda mempunyai masalah penyakit diabetes atau kencing manis, teruskan follow up dengan doktor anda dan continue makan ubat yang diberikan jika doktor masih teruskan.

"Kita tidak tahu selepas setahun atau selepas tiga tahun anda berhenti ubat kencing manis sendiri, mungkin anda juga salah seorang yang bakal menjadi seperti pesakit ini.

"Nasihat saya janganlah lambat dapatkan rawatan kecemasan di hospital dengan pergi berubat cara kampung, cara tradisional atau jumpa bomoh.

"Percayalah, itu boleh meragut nyawa anda kemudian hari. Jika memang mahu kepada perubatan cara kampung, lakukan bersama-sama dengan rawatan pihak hospital," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain