suria

15 tahun tiada isu bersuamikan mat salih, tiap tahun rai Krismas di rumah mentua... Masalah timbul sejak ipar bela anjing

Wanita ini mula tertekan dan ragu-ragu untuk pulang ke kampung halaman suaminya. -Gambar hiasan

BERKAHWIN campur sememangnya mempunyai manfaat dan nikmatnya sendiri, termasuklah berpeluang meraikan perbezaan budaya, adat dan gaya hidup pasangan.

Menerusi perkahwinan campur juga, zuriat yang dilahirkan dikatakan akan lebih bijak dan berfikiran terbuka.

Namun, penyatuan dua jiwa yang berbeza latar belakang agama, bangsa, adat dan gaya hidup juga boleh menimbulkan masalah serta cabaran dalam rumah tangga.

Seorang wanita yang berkahwin dengan ‘mat salih’ atau individu berkulit putih kini berdepan dilema dan membuat luahan di media sosial.

Tindakan keluarga mentua membela anjing di rumah membuatkan wanita ini resah untuk pulang ke kampung halaman suaminya. Gambar hiasan

Seorang wanita resah untuk pulang ke rumah mentua di luar negara disebabkan isu 'anjing'. -Gambar hiasan

Menurut wanita berkenaan, dia sekeluarga akan pulang ke kampung suami di luar negara untuk sambutan Krismas setiap tahun, namun masalah mula timbul dua tahun lalu apabila kakak iparnya membela anjing.

“Dilema berkahwin dengan mat salih. Musim Krismas nak balik kampung. Tapi dua tahun lepas kakak ipar bela anjing.

“Adakala ibu mentua menjaga anjing tu di dalam rumah. Sebelum ini tiada masalah tetapi selepas dua tahun lalu isu menjadi besar,” luahnya tanpa menjelaskan di mana kampung suaminya.

Wanita ini berkata dia sudah 15 tahun berkahwin dan sepanjang tempoh perkahwinan tidak timbul masalah besar berkaitan perbezaan latar belakang sehinggalah anjing menjadi sebahagian daripada keluarga mentua.

ARTIKEL BERKAITAN: “Sejak beranak terus muka mat salih” - Wanita syukur rezeki anak ikut baka suami kacak, sesekali risau juga fikir penyondol

ARTIKEL BERKAITAN: “Habis semua kain batik saya dia pakai setiap hari” - Isteri kagum dapat suami mat salih tapi ‘terlebih Melayu’... makan mesti mau pedas!

Katanya, selepas mendapat tahu rumah mentuanya turut 'dihuni' anjing, dia mula berasa kurang selesa untuk pulang dan menginap di kediaman tersebut.

“Kali terakhir balik pun dah bermasam muka, sebab benda ni (membela anjing).

“Saya dan suami lama tak balik, mereka (keluarga mentua) seronok dan berangan untuk sewa rumah inap supaya boleh duduk beramai-ramai ala kenduri. Tapi anjing ada skali. Kau rasa?” ujarnya.

Dalam pada itu, dia turut menegaskan bahawa dirinya bukanlah seorang yang takut atau membenci haiwan tersebut.

"Saya nak jelaskan, saya tak takut anjing, tak juga benci. Kalau bukan sebab isu ni, dah lama saya bela anjing. Tapi saya tak sentuh haiwan ni suka-suka," katanya.

Ada kala ibu mentua menjaga anjing itu di dalam rumah.

ISTERI MAT SALIH

Membalas cadangan warga maya, wanita ini menjelaskan dia dan suami pernah menyewa hotel namun tidak berasa selesa apabila tindakan itu membuatkan mentuanya tersinggung.

“Ada sewa hotel tapi macam kita juga, orang tua (ibu bapa mentua) terasa hati. Bila kami balik jauh-jauh tak nak duduk dengan mereka.

“Tapi rumah ada kesan anjing pula. Kesan yang tak nampak membuatkan saya ragu dan tidak selesa.

Katanya, dia dan suami cuba untuk berbincang tentang anjing berkenaan tetapi tidak mendapat penyelesaian malah keluarga mentua juga seolah-olah tidak gembira apabila isu ini dibangkitkan.

“Suami tegas orangnya, tetapi apabila membabitkan ibu bapanya dia (suami) mula tersepit,” katanya lagi.

Untung mereka yang berkahwin campur, dapat pulang bercuti ke kampung halaman pasangan terletak di luar negara.

Mereka yang berkahwin campur biasanya meraikan kepelbagaian adat dan budaya. -Gambar hiasan

Jelas wanita itu, dia memang ada membawa pulang sabun untuk bersuci setiap kali pulang ke rumah mentua di luar negara.

“Benda tak boleh elak bila kat sana. Tapi mengetahui rumah dah macam ‘tercemar’ dengan anjing, saya mula rasa resah dan was-was.

“Semoga Allah mudahkan nanti. Perkara macam ni sangat asing bagi saya dan membuatkan saya tertekan,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya mencadangkan agar wanita itu lebih terbuka untuk menjelaskan situasinya kepada keluarga mentua.

“Kalau begitu kena jelas pada mentua sebab tak nak tinggal sama-sama. Faham juga tu ada anjing, di mana-mana.

“Cuba cari kaedah yang veterinar selalu guna, maksudnya baju nak solat tu asingkan, pakai khas untuk solat je, sediakan sabun sertu sebagainya. Cuba atasi stres dengan penyelesaian baik sebab nak meraikan musim perayaan setahun sekali jangan bermasam muka.

“Sewa caravan? Parking depan rumah ibu mentua. Jadi boleh beracara majlis sekali tapi tidur asing. Cumanya, kos pula.

“Jika mereka tidak boleh bertoleransi memang kena sewa asing. Suami awak sepatutnya bertegas dengan keluarga dia.

“Alhamdulillah. Bagus awak. Rakan sekolah saya berkahwin dengan orang luar negara siap bela anjing dalam rumah," komen beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain