suria

Ibu tunggal usung laptop lusuh minta baiki, nak kerja ‘online’ lepas bercerai... Tebal muka mengaku kutip dari tempat buang barang

Seorang wanita ke kedai komputer untuk membaiki peranti miliknya. -Gambar hiasan

BUKAN mudah bergelar ibu tunggal, terpaksa bekerja keras demi menyara kehidupan bersama anak-anak.

Bagi seorang wanita, berbekalkan sebuah komputer riba (laptop) lama, dia cuba untuk menggunakannya bagi tujuan bekerja secara dalam talian.

Kisah wanita berkenaan dikongsikan usahawan, Muhammad Abu Hurairah Roslan di Facebook.

"Seorang wanita sedang dukung anak, sebelah tangan memaut sebuah komputer, dan anak-anak kecil lain ikut belakang tolong bawa beg laptop.

"Wanita ini mahu bekerja setelah diceraikan. Dia datang tanya sama ada boleh baiki atau berapa jumlah duit perlu ditambah untuk dapatkan laptop supaya dia dapat buat kerja dalam talian.

"Sebuah komputer lagi tu untuk anak-anak belajar," kata Muhammad Abu Hurairah mengimbas apa yang berlaku.

Konflik dalam rumah tangga menjadi punca penceraian. -Gambar hiasan

Membelek komputer riba milik wanita itu, Abu Hurairah yang menjalankan perniagaan membaiki pelbagai jenis peranti mendapati ia sudahpun uzur.

"Laptop lama sangat ni puan. Oh ye ke? Saya tak tahu. Saya ada dalam RM100 ni. Saya usahakan lagi bayar lepas dapat buat kerja online'," kata Abu Hurairah mengimbas kembali perbualannya bersama wanita itu.

Mengenai komputer yang dibawa wanita itu pula, rupa-rupanya ia dikutip dekat tapak pembuangan barang-barang terpakai.

Umum mengetahui, barang yang dibuang kebiasaannya sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi, namun wanita itu nampaknya enggan berputus asa.

ARTIKEL BERKAITAN: “Berdosa rupanya jika kita miskin” - Bisnes lingkup, ibu tunggal anak 5 dibuang keluarga sendiri... Majlis makan-makan pun tak jemput

ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu cinta isteri sampai sanggup pinjam Ah Long tapi bercerai jua! Suami penyayang sedih pengorbanan tak dihargai

"Komputer tu saya jumpa dekat tempat orang buang. Kalau baiki sikit boleh guna ke? Buat anak belajar.

"Masa ni saya tak tahu nak kata apa dah. Selalu saja keadaan dan situasi ni buatkan saja jadi sebak. Memang puan ni tak tahu apa-apa pasal komputer. Asalkan laptop, PC, boleh guna bagi dia," luahnya.

Walaupun susah, dua perkara ni dia usahakan iaitu pendidikan dan duit buat untuk menyara anak-anak.

MUHAMMAD ABU HURAIRAH ROSLAN

USAHAWAN

Menurut Abu Hurairah, dia kemudian mengasingkan komputer dan komputer riba itu di satu tempat sebelum dijualnya kepada pengumpul barang lama atau scrapper.

Bersimpati dengan kedaifan wanita terbabit, dia kemudian memberi bantuan berupa dua gajet tanpa mengenakan sebarang bayaran.

"Tak apa, tak perlu bayar pun. Berkaca matanya, Anak-anak dengar pun senyum," katanya sambil menambah ia merupakan hasil sumbangan orang awam.

Wang simpanan hanya cukup-cukup makan. -Gambar hiasan

Ketika hendak membawa sumbangan tersebut ke dalam kenderaan ibu tunggal berkenaan, dia tidak menyangka ada kisah di sebalik penceraian wanita itu.

"Tiba-tiba puan ni seakan berbisik pada saya... encik, saya malu ni malu sangat. Sebab saya bukan minta simpati, cuma (bekas) suami dah tak kerja.

"Ini je cara saya nak teruskan hidup. Suami tak tahu ni. Sebab saya dah cakap nak cari duit, dia marah.

"Paling saya lagi sedih apabila ayat terakhir keluar daripada seorang wanita yang diuji ni. Katanya... tak apalah, dia tak nak saya, saya akan teruskan hidup dengan anak-anak'," katanya yang terkedu mendengar pendedahan wanita berkenaan.

Bagi Abu Hurairah, dia kagum dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan ibu tunggal itu bagi memastikan anak-anaknya dibesarkan dengan baik.

"Walaupun susah, dua ni dia usahakan iaitu pendidikan dan duit buat untuk menyara anak-anak.

"Kalian nak membantu bersama, bismillah. InsyaAllah laptop dan komputer yang baik semuanya buat wanita-wanita yang kuat berusaha buat keluarga," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain