BAGAIKAN tidak serik selepas diberi peluang kedua oleh majikan, pembantu rumah buat hal lagi! Begitulah yang dialami pempengaruh media sosial dan doktor selebriti, Dr Say Shazril apabila salah seorang daripada pembantu rumahnya didakwa melakukan keganasan dan kekasaran terhadap anak ketiganya yang berusia kira-kira 10 bulan. Lebih mengejutkan, insiden tersebut berlaku kurang empat bulan selepas pembantu rumah sama ditangkap kerana membawa dua lelaki tidak dikenali masuk ke rumah. Perbuatan pembantu rumahnya itu dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di ruang tamu rumah, yang dikongsikannya menerusi akaun Instagram Dr Say, pada petang Khamis. Kejadian sebelum ini yang mana dua lelaki tidak dikenali dibawa masuk oleh pembantu rumah Dr Say. Berkongsi cerita kepada mStar, Dr Say berkata, perkara itu disedari oleh isterinya, Dr Azura Abas yang ketika itu bersamanya di Pulau Pinang bagi memenuhi jemputan untuk menyampaikan 'talk' pada pagi Sabtu lalu. "Sebenarnya tak ada angin, tak ada ribut isteri nak periksa CCTV. Malah sepanjang kami seminggu berada di Jepun sebelum ni pun tak ada periksa sangat. "Kami dua-dua masa tu kena profesional sebab nak bagi ‘talk’. Lepas ‘talk’ tu, kami terus bergegas pulang ke Kuala Lumpur dan ‘confront’ dengan pembantu rumah," katanya ketika dihubungi. ARTIKEL BERKAITAN: Tak pakai baju, sembunyi dalam selimut... Dr Say tangkap ‘maid’ bawa masuk 2 lelaki - “Buat ‘projek’ sambil anak saya di tengah!” Mengulas lanjut, Dr Say berkata, kekasaran yang berlaku kemungkinan berpunca selepas kedua-dua pembantu rumahnya, warga Filipina dan Indonesia itu menukar tugasan mereka. "Maid Indonesia pada awalnya hanya jaga anak ketiga saya, manakala maid Filipina jaga anak sulung dan anak kedua serta kemas rumah sebab dua anak pergi ke sekolah. "Masa saya dan isteri pergi ke Jepun, maid Filipina pandai-pandai tukar role kononnya nak bagi maid Indonesia tu biasakan dengan anak pertama dan kedua. "Tapi makan dirinya sendiri sebab jaga baby kena perhatian sepenuhnya. Mungkin dia 'koyak', jadi buat kekerasan pada anak ketiga saya," ujar Dr Say sambil menambah anak pertama dan keduanya, masing-masing lelaki berusia lima dan tiga tahun. Dr Say (kiri) dan isteri, Dr Azura tidak menyangka pembantu rumahnya tergamak mengasari anak mereka. Mengenai keadaan anak ketiganya itu dan dua lagi cahaya matanya, Dr Say meluahkan kesyukuran kerana semua mereka selamat tanpa sebarang kecederaan serius. "Alhamdulillah, baby Zeq (panggilan anak ketiga) okay. Mujur tiada kecederaan serius," jelasnya. Buat masa ini, Dr Say berkata, ketiga-tiga anaknya akan dijaga oleh seorang lagi pembantu rumah iaitu warga Indonesia yang baru berkhidmat dengannya. "Mungkin ada yang tanya kenapa maid Indonesia tu tak buat apa-apa? Dia sebenarnya ada tegur, tapi maid Filipina cakap jangan beritahu tuan dan puan (Dr Say dan isteri). "Lagipun dia baru dua bulan kerja dan maid Filipina tu dah setahun tujuh bulan, jadi dia rasa siapalah dia orang baru nak tegur senior. "Bila saya dan isteri balik dari Pulau Pinang, kami tak terus 'serang' maid Filipina tu tapi kami tanya dulu maid Indonesia... maid Indonesia tu serta-merta menangis, cakap 'teruk buat pada baby Zeq'," tambahnya. Perbuatan pembantu rumah warga Filipina itu dirakamkan menerusi CCTV. Dalam pada itu, Dr Say turut menyedari kecaman yang bakal diterimanya berhubung kejadian yang berlaku kerana masih membiarkan anak-anaknya dijaga oleh pembantu rumah Filipina yang pernah melakukan kesilapan sebelum ini. "Saya mengaku saya bersalah kerana mudah percayakan orang. Kalau orang lain, lepas kes pertama tu dia akan buang dua-dua, sepatutnya saya buang juga maid Filipina tu. "Tapi saya mudah percayakan dia dan saya ketika itu tahu dia mangsa keadaan, bila maid Indonesia (yang pertama) ajak dia buat jahat, jadi saya simpan dia. "Pengajaran kepada semua, jangan mudah sangat percaya pada pembantu rumah. Di hadapan saya, dia baik orangnya tapi di belakang macam-macam dia buat dan kata pada anak saya. Salah saya kerana meletakkan kepercayaan yang tinggi pada dia," katanya lagi. Mengenai perkembangan terkini, Dr Say memaklumkan pembantu rumah warga Filipina diambil oleh agensi sementara menunggu tindakan menghantarnya pulang ke negara asal pada minggu depan, termasuk pembatalan permit kerjanya. Pada Julai lalu, mStar melaporkan Dr Say berdepan detik cemas apabila rumahnya dimasuki dua tetamu tidak diundang pada waktu malam. Dua lelaki tidak dikenali itu dibawa masuk sendiri oleh dua pembantu rumahnya, masing-masing warga Indonesia dan Filipina yang ketika itu sedang menjaga anak ketiganya di tingkat bawah kediamannya di Bangsar, Kuala Lumpur. Susulan itu, Dr Say menghubungi polis yang datang ke rumahnya bagi membuat serbuan dan terdapat dua lelaki bersembunyi di sebalik selimut di dua katil bersama dua pembantu rumahnya. Sementara itu, anaknya diletakkan di baby cradle (kerusi buai) di atas lantai antara kedua-dua katil. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube