suria

Demi nak suruh anak sambung belajar, ibu daftar sekali! Dua beranak ini akhirnya dapat ijazah - “Ikutkan saya malas, selesa cari duit”

Teha dan ibunya berjaya menamatkan pengajian bersama-sama.

SETIAP ibu bapa sanggup melakukan apa saja demi melihat anak-anak mereka berjaya dalam hidup.

Perkara sama dilakukan ibu kepada Siti Nur Fatihah Mohd Zamri yang sanggup mengikuti pengajian ke peringkat ijazah bersamanya selama empat tahun.

Menurut Siti Nur Fatihah yang senang disapa Teha, dia pada mulanya enggan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi sebelum berjaya dipujuk ibunya, Surawati Rahimin yang kini berusia 46 tahun.

"Saya habis belajar di tingkatan 6 masa umur 18 tahun. Kemudian saya mula bekerja pada usia 19 tahun.

"Sebelum ni memang sudah lama ibu pujuk suruh saya sambung belajar tapi saya menolak sebab dah biasa dengan dunia pekerjaan.

"Saya malas nak sambung belajar sebab lagi selesa cari duit pada usia masih muda. Lama juga ibu cuba pujuk untuk sambung belajar," katanya kepada mStar.

Anak sulung daripada enam adik beradik ini bagaimanapun berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan bersama ibunya.

Kata Teha, kejayaan tersebut adalah hasil dorongan daripada ibunya yang banyak memberi semangat dan sokongan untuk teruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Teha dan ibunya ketika menghadiri majlis konvokesyen.

Jelas Teha, ibunya tiada masalah untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah memandangkan wanita itu sudah memiliki diploma selepas menamatkan pengajian di Politeknik di Melaka.

"Saya cakap dekat ibu, tak nak sambung belajar dengan alasan tak ada kawan. Saya takut cepat bosan belajar seorang diri.

"Lepas tu ibu pun cakap dia nak sambung belajar juga, boleh belajar sama-sama. Tak la bosan sangat kan. Jadi bermula la perjalanan kami sebagai pelajar ijazah.

"Tapi disebabkan saya nak teruskan bekerja, ibu buat keputusan untuk kami sama-sama buat PJJ (pembelajaran jarak jauh)," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Graduan kelas pertama menangis, selepas gadai gelang beli laptop arwah ibu ‘mungkir janji’ tak hadir konvo - “Lagi ayah pujuk, lagi teruk”

ARTIKEL BERKAITAN: Guru ‘bersuara’, penat sebenarnya buat majlis graduasi! Ibu bapa kalau tak setuju sila datang mesyuarat PIBG, bantah

Kata Teha yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Melaka, dia dan ibunya melanjutkan pengajian dalam bidang yang sama agar segala urusan dapat dilakukan bersama-sama.

Akhirnya dia dan ibunya yang merupakan kakitangan kerajaan memilih Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) di Melaka sebagai tempat pengajian kerana lebih dekat dengan kediaman.

"Saya berminat dalam bidang akaun tapi tak cukup kelayakan. Jadi saya dan ibu sambung dalam bidang perniagaan.

"Mula-mula ibu dapat bidang akaun, tapi dia sanggup tukar demi nak sama-sama belajar jurusan sama dengan saya.

Ibu menjadi pendorong dan berikan saya semangat sehingga boleh menamatkan pengajian ijazah selama empat tahun.

SITI NUR FATIHAH

"Saya rasa seronok sangat masa belajar sama-sama. Kami sama-sama bersusah payah siapkan assignment sampai ke tengah malam. Tapi hasilnya sangat berbaloi," katanya lagi.

Menurut Teha, ibunya memperoleh keputusan lebih baik baik berbanding dirinya namun dia enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Seperti yang dikongsikan di TikTok, Teha dan ibunya meraikan kejayaan mereka dengan menghadiri Istiadat Konvokesyen UiTM ke-100 yang berlangsung pada 18 November lalu.

Anak beranak ini mengikuti pengajian ijazah bersama-sama.

Perkongsian video tersebut meraih lebih 400,000 jumlah tontonan dan dihujani pelbagai komen positif dalam kalangan warga maya.

"Saya bersyukur ibu menjadi pendorong dan berikan saya semangat sehingga boleh menamatkan pengajian ijazah selama empat tahun ini.

"Lagipun memang ibu bersungguh-sungguh nak saya sambung belajar. Bagi ibu, pelajaran sangat penting supaya saya boleh kembangkan kerjaya pada masa akan datang," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain