suria

Air mata rindu seorang kakak... Ibu ayah cuba pujuk, nasihat selalu doa untuk arwah - “Adik dah tak sakit lagi”

Hana kerap menangis kerana rindukan arwah adiknya, Muhammad Aqeel Haq.

PILU hati seorang ibu apabila melihat anak sulungnya menangis kerana terlalu rindukan adiknya yang meninggal dunia empat bulan lalu.

Menerusi rakaman di TikTok, Nur Hana Sofia Muhamad Syukri yang berusia enam tahun dilihat menangis teresak-esak setiap kali terkenangkan arwah adik.

Ketika dihubungi mStar, ibunya Nurrul Azua Abdullah berkata dia baru sahaja kehilangan seorang anak lelaki yang diberi nama Muhammad Aqeel Haq Muhamad Syukri pada 11 Julai lalu.

"Saya dapat tahu anak ada masalah buah pinggang masa dia dalam perut lagi sebab sebelum tu saya ada buat imbasan secara terperinci.

Hana sangat menyayangi Aqeel sejak si kecil itu dilahirkan.

"Kalau tengok video-video dekat TikTok saya, boleh nampak Aqeel adalah anak yang aktif dan sihat untuk bermain macam orang lain.

"Tapi amat tidak disangka apabila berlaku perubahan ketara pada dirinya sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan pada usia setahun. Bibir, tangan dan kaki anak saya bertukar warna biru," ujarnya memulakan cerita.

Menurut Azua, dia tidak menyangka masalah buah pinggang anaknya ini tidak menjadi punca kematian si bongsu.

ARTIKEL BERKAITAN: Luluh hati cucu ‘nenek viral’ meninggal selepas 33 tahun bersama! Rindu bacaan merdu mengaji, suara ajak solat jemaah

ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu rindu, anak nombor 2 ajak bapa ziarah pusara ibu... Rupanya arwah datang dalam mimpi, senyum apabila dipanggil

Namun sebaliknya, Aqeel terpaksa menjalani pembedahan jantung gara-gara saluran tersumbat secara mengejut.

Pemergian secara drastik ini tentunya meruntun jiwa Azua dan suami, Muhamad Syukri termasuklah anak sulung mereka, Hana.

"Lepas buat pembedahan pintasan jantung, arwah anak saya tak boleh bertahan sebab tekanan darah dia makin turun dan mengalami kegagalan organ berfungsi.

Azua sering berkongsi kebahagiaan keluarga kesayangan di TikTok.

"Jadi pada bulan Julai tahun ini kami sekeluarga kehilangan anak lelaki ketika umurnya setahun sebulan. Sekarang ni tinggal la kami bertiga saja," katanya.

Bercerita lanjut tentang keadaan Hana, Azua berkata sebagai ibu dia perlu memainkan peranan dengan tidak membiarkan kanak-kanak itu terlalu hanyut dalam emosi.

Jelas Azua, dia sentiasa cuba memujuk anak sulungnya itu supaya bertabah walaupun dirinya sendiri turut merindukan Aqeel Haq.

Apakan daya jodoh kakak dengan adiknya cuma sekejap... sebab itu la dia terkesan sangat.

NURRUL AZUA

"Kakak memang sayangkan adik dia. Boleh dikatakan adik dia membesar depan mata kakaknya.

"Tapi apakan daya, jodoh kakak dengan adiknya cuma sekejap je. Sebab itu la dia terkesan sangat. Macam dalam video saya rakam tu, saya selalu pujuk si kakak minta doakan adik.

"Sedekah al-Fatihah untuk adiknya. Moga adik tenang dan seronok bermain di taman syurga. Minta kakaknya sabar dan kuat walaupun sampai demam. Adik dah tak sakit lagi," ujar si ibu.

Ahli keluarga Azua.

Kata Azua, walaupun belum bersedia untuk kehilangan anaknya itu namun dia cuba menguatkan dirinya menerima takdir Allah dengan reda.

Dalam pada itu, Azua berharap agar Hana kembali ceria seperti sebelum ini walaupun tanpa Aqeel untuk menemaninya membesar bersama-sama.

"Memang saya dan suami pun tak sangka, sebab kami dah sediakan mental emosi untuk masalah buah pinggang arwah. Tiba-tiba jadi biru dan dapat tahu ada masalah jantung.

"Ada satu hari mesti akan ada salah seorang darpadai kami yang menangis tak tahan tanggung rindu. Tapi apa-apa pun semoga kami kuat jalani ujian Allah dah aturkan untuk keluarga kecil ini," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain