suria

Tak perlu ada ‘title’ YB, aktivis kebajikan Sabah tahu nak cari orang susah... Aktif keluar masuk 18 daerah sepanjang 2024!

Edy memiliki 1.3 juta pengikut di TikTok yang sentiasa memberi sokongan atas kerja kebajikannya.

SEPANJANG tahun 2024, aktivis kelahiran Sabah iaitu Adrian Edy tidak pernah berhenti membantu golongan memerlukan di negeri kelahirannya.

Dalam tempoh 12 bulan ini sahaja, aktivis dan pempengaruh berkenaan sudah membantu 113 keluarga, merangkumi 18 daerah di Sabah.

Malah, misi bantuan pada tahun ini turut dikembangkan ke luar Sabah, antaranya di Sarawak dan Indonesia.

EDY 2

Edy turut membina rumah untuk sebuah keluarga memerlukan di Sabah.

Bercakap kepada mStar, dia yang mesra disapa Edy memberi jaminan misi bantuan kendaliannya itu akan diteruskan dengan lebih meluas pada tahun akan datang.

"Syukur untuk semua misi yang sudah diselesaikan pada 2024. Untuk 2025 pula, saya dan pasukan mahu pergi ke daerah-daerah dan kawasan yang kami belum sampai lagi.

"Antaranya Semporna, Kunak, Beluran dan Kinabatangan. Keutamaan saya adalah untuk membantu orang Sabah. Kalau di luar Sabah, kami kena pertimbangkan dulu," ujarnya.

Saya tiada niat nak masuk politik dan tidak bercita-cita untuk menjadi Yang Berhormat (YB).

ADRIAN EDY

AKTIVIS KEBAJIKAN

Mengimbas misi bantuan yang dijalankan pada tahun ini, Edy berkata dia bukan sahaja menyalurkan sumbangan wang, malah turut menghadiahkan kenderaan dan kediaman kepada insan yang bernasib malang.

Terbaharu, Edy sekali lagi tular selepas dia menghadiahkan sebuah motosikal berharga hampir RM4,000 kepada seorang warga emas di Tawau.

Kisah itu mendapat perhatian ramai selepas motosikal lama milik warga emas itu terbakar ketika dia keluar ke bandar bersama anaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Guna raket pinjam, kasut buruk... Murid B40 menang badminton tapi tak diraikan akhirnya dapat perhatian

ARTIKEL BERKAITAN: 11 sekeluarga huni pondok tanpa dinding, mandi air sungai... Bapa daif risau anak nak sekolah, motosikal bakal ditarik

Misi-misi bantuan yang dijalankan secara konsisten sejak pandemik Covid-19 pada tahun 2020 itu turut membantu Edy mengumpul lebih 1.3 juta pengikut di TikTok.

Malah, segelintir netizen turut memberi cadangan supaya dia terjun ke dunia politik untuk membantu lebih ramai insan memerlukan di Malaysia.

"Memang ramai yang bagi cadangan itu, tapi daripada dulu saya cuma niat nak bantu orang saja. Saya lagi selesa bergerak sendiri dengan pasukan 10 orang. Kalau masuk politik, risau terikat dengan mana-mana pihak.

"Saya tiada niat nak masuk politik dan tidak bercita-cita untuk menjadi Yang Berhormat (YB)," ujar Edy sambil menambah dia juga masih bujang dan tidak merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat.

EDY 3

Edy berazam mahu meneruskan usaha murni itu pada tahun 2025.

Akhir bicara, Edy turut mengucapkan terima kasih kepada mereka bukan sahaja memberi sokongan, malah turut menyalurkan dana bagi membolehkan pelbagai misi itu diteruskan.

"Saya nak ucap terima kasih kepada semua yang sokong misi bantuan ini dan mereka yang turut beri sumbangan. Kami hanya orang tengah untuk sampaikan bantuan.

"Mereka inilah hero sebenar. Terima kasih atas sokongan dan doa, moga misi-misi ini dapat diteruskan sampai bila-bila," ujarnya lagi.

Berikut merupakan 10 jenis bantuan yang disumbangkan oleh aktivis itu:

1.Rumah Kasih Rakyat

2.Motosikal Kasih Rakyat

3.Basikal Kasih Rakyat

4.Bekalan asas makanan

5.Keperluan asas seperti tilam dan bantal

6.Keperluan elektrik seperti kipas, lampu dan mesin Basuh

7.Keperluan gajet seperti laptop dan telefon untuk pelajar

8.Keperluan pelajar seperti alat tulis dan peralatan sukan

9.Bantuan one off kewangan

10.Sumbangan khairat kematian

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain