suria

“Terima kasih Mat, bagi darah” - Staf hospital pucat lesi, suara aunty Cina garau ketika guna mesin dialisis lama... Esoknya meninggal dunia

Tompokan darah misteri (kanan) sebelum kejadian wanita tua meninggal dunia selepas dialisis.

SEBUT sahaja mengenai hospital pasti ramai tidak sekadar menganggapnya sebagai tempat merawat pesakit, sebaliknya turut dilihat sebuah lokasi yang penuh kisah misteri.

Terbaharu, seorang kakitangan sebuah hospital yang dikenali sebagai Mat berkongsi pengalaman seram yang dialaminya sendiri di unit hemodialisis.

Mat berkata di unit tempat dia bekerja terdapat sebuah kerusi dialisis yang enggan digunakan pesakit walaupun ia masih berfungsi dengan baik.

"Dulu pernah ada seorang nenek tua meninggal atas kerusi tu. Sejak itu mesin dan kerusi tu tak pernah digunakan. Kalau pesakit ramai sangat baru ia digunakan.

"Kali terakhir guna pun masa zaman Covid dulu, masa pesakit terakhir yang meninggal sewaktu sesi hemodialisis, nenek Robiah (bukan nama betul)," katanya berkongsi cerita di media sosial.

Misteri tompokan darah di kawasan kerusi dialisis yang dua tahun tidak digunakan. - Gambar Threads

Misteri tompokan darah di kawasan kerusi dialisis yang dua tahun tidak digunakan. -Gambar Threads

Mat berkata, beberapa hari lalu, selepas dua tahun, dia ada menghidupkan mesin berkenaan dan ditegur seorang senior supaya berhati-hati dengan menyebut kerusi berkenaan adalah 'kerusi maut'.

Melihat Mat terdiam, seniornya yang sudah lama bekerja di hospital berkenaan ketawa dan berkata dia hanya bergurau.

"Aku pun teruskan kerja. Hidupkan mesin, tiba-tiba aku perasan ada kesan darah kat lantai. Macam darah segar. Walhal mana ada pesakit sebelum ni. Kali terakhir guna kerusi hujung ni dua tahun lepas.

"Aku pun seram sejuk. Dah la nak Maghrib masa tu. Tiba-tiba seorang perempuan Indonesia datang minta cepat. Dia penjaga seorang aunty Cina tua. Katanya aunty sudah marah-marah sebab dah lama tunggu giliran," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri bau busuk terjawab, pelajar meninggal dunia dalam bilik selepas 2 hari menyepi

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin baharu nekad pindah dari rumah sewa! Barang kerap dialih, 'main selipar' insiden paling seram

Disebabkan permintaan itu, Mat tidak mematikan mesin berkenaan sebaliknya meminta warga emas itu yang dipanggil Aunty Tan untuk menggunakan mesin tersebut.

"Sepanjang sejam pertama dialisis tiada masalah apa. Cuma Aunty Tan ni komplen sejuk gigil sedangkan kerusi ni hujung mana ada penghawa dingin. Tempat ni biasanya panas sebab hujung sudut tepi tingkap dan memang tak kena langsung penghawa dingin.

"Lepas sejam sesi hemodialisis tiba-tiba Aunty Tan panggil dan kata 'Mat apasal lu (awak) suruh nenek ni duduk dekat wa (saya)'. Aku tanya nenek mana dan kenapa bibik tidak menjaganya.

"Lalu dia kata 'Wa punya bibik balik kejap. You tak nampak ke nenek belakang kerusi wa? Dekat tingkap tu'," katanya.

Pelik mendengar apa yang dikatakan oleh Aunty Tan, Mat kemudian meminta wanita itu tidur seketika sementara sesi dialisisnya selesai dalam masa satu setengah jam manakala dia menunaikan solat Maghrib.

Aunty Tan jalan balik sendiri tanpa pertolongan bibik dia. Kali ni nampak gagah betul, biasanya nak berdiri pun kena papah.

STAF HOSPITAL

Selesai solat, Mat kembali untuk memeriksa Aunty Tan dan terkejut selepas mendapati mesin hemodialisis itu sebenarnya tidak dihidupkan.

"Aku terlupa sambung plug rupanya. Tapi yang peliknya mesin masih berfungsi. Setahu aku setiap mesin hemodialisis memang ada bateri accumulator kalau terputus bekalan elektrik.

"Tak logik pula mesin ni yang dah berbelas tahun mampu bertahan tiga jam tanpa sambungan elektrik. Bateri mesin biasanya bertahan 10 minit je. Mesin baru keluar kilang pun maksimum satu jam," jelasnya.

Mat kemudian dengan segara mengejutkan wanita tua berkenaan dan menamatkan rawatan hemodialisis yang sepatutnya masih berbaki 40 minit lagi.

"Aunty Tan bangun lepas tu senyum dan berkata 'terima kasih Mat bagi darah hari ni. Dah dua tahun aku tunggu. Hehehe'. Aku pucat terus. Suara dia lain, suara garau. Slang Cina dia pun dah tak ada.

"Dah la tiada orang lain kat situ, aku dengan dia je. Aku lari pegi depan, Aunty Tan jalan balik sendiri tanpa pertolongan bibik dia. Kali ni nampak gagah betul, biasanya nak berdiri pun kena papah. Dengan senyuman seram dia.

“Mat, terima kasih ya...... sama macam Robiah'. Aku tak faham maksud dia. Tak berani nak tanya lebih dia jalan terus keluar pintu," katanya.

Gambar yang dikongsi staf hospital tanpa menjelaskan imej misteri (dalam bulatan). - Gambar Threads

Gambar yang dikongsi staf hospital tanpa menjelaskan imej misteri (dalam bulatan). -Gambar Threads

Keesokan harinya, dia berkata pembantu rumah Aunty Tan menghubungi unit hemodialisis dan memaklumkan warga emas itu dirasuk dengan menjerit meminta pertolongan dan meminta jangan diganggu.

"Anak-anak terus bawa ke jabatan kecemasan tapi dah meninggal dunia. Punca kematian tak pasti. Doktor dekat jabatan kecemasan kata tekanan darah terlalu rendah masa tiba di sana.

"Mungkin juga serangan jantung. Kalau tak salah aku, sama dengan diagnosis nenek Robiah, dua tahun lepas," katanya.

Selepas apa yang berlaku, Mat bagaimanapun merasakan kejadian misteri dua wanita tua yang meninggal dunia di kerusi berkenaan mungkin kebetulan.

"Saya rasa mungkin kebetulan. Tak ada kena mengena dengan mesin atau kerusi," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain