DALAM usaha mencari rezeki, pastinya ada ujian dan dugaan yang tidak disangka-sangka. Begitulah juga pasangan suami isteri yang menyediakan servis potong rumput dari rumah ke rumah ini yang turut tidak dapat lari daripada hakikat ini. Menurut seorang wanita, dia menghubungi pasangan itu untuk mengupah mereka berdua memotong rumput di rumahnya pada hujung minggu lalu. Lebih dikenali sebagai Ayu, dia memaklumkan bahawa suami isteri itu turut membawa anak-anak kecil mereka ketika bertugas. "Si suami potong rumput, manakala isteri dan anak-anaknya sapu dan bersihkan. "Dia minta saya alihkan dua buah kereta dari porch. Saya dah alihkan ke luar pagar rumah. Kiranya dah cukup jauh tu," katanya menerusi satu hantaran di laman sosial. Mencari rezeki demi meneruskan kelangsungan hidup. -Gambar hiasan Namun kata Ayu, berlaku satu kejadian yang tidak disangka-sangka ketika kerja-kerja memotong rumput dilakukan di kediamannya. "Tapi Allah kata nak kena, kena juga. Terpelanting juga batu kena cermin kereta saya. "Si isteri menangis minta maaf. Dia cakap kalau nak mereka ganti, dia akan bayar ansuran," ujarnya yang merujuk kepada bayaran untuk menukar ganti cermin kereta. Walau bagaimanapun katanya, dia tidak sampai hati untuk meminta bayaran ganti rugi daripada suami isteri itu. "Kita faham, benda nak jadi, jadi juga. Saya bukanlah kaya. Tapi untuk minta ganti daripada orang yang lebih susah, rasa tak sampai hati," ujar Ayu. ARTIKEL BERKAITAN: Suruh orang potong rumput, sekali cermin kereta pecah! Lelaki ini tak sanggup minta ganti rugi, terkenang upah hanya RM100 ARTIKEL BERKAITAN: Ramai rasa lucu tengok warga emas mesin rumput guna kerusi roda... Rupanya inovasi juruteknik pencen - “Baru tak lenguh badan” Lebih memberi kesan mendalam apabila melihat wajah anak-anak kecil pasangan berkenaan yang berpeluh-peluh membantu menyapu rumput. Kejadian ini sekali gus menyedarkannya tentang kesusahan yang dialami keluarga itu yang sanggup bersusah-payah mencari rezeki demi meneruskan kelangsungan hidup. "Kalau kata, saya minta RM100 sebulan pun, RM100 tu mungkin saya buat beli kopi kat kafe je. "Tapi buat keluarga tu, RM100 boleh buat makan sekeluarga untuk tempoh empat hingga lima hari," jelasnya. Kita kat dunia ni, tak ada yang kaya, tak ada yang miskin. Semua pun pinjaman je. Tapi yang penting, amalan dan adab sopan kita sesama manusia. AYU Walau tidak meminta ganti rugi ke atas insiden cermin kereta yang pecah, wanita itu sebaliknya melakukan sesuatu yang tidak dijangka. "Selesai mereka potong rumput dan kemas semua, saya tetap bayar upah seperti dijanjikan walaupun dia menolak cakap tak payah bayar. "Terbayang anak-anak tu mungkin dah berangan nak makan sedap hari tu sebab dapat duit upah," ujar Ayu lagi. Kos bagi menggantikan cermin kereta yang pecah sememangnya mahal. -Gambar hiasan Bukan sekadar membayar upah potong rumput, malah suami isteri itu turut dipuji kerana menunjukkan adab dan budi bahasa yang baik. Ayu turut menjelaskan sebenarnya hari itu merupakan kali kedua pasangan tersebut datang membuat kerja-kerja memotong rumput di rumahnya. "Dari awal saya panggil dia untuk buat kerja... cara dia cakap, jawab mesej, sopan je. Sebab tu tengok anak-anak dia walaupun kecil, tetapi behave dan rajin. "Kita kat dunia ni, tak ada yang kaya, tak ada yang miskin. Semua pun pinjaman je. Tapi yang penting, amalan dan adab sopan kita sesama manusia. "Semoga anak-anak mereka membesar menjadi anak-anak soleh solehah, berjaya dan membalas susah payah ibu ayah membesarkan mereka," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube