suria

Buat COD lepas solat Asar, pemilik butik tudung dipukau dalam kereta sendiri... Serah 2 utas gelang emas - “Buka la kak, saya tak pandai”

Kelibat individu yang didakwa melalukan pukau kepada Syaqira Aleeya.

REALITI yang pahit untuk ditelan ialah amalan sihir dan pukau masih wujud dan diamalkan dalam masyarakat sekarang.

Mereka yang terkena menjadi separa sedar dan akan melakukan perbuatan di luar jangkaan.

Perkara sama dilalui seorang wanita ini hingga dia tanpa sedar 'rela' menyerahkan dua utas gelang tangan emas kepada individu tidak dikenali.

Berdasarkan sebuah video penjelasan di media sosial, wanita yang mengusahakan sebuah butik tudung di Batang Kali itu berkata, pada hari kejadian individu yang diamaksudkan datang ke kedainya.

Syaqira Aleeya berkongsi pengalaman dipukau menerusi video TikTok.

"Masa hari kejadian tu ramai pelanggan keluar masuk kedai termasuk dia. Kemudian dia kata nak beli tudung yang sama (corak) tapi dalam kuantiti yang banyak. Lama dia berborak termasuk beritahu rumah ibunya di Antara Gapi... tak jauh dari butik saya.

"Sehingga pelanggan lain dah balik, dia masih ada berborak dengan saya dan ibu di butik. Kemudian dia tanya dekat mana nak beli emas.

"Masa tu saya je yang pakai gelang emas. Mak saya pula bercerita beritahu saya beli dekat kedai sekian... sekian," katanya yang dikenali sebagai Syaqira Aleeya memulakan cerita.

Tambah wanita itu, selepas pesanan tudung yang diminta selesai disiapkan, individu terbabit memberi alasan untuk keluar sebentar atas urusan tertentu dan berjanji untuk kembali membuat bayaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita rela hati serah barang kemas dipakai dakwa dipukau, pelaku tenang buat jenayah! Lebih 24 jam baru sedar emas hilang

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita nampak suami sendiri dipukau, cuba curi duit kedai... Cepat-cepat baca ayat Kursi, terus dukung bayi minta bantuan

Sebelum beredar dia sempat meminta nombor telefon untuk dihubungi jika timbul apa-apa perkara berbangkit.

Selang beberapa ketika, wanita itu berkata dia diberitahu ibunya bahawa pelanggan yang membuat tempahan tudung dalam jumlah yang banyak tadi ada menghubunginya.

Individu berkenaan meminta untuk membuat pembelian menerusi kaedah cash on delivery (COD) atau pembayaran tunai semasa serahan.

"Masa tu saya baru selesai solat Asar. Kebiasaannya saya dah tak buat COD pada waktu begitu, tapi memandangkan dia nak beli dalam jumlah yang banyak, saya setuju sebab rasa berbaloi.

Pada ketika itu saya seperti dalam keadaan tidak waras (rasional), saya hulurkan tangan suruh dia buka (gelang).

SYAQIRA ALEEYA

PENGUSAHA BUTIK TUDUNG

"Saya pun keluar untuk COD seorang diri, mak jaga kedai. Apabila sampai di lokasi yang dijanjikan, dia datang ke kereta saya. Dia minta nak borak-borak lagi dalam kereta sambil puji kulit wajah saya cantik.

"Puji-pujian dia buatkan saya jadi rasa selesa nak berborak," katanya lagi mengimbas kejadian yang berlaku pada April lalu.

Tambah wanita berkenaan, perbualan mereka kemudian beralih kepada gelang emas yang dipakainya.

Individu itu menyatakan dia berminat dengan gelang emas berkenaan dan meminta kebenaran untuk mencubanya.

"Dia beritahu nak cari gelang untuk majlis perkahwinan dan berkenan dengan gelang emas saya pakai.

"Tanpa sedar saya menurut sahaja kehendak wanita ini untuk cuba dua gelang emas saya. Kemudian dia membuat alasan ingin tunjuk kepada ibunya dan keluar dari kereta.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial pekerja kedai kosmetik dipukau dan didakwa oleh individu sama.

Tangkap layar rakaman CCTV kes pekerja kedai kosmetik dipukau di Kuantan.

"Pada ketika itu saya seperti dalam keadaan tidak waras (rasional), saya hulurkan tangan suruh dia buka... buka la kak, saya tak pandai.

"Dia kemudian berjanji untuk kembali ke kereta mengambil tudung yang dipesan dan memulangkan kedua-dua gelang emas saya. Peliknya, saya hanya mengiyakan permintaannya," ujarnya yang mengaku hanya tersedar selepas individu terbabit keluar dari kereta.

Selepas menyedari sesuatu yang tidak kena, dia cuba untuk menghubungi nombor telefon individu berkenaan namun selepas deringan ketiga telefon dimatikan.

"Saya tak tahu kenapa saya boleh ikut saja permintaannya itu. Selepas tersedar saya terus menghubungi ibu saya untuk menceritakan keadaan berlaku," katanya sambil memberitahu laporan polis mengenai hal itu sudah dibuat.

Ujar Syaqira Aleeya, perkongsiannya tentang kejadian berkenaan bertujuan memberi peringatan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati.

Malah katanya modus operandi yang digunakan individu yang memperdayanya juga sama seperti kejadian pukau membabitkan pekerja di kedai kosmetik di Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain