CINTA sejati terus kekal semarak walau kini berbeza alam. Begitulah kisahnya untuk seorang wanita warga emas yang setia melawat pusara arwah suaminya walaupun kudrat sudah dimamah usia. Menerusi perkongsian di media sosial oleh anaknya yang dikenali sebagai Shaznie, wanita tersebut dilihat cergas mengayuh basikal ketika melalui jalan kampung yang berliku-liku. Shaznie menemani dari belakang ketika ibunya mengayuh basikal. Menurut Shaznie, rutin berkenaan merupakan cara si ibu menenangkan jiwa. Sebagai anak dia akan mengikuti orang tuanya itu dari belakang dengan menggunakan kereta untuk mengawasi gerak-geri bagi tujuan keselamatan. "Umur mak sekarang 66 tahun, mata sebelahnya dah buta kerana kencing manis, dia kini hanya boleh melihat sekitar 50 peratus. Walaupun keadaannya sudah uzur, mak tetap bersemangat melawat kubur arwah abah. "Abah meninggal dunia mengejut sebab serangan jantung. Saya tahu, mak sebenarnya terkilan, tak sangka arwah abah akan pergi secepat itu. Rasa rindunya pasti berat sangat. ARTIKEL BERKAITAN: Pernah viral bawa ibu merasa percutian mewah, pemuda ini rindu senyuman manis arwah... Syukur dapat peluang jaga hingga akhir hayat ARTIKEL BERKAITAN: Anak sanggup bayar kereta mewah, menginap tiga buah hotel 5 bintang sepanjang bercuti di Langkawi... percutian sweet dengan ibu tercapai! "Dulu waktu arwah abah ada, mak seorang suri rumah. Mak sangat dimanjakan oleh arwah abah. Saya yang tengok pun rasa cemburu. Serba-serbi arwah abah sediakan untuk mak. Jadi apabila abah sudah tiada, pemergiannya sangat dirasai. "Saya selalu berdoa kepada Allah, berikan saya peluang untuk menjaga mak hingga ke akhir hayatnya. Kisah ini menjadi pengajaran untuk saya, supaya sentiasa menghargai orang kita sayang, kerana bila-bila masa mereka boleh pergi," ujar Shaznie. Melalui video sama, Shaznie juga sempat berjenaka dengan berkata kini gilirannya untuk 'mengejar' ibunya. Saya selalu berdoa kepada Allah, berikan saya peluang untuk menjaga mak hingga ke akhir hayatnya. SHAZNIE ANAK "Dulu waktu zaman saya kecil, mak selalu kejar saya pulang. Sekarang saya pula yang kejar mak balik. Waktu ni dalam video, mak baru balik daripada lawat kubur arwah abah. "Mak sebagai seorang suri rumah banyak berbakti kepada arwah abah hingga ke akhirnya. Mak sayang arwah abah walaupun banyak ujian mereka lalui bersama. "Semoga Allah satukan mereka kembali di Syurga. Inilah kisah cinta sejati mak. Al-Fatihah untuk arwah abah," kata Shaznie menutup bicara. Pelayar bertukar pandangan. Menjengah ke ruangan komen, warga maya juga terharu dengan perkongsian kisah Shaznie. "Sebak hati aku, semoga mak awak terus kuat. Setiap orang berbeza-beza ujiannya. Aku juga selalu dimanjakan oleh suami, tak dapat bayangkan nak teruskan hidup secara bersendirian. "Cantiknya kampung awak, ini mesti dekat Kampung Chepor, Lenggong, Perak," demikian kata warga maya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube