TRAGEDI hitam terbabit dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang pasti sukar dilupakan pasangan suami isteri ini. Akibat nahas yang berlaku pada 9 Mei lalu, si isteri mengalami kesukaran untuk berjalan selepas putus urat lutut. Kini selepas tujuh bulan berlalu, suaminya, Muhammad Ezam Roslan, 22, mengakui melalui fasa yang amat mencabar memandangkan isterinya sedang hamil dua bulan ketika kejadian berlaku. Ezam dan isteri dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, pada 9 Mei 2024. Untuk rekod, kisah pasangan ini tular gara-gara si isteri, Nurin Anis Syazwani Mohamad Yazan, 22, terpaksa menaiki troli ketika berarak masuk ke dewan pada hari persandingan mereka. Majlis berkenaan berlangsung selepas beberapa minggu terlibat nahas. Ezam dan Nurin yang merupakan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) sudah pun bernikah pada Disember 2023 dan melangsungkan majlis persandingan pada 26 Mei lalu. Bercerita lanjut, Ezam berkata keadaan Nurin menyebabkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Perumahan, Bangunan dan Perancangan terpaksa ditangguh. "Sebagai suami, saya memberikan sokongan moral kepada isteri yang bukan sahaja terlantar di katil tetapi juga mengharungi fasa kehamilannya. "Masa saya bawa isteri untuk pemeriksaan di klinik, doktor memaklumkan isteri mungkin sukar untuk bersalin secara normal dan perlu melalui kaedah pembedahan (Czer)," katanya kepada mStar. Pengantin perempuan dipapah ke pelamin. Berasal dari Sungai Petani, Kedah, Ezam berkongsi berita gembira mengenai isterinya kini sudah boleh berjalan sejak hujung Oktober lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin kuatkan diri berarak ke pelamin selepas kemalangan... Ramai tak perasan naik troli, sangka berjalan macam biasa "Alhamdulillah, isteri dah boleh berjalan secara perlahan-lahan. Buat masa ni kecederaan di rusuk kanan dia masih belum sembuh. "Jadi, isteri tak boleh terlalu aktif seperti bersukan atau melakukan kerja-kerja berat. Tapi syukur dia sudah boleh berdiri dan berjalan sendiri," ujarnya yang menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi (Persekitaran). Ezam bersyukur kerana isteri kini boleh kembali berjalan. Malah katanya, kegembiraan berganda apabila isterinya juga selamat melahirkan bayi lelaki pada 14 November lalu. "Alhamdulillah, isteri dah selamat bersalin secara normal walaupun lima bulan juga dia tak boleh berjalan," katanya sambil menambah hanya linangan air mata dan perasaan penuh kesyukuran yang mampu menggambarkan kegembiraannya sebagai suami dan bapa. Ezam berniaga baju secara kecil-kecilan. Malah, dia turut bersyukur dikurniakan rezeki susulan kemalangan itu apabila menerima bantuan kewangan yang disalurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar USM. "Dengan duit bantuan tu, kami jadikan modal untuk berniaga baju. Berniaga secara kecil-kecilan untuk tanggung saya dan isteri, memandangkan saya masih belajar. Alhamdulillah isteri dah boleh berjalan perlahan-lahan... cuma kecederaan di rusuk kanan masih belum sembuh. MUHAMMAD EZAM ROSLAN "Saya buat bisnes printing baju seperti jersi, baju korporat dan baju cotton. Selain baju, saya juga ambil job cetak backdrop. "Alhamdulillah pelanggan semakin ramai dan saya sudah ada pendapatan untuk tanggung isteri dan anak yang baru lahir," katanya yang teruja. Suami isteri ini dikurniakan rezeki untuk menampung kehidupan bersama anak yang baru lahir. Terus melangkah ke hadapan, kata Ezam, bisnes bajunya bakal beroperasi secara fizikal di sebuah kedai di USM pada awal tahun depan sambil menambah mengimpikan kilang percetakan baju sendiri dalam tempoh lima tahun akan datang. "Alhamdulillah, di sebalik kemalangan yang menimpa saya dan isteri, Allah turunkan rezeki untuk kami meneruskan kehidupan melalui bisnes," ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube